Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Khamis, 30 Mei 2013

Sadaqah : 700 Cabang Kekayaan Dunia & Akhirat


MAKNA SADAQAH

Bermaksud membenarkan/merelakan/mempersetujui. Berasal dari perkataan  bahasa 'Arab (صدقة‎).

Maka, sadaqah adalah suatu pemberian bertujuan ikhlas kerana redha Allah 'Azza Wa Jalla.

DALIL AL-QURAN BERKENAAN SADAQAH

A261

Mafhum ayat : "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." [Surah Al-Baqarah, ayat 261]


A271

Mafhum ayat : "Kalau kamu zahirkan sadaqah-sadaqah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sadaqah-sadaqah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." [Surah Al-Baqarah, ayat 271]

A114

Mafhum ayat : "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersadaqah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar." [Surah An-Nisaa', ayat 114]

HADITH RASULULLAH BERKENAAN SADAQAH

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda “ Barangsiapa yang bersadaqah sebesar biji kurma dari usahanya yang halal , maka Allah akan menerima sadaqahnya itu dengan tangan kanan-Nya, kerana sesungguhnya Allah hanya mahu menerima sadaqah dari usaha yang halal, dan akan memberi tambahan kepada pemiliknya seperti seseorang di antara kamu yang terus menambah tabungnya yang sedikit, sampai menjadi gunung .” ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Dari Abu Hurairah : Sesungguhnya Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda “ Tidaklah harta menjadi berkurang kerana sadaqah, dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah , melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah .”
( Riwayat Imam Muslim dan At-Tirmidzi )

Dari Anas bin Malik , ia berkata : Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda “ Hendaklah kalian bersadaqah, kerana sesungguhnya sadaqah itu merupakan tirai penyelamat kalian dari api neraka .”
( Riwayat Imam Al-Baihaqi )

KEPELBAGAIAN BENTUK SADAQAH

Ada sadaqah berbentuk :-
1. Zakat fitrah, zakat harta simpanan, dan zakat perniagaan
2. Pinjaman perniagaan, pinjaman peribadi dan lain-lain.
3. Takaful ketika kecemasan
4. Kudrat pertolongan tenaga
5. Curahan idea-idea yang bernas dan baik
6. Nasihat-nasihat yang berguna
7. Perluangan masa yang bermanfaat
8. Penjagaan keselamatan dari bahaya
9. Menjamu orang makan minum, pakaian dan lain-lain
10. Mengucapkan kata-kata yang sopan
11. Berzikir dan sebagainya yang baik

ANJURAN BERSADAQAH BARANG YANG BAIK LAGI DISAYANGI

A267

Mafhum ayat : "Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji." [Surah Al-Baqarah, ayat 267]

A039

Mafhum ayat : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki". [Surah Saba', ayat 39]

ORANG-ORANG YANG BERHAK MENERIMA SADAQAH
  • Kaum kerabat ahli keluarga yang terdekat
Dari Hakim bin Hizam : Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam tentang berbagai sadaqah , manakah di antaranya yang paling utama . Sabdanya “ Sadaqah yang diberikan kepada seorang kerabat keluarga yang membenci dirinya .” ( Riwayat Imam Ahmad dan At-Thabrani )

Dari Anas : Sesungguhnya Sa’id bin 'Ubadah datang kepada Nabi shollallahu 'alayhi wa sallam, lalu ia berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal, tetapi beliau tidak memberiku wasiat. Apakah bermanfaat bagi dirinya kalau aku mengeluarkan sadaqah atas namanya? Nabi bersabda : “ Ya. Dan hendaklah engkau memberikan sadaqah dengan air .” ( Riwayat At-Thabrani dalam kitab Al-Ausath dan para perawi yang dipercayai )
  • Orang yang fakir dan miskin
Dari Umi Najid , sesungguhnya ia bertanya : Wahai Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam! Sesungguhnya seorang miskin berdiri di depan pintuku, tetapi aku tidak mempunyai sesuatu yang dapat aku berikan kepadanya. Lalu Nabi bersabda kepadanya : “ Sekiranya engkau tidak mendapatkan sesuatu yang dapat diberikan kepadanya, kecuali sebelah kuku kambing atau lembu , maka berikanlah barang itu kepadanya .” ( Riwayat Imam At-Tirmidzi, disahkan oleh At-Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban )
  • Setiap orang, lebih-lebih lagi Muslimin dan Muslimat
Dari 'Abdullah bin Mas’ud , ia berkata : "Tiada seorang Muslim yang memberikan pinjaman kepada saudaranya yang Muslim satu kali melainkan dicatat sebagai dua sadaqah bagi dirinya .” ( Riwayat Ibnu Majah dan disahkan oleh Ibnu Hibban )

Diriwayatkan dari Umar bin Khaththab, katanya Rasulullah pernah ditanya oleh orang, manakah amalan yang paling utama. Sabdanya : “ Iaitu engkau memasukkan rasa gembira kepada seorang mukmin dengan jalan engkau memberinya makan ketika ia dalam keadaan lapar; atau memberinya pakaian ketika ia dalam keadaan telanjang; atau engkau mahu membantu memenuhi keperluannya .”  ( Riwayat At-Thabrani di dalam Kitab Al-Ausath )
  • Orang yang berhutang
Juga diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan At-Thabrani , tetapi pada At-Thabrani dengan lafaz :  "Aku bersaksi dengan nama Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bahawa sesungguhnya aku pernah mendengar Baginda bersabda “ Sesungguhnya manusia pertama yang mendapatkan naungan pada hari Qiyamat dengan naungan Allah ialah seseorang yang memberikan penundaan bagi orang yang berhutang kepadanya tetapi dalam kesulitan untuk mengembalikannya, sehingga orang itu mampu untuk mengembalikannya atau ia mensedekahkan hutangnya itu kepadanya. Ia berkata : "Hartaku yang engkau pinjam itu menjadi sadaqah, demi mencari keredhaan Allah ; dan kemudian ia bakar catatan hutang orang itu .” 

Di dalam kitab Syarah Sunan Bahawi, dengan lafaz : “ Barangsiapa membebaskan seseorang yang terbelit oleh hutang, maka kelak pada hari Qiyamat dia akan berada di bawah naungan ‘Arsy’ .” 

Dan pada 'Abdullah bin Ahmad dalam kitab Zaidatul Musnad disebutkan : “ Allah akan menaungi seseorang hamba dengan naungan-Nya pada hari tiada naungan kecuali naungan-Nya , iaitu orang memberikan kelonggaran pembayaran hutang dari orang-orang yang tersepit atau menghapuskannya dari orang-orang yang dibebani oleh hutang .” ( Riwayat At-Thabrani di dalam kitab Al-Kabiir dari As’ad bin Zurarah; pada kitab Al-Ausath, hadith dari Syadad bin 'Aus )
  • Haiwan ternak, haiwan peliharaan dan haiwan liar
Dari Abu Hurairah , ia berkata : Sesungguhnya Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda : “ Ketika seseorang lelaki berjalan di tengah jalan terik matahari sangat panasnya . Kemudian ia mendapati sebuah telaga, lalu ia turun, kemudian ia minum dari air itu, lalu ia keluar. Tiba-tiba seekor anjing terengah-engah dan menjilat pasir kerana kehausan. Lalu orang itu berkata dalam dirinya : Sesungguhnya anjing ini telah mengalami kehausan seperti kehausan yang telah menimpa diriku. Lalu ia turun ke telaga, kemudian memenuhi kasutnya dengan air, lalu ia gigit kasut itu dengan mulutnya sampai ia naik ke atas kemudian ia memberi minum kepada anjing itu, maka bersyukurlah Allah kepadanya dan mengampuni segala dosanya.” Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apakah dalam mengurus binatang-binatang kami mendapatkan pahala? Sabdanya : “ Pada setiap makhluq yang berdenyut jantungnya ada pahala .” ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dan dalam riwayat Ibnu Hibban dikatakan : “ Allah bersyukur kepadanya dan memasukkannya ke dalam syurga .”

UCAPAN SEBAIK MENERIMA SADAQAH

Dari Usamah bin Zaid , ia berkata : Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda : “ Barangsiapa diberi layanan baik, maka hendaklah ia berkata kepada pelakunya  : Jazza kallahu khaira ( Mudah-mudahan Allah memberi balasan kebaikan kepadamu )

Jika ia mengatakan demikian, maka sesungguhnya dia telah memberikan pujian dengan sebaik-baiknya . Dan dalam satu riwayat dikatakan : “ Barangsiapa diberikan kebaikan atau mendapat perlakuan kebaikan dan sejenisnya.” ( Riwayat At-Tirmidzi, ia mengatakan hadith ini hasan gharib )

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger