Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Rabu, 8 Mei 2013

Hari Juma'at : Penghulu Hari Yang Istimewa


Ya!! Benar-benar istimewa seperti mana yang telah dinukilkan dalam sabda Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam :-

"Dari Abu Lubanah bin Abdul Munzir, Rasulullah telah bersabda : "Sesungguhnya hari Juma'at itu penghulu segala hari, semulia hari di sisi Allah dari hari Raya 'Idilfitri dan 'Idil Adha. Pada hari Jumaat itu terdapat 5 perkara :- Allah telah menciptakan Adam, Adam diturunkan ke dunia, Adam dimatikan, padanya (Juma'at) terdapat satu ketika (masa)  dimana tiada siapapun yang meminta kepada Allah, Allah pasti menunaikan permintaannya selagi dia tidak meminta perkara haram, padanya (Juma'at) terjadinya hari Qiyamat. Tidak ada malaikat Muqarrabin, malaikat menjaga langit, malaikat menjaga dunia, malaikat menjaga angin, malaikat menjaga gunung, malaikat menjaga laut, melainkan semuanya merasa kasih pada hari Juma'at."  [Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah]

SEJARAH NAMA HARI JUMA'AT

Pada zaman 'Arab masih diselubungi jahiliyah, nama asal hari Juma'at disebut "Al-'Arubah" [ العروبة ]. Hanya orang yang pertama kali memberi nama hari Juma'at pada masa itu adalah Ka'ab bin Lu'ay.

Pada hari itu, orang-orang Quraisy biasa berkumpul padanya lalu dia menyampaikan ceramah lantas memberikan nasihat dan memerintahkan mereka untuk mengagungkan Tanah Haram Makkah. Dia juga mengkhabarkan kepada mereka dari sana akan ada Nabi yang diutus. Dan ketika sudah diutus kelak, dia memerintahkan kepada kaumnya untuk taat dan beriman kepadanya. 

Kisah yang lain, sebelum zaman kedatangan Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam ke Madinah [nama lama, Yatsrib], orang-orang 'Arab suku 'Aus & Khazraj berkata : "Orang Yahudi memiliki satu hari yang mereka berkumpul setiap 7 hari dan orang Nasrani juga seperti itu, maka tidakkah kita menjadikan satu hari bagi kita berkumpul pada hari itu untuk berdzikir kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan bersyukur padaNya?" Lantas jawab salah seorang dari mereka lagi : "Hari Sabtu milik orang Yahudi, hari Ahad milik orang Nasrani maka jadikanlah hari Al-‘Arubah" Mereka pun berkumpul di tempat As’ad bin Zurarah, bersolat dua raka’at pada hari itu dan memberi peringatan pada mereka. Kemudian dinamakan "Al-Jumu'ah" ketika manusia berkumpul pada hari itu. Mereka juga menyembelih seekor keldai, hingga orang-orang mengambil makan siang dan malam darinya.

Pendapat Ibnu Hazm rahimahullah : “Bahwa Juma’at adalah nama Islamik yang tidak dikenali pada zaman jahiliyah. Pada masa itu, hari Juma’at dinamakan dengan panggilan Al-’Arubah.” (kitab Fathul Bari: 3/275 dari Maktabah Syamilah)

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam :-

"Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahawa Nabi shollallahu 'alayhi wa sallam telah bersabda :  "Kita adalah umat yang terakhir tetapi umat yang terdahulu pada hari Qiyamat. Kita adalah umat yang paling awal masuk ke Syurga sedangkan mereka telah menerima kitab sebelum kita. Kita diberikan kitab selepas mereka, mereka telah berbalah. Allah telah memberi hidayah kepada kita tentang perkara yang mereka perselisihkan. Inilah hari di mana mereka berselisih tentangnya. Allah telah memberi hidayah kepada kita. Hari Juma'at adalah hari (kebesaran) kita, esok (Sabtu) hari kebesaran Yahudi dan lusa (Ahad) hari kebesaran Nasrani"  [Riwayat Muslim]


PERISTIWA HARI JUMA'AT

Mengapa diangkat sedemikian? Kerana terhimpun pada hari Juma'at itu segala urusan Allah yang penting dan besar.
  1. Inilah hari diciptanya jasad Nabi Adam 'alayhisssalam dan ditiupkan ruh ke dalamnya
  2. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam dimasukkan ke Syurga 'Adn
  3. Inilah hari pernikahan Nabi Adam 'alayhissalam dan Hawa di Syurga
  4. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam dan Hawa diusir dari Syurga kerana menjamah buah Khuldi yang dilarang oleh Allah 'Azza Wa Jalla.
  5. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam dan Hawa bertemu semula di Jabal Rahmah
  6. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam wafat di dunia
  7. Inilah hari banjir besar menghanyutkan bahtera Nabi Nug 'alayhissalam
  8. Inilah hari bahtera Nabi Nuh 'alayhissalam selamat berlabuh di Bukit Judiy [Ararat, Turki sekarang]
  9. Inilah hari unta Nabi Soleh 'alayhissalam dibunuh oleh kaumnya
  10. Inilah hari Nabi Ibrahim 'alayhissalam dicampak jauh ke gunung api yang marak menyala oleh Namrud
  11. Inilah hari Nabi Isma'il 'alayhissalam dan ibunya Siti Hajar ditinggalkan di Makkah oleh Nabi Ibrahim 'alayhissalam
  12. Inilah hari Nabi Luth 'alayhissalam dan keluarga terselamat dari bencana yang menimpa kaumnya
  13. Inilah hari Nabi Ya'akob 'alayhissalam kehilangan anaknya, Nabi Yusuf 'alayhissalam
  14. Inilah hari Nabi Yusuf 'alayhissalam keluar dari penjara
  15. Inilah hari pernikahan Nabi Yusuf 'alayhissalam dan Zulaikha
  16. Inilah hari Nabi Musa dan Nabi Harun 'alayhimassalam melarikan diri bersama kaumnya dari dikejar oleh Fir'aun
  17. Inilah hari pernikahan Nabi Musa 'alayhissalam dan Shafrawa, puteri Nabi Shu'ib 'alayhissalam
  18. Inilah hari Nabi Dzulkifli 'alayhissalam ditabal menjadi raja Bani Israil
  19. Inilah hari Nabi Daud 'alayhissalam berjaya membunuh Jalut dengan lemparan batu
  20. Inilah hari Nabi Sulaiman 'alayhissalam melamar Ratu Balqis
  21. Inilah hari Nabi Ilyas dan Nabi Ilyasa' 'alayhimassalam dipenjarakan dan dibunuh Nebuchadnezzar, raja Babylon
  22. Inilah hari Nabi Yunus 'alayhissalam jatuh ke laut dan ditelan ikan Nun
  23. Inilah hari Nabi Zakaria 'alayhissalam berpuasa kerana dikurniakan anak
  24. Inilah hari Nabi Yahya 'alayhissalam dibunuh oleh Herod, raja Bani Israil
  25. Inilah hari Nabi 'Isa 'alayhissalam diangkat ke langit
  26. Inilah hari pernikahan Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam dan Siti Khadijah binti Khuwailid
  27. Inilah hari Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam dan Sayyidina Abu Bakr As-Shiddiq radhiyallahu 'anhu keluar dari Gua Tsur kerana bersembunyi dari dikejar orang Quraisy yang mahu membunuh mereka. Ia disambut oleh penduduk Quba' ketika itu.
  28. Inilah hari pernikahan Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam dan Siti 'Aisyah bin Abu Bakr As-Shiddiq radhiyallahu 'anhu
  29. Inilah hari pernikahan Sayyidina 'Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah dan Siti Fathimah bin Muhammad Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam
  30. Inilah hari dimana peristiwa Qiyamat pasti berlaku.
SEJARAH PERMULAAN SOLAT JUMA'AT

Bila mulanya solat Juma'at? Adakah secara tiba-tiba?

Kembali ke sejarah perjalanan hijrah Rasulullah Shollallahu 'Alayhi Wa Sallam dan Sayyidina Abu Bakar As-Shiddiq ke Madinah. 

Rasulullah Shollallahu 'Alayhi Wa Sallam mengerjakan solat Jumaat buat pertama kalinya ketika di Madinah, di mana setelah Rasulullah sampai di Quba’ dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah berhenti di kampung Amr Ibn ‘Auf.

Baginda tinggal sebentar di kampung Amr Ibn 'Auf selama beberapa hari iaitu dari hari Isnin hingga hari Khamis. Dalam masa empat hari itu, Baginda telah membina sebuah masjid bersama dengan kaum Muslimin. Kemudian pada hari Juma'at, Rasulullah meneruskan perjalanannya. 


Ketika tiba waktu solat Jumaat, Baginda telah sampai ke kampung Bani Salim Ibn ‘Auf. Maka Baginda terus mengerjakan solat Jumaat di salah satu masjid di dalam sebuah lembah kampung tersebut. 


Maka, itulah permulaan solat Jumaat yang dilaksanakan Rasulullah Shollallahu 'Alayhi Wa Sallam di daerah Madinah. 



KHUTBAH PERTAMA SOLAT JUMA'AT

Khutbah Rasulullah yang pertama yang disampaikan ialah mengenai jumlah orang yang mengikuti solat Jumaat dan mengenai syarat jamaah dalam mendirikan solat Jumaat. Tambahan lagi, kaum Muslimin wajib mengerjakan solat Jumaat di mana sahaja dia berada. Sebab dinamakan solat Jumaat diantaranya ialah dikerjakan pada hari Jumaat.

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger