Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Memaparkan catatan dengan label adab. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label adab. Papar semua catatan

Khamis, 3 Mei 2012

Pesanan Imam Syafi'ie Untuk Menempuh Jalan Kehidupan Abadi


Gambaran wajah Imam Syafi'ie



Maqam Imam Syafi'ie di Qaherah, Mesir


Musnad Imam Syafi'i jilid 1 yang disusun oleh Muhammad Sayyid Al-Lihan dan hayat Syaiban Al-Ladaqi menguraikan "7 Hikmah dan Kata-kata Bijak Imam Syafi’ie" :
  1. Menuntut 'ilmu lebih utama daripada solat sunat.
  2. Barangsiapa menginginkan dunia, ia harus berbekal 'ilmu dan barangsiapa menginginkan akhirat, juga harus berbekal 'ilmu.
  3. Tidak ada amalan yang lebih afdhal setelah melaksanakan kewajiban daripada menuntut 'ilmu.
  4. Seseorang tidak akan berjaya menuntut 'ilmu yang didasari kekuasaan dan kebanggaan, namun ia hanya akan berjaya menuntutnya dengan usaha keras, himpitan hidup, mengabdi kepada ilmu dan bersikap kerendahan hati.
  5. Belajarlah sebelum memimpin kerana saat memimpin tidak ada lagi jalan untuk belajar.
  6. Barangsiapa menuntut 'ilmu, maka bersikap telitilah agar tidak mensia-siakan bahagian ilmu yang terkecil.
  7. Orang yang tidak mencintai 'ilmu tidak akan memperoleh kebaikan dan tidak memiliki hubungan dekat dengan 'ilmu itu sendiri dan pengetahuan.
MADAH BERHIKMAH IMAM SYAFI'IE

Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman 

Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang 



Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan 




Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang 



Aku melihat air menjadi rusak kerana diam tertahan 



Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang 



Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa 



Anak panah jika tidak tinggalkan busur tak akan kena sasaran 



Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam 



Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang 



Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang 



Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan

(Imam Syafi'i)


WASIYYAT AQIDAH YANG DIPEGANG IMAM SYAFI'IE

Muhammad bin Ali bin Shabbah Al-Baldani berkata: 'Inilah wasiat Imam Syafi`i yang diberikan kepada para sahabatnya' : "Hendaklah Anda bersaksi bahwa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Satu, yang tiada sekutu bagiNya. Dan sesungguhnya Muhammad bin Abdillah adalah hamba dan RasulNya. Kami tidak membezakan para rasul antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah Subhanahu wa Ta`ala semata, Tuhan semesta alam yang tiada bersekutu dengan sesuatu pun. Untuk itulah aku diperintah, dan saya termasuk golongan orang yang menyerahkan diri kepadaNya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta`ala membangkitkan orang dari kubur dan sesungguhnya Syurga itu haq, Neraka itu haq, azab Neraka itu haq, Hisab itu haq dan timbangan amal serta titian Sirat itu haq dan benar adanya. Allah Subhanahu wa Ta`ala membalas hambaNya sesuai dengan amal perbuatannya. Di atas keyakinan ini aku hidup dan mati, dan dibangkitkan lagi InsyaAllah. Sesungguhnya Al-Qur`an itu adalah kalam Allah Subhanahu wa Ta`ala, bukan makhluk ciptaanNya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta`ala di hari akhir nanti akan dilihat oleh orang-orang Mukmin dengan mata telanjang, jelas, terang tanpa ada suatu penghalang, dan mereka mendengar firmanNya, sedangkan Dia berada di atas `Arasy. Sesungguhnya takdir, baik buruknya adalah berasal dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung. Tidak terjadi sesuatu kecuali apa yang Allah Subhanahu wa Ta`ala kehendaki dan Dia tetapkan dalam qadha` dan qadarNya.


Sesungguhnya sebaik-baik manusia setelah Baginda Rasullullah shallallahu `alaihi wa sallam adalah Abu Bakar, 'Umar, 'Utsman dan 'Ali radhiallahu`anhum. Aku mencintai dan setia kepada mereka, dan memohonkan ampun bagi mereka, bagi pengikut perang Jamal dan Syiffin, baik yang membunuh mahupun yang terbunuh, dan bagi segenap para Nabi. Kami setia kepada pemimpin negara Islam (yang berdasarkan Al-Qur`an dan As-Sunnah) selama mereka mendirikan solat. Tidak boleh membangkang serta memberontak mereka dengan senjata. Kekhilafahan (kepemimpinan) berada di tangan orang Quraisy. Dan sesungguhnya setiap yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun diharamkan. Dan nikah mut`ah adalah haram.



Aku berwasiat kepadamu dengan taqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, konsisten dengan Sunnah dan Atsar dari Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam dan para sahabatnya. Tinggalkanlah bid`ah dan hawa nafsu. Bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala sejauh mana yang engkau mampu. Ikutilah solat Jum`at, solat berjama`ah dan solat sunnat (Rasullullah Shallallahu’alaihi wasallam). Berimanlah dan pelajarilah agama ini. Siapa yang mendatangiku di waktu ajalku tiba, maka bimbinglah aku membaca "Laailahaillallah Wahdahu laa syarikalahu wa anna Muhammadan `abduhu warasuuluh".



Di antara yang diriwayatkan Abu Tsaur dan Abu Syu`aib tentang wasiat Imam Syafi`i adalah: "Aku tidak mengkafirkan seseorang dari ahli tauhid dengan sebuah dosa, sekalipun mengerjakan dosa besar, aku serahkan mereka kepada Allah 'Azza Wa Jalla dan kepada takdir serta iradahNya, baik atau buruknya, dan keduanya adalah makhluk, diciptakan atas para hamba dari Allah Subhanahu wa Ta`ala. Siapa yang dikehendaki menjadi kafir, kafirlah dia, dan siapa yang dikehendakiNya menjadi Mukmin, Mukminlah dia. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta`ala tidak redha dengan keburukan dan kejahatan dan tidak memerintahkan atau menyukainya. Dia memerintahkan ketaatan, mencintai dan meredhainya. Orang yang baik dari umat Muhammad shallallahu ’alaihi wasallam masuk Syurga bukan kerana kebaikannya (tetapi kerana rahmatNya). Dan orang jahat masuk Neraka bukan kerana kejahatannya semata-mata. Dia menciptakan makhluk berdasarkan kehendakNya, maka segala sesuatu dimudahkan bagi orang yang diperuntukkannya, sebagaimana yang terdapat dalam hadis (riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya).



Aku mengakui hak pendahulu Islam yang soleh yang dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala untuk menyertai NabiNya, mengambil keutamaannya. Aku menutup mulut dari apa yang terjadi di antara mereka, pertentangan ataupun peperangan baik besar mahupun kecil. Aku mendahulukan Abu Bakar, kemudian 'Umar, kemudian Utsman, kemudian 'Ali radhiallahu `anhum. Mereka adalah Khulafaa Ar-Raasyidin. Aku ikat hati dan lisanku bahawa Al-Qur`an adalah Kalamullah yang diturunkanNya, bukan makhluk yang diciptakan. Sedangkan mempermasalahkan lafaz (ucapan seseorang yang melafazkan Al-Qur`an, apakah makhluk atau bukan?) adalah bid`ah, begitu pula sikap tawaqquf (diam, tidak mahu mengatakan Al-Qur`an itu bukan makhluk, juga tidak mau mengatakan Al-Qur`an itu makhluk") adalah bid`ah. Iman adalah ucapan dan amalan yang mengalami pasang surut
(kitab Al-Amru bil Ittiba`, Imam Jalaluddin As-Suyuthi, halaman 152-154; ditahqiq oleh Mustofa Asyur; kitab Ijtima`ul Juyuusyil Islamiyah, Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah, halaman 165).


10 WASIYYAT BERKENAAN HAK-HAK TERTENTU

Sebelum Imam Syafi'ie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat islam umumnya. Berikut adalah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dlm keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara" :

■Hak kepada diri sendiri
  1. Kurangkan tidur
  2. Kurangkan makan
  3. Kurangkan berkata-kata 
  4. Berpada-pada dengan rezeki yang ada
■Hak kepada Malaikat Maut ['Izrail 'Alaihissalam]
  1. Menggantikan segala kewajipan yang tertinggal
  2. Mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi
  3. Membuat persediaan untuk mati kelak
  4. Merasa cinta kepada Allah 'Azza Wa Jalla
■Hak kepada kubur
  1. Membuang sikap suka menabur fitnah
  2. Membuang tabiat suka kencing merata-rata
  3. Memperbanyakkan solat tahajjud
  4. Membantu orang yang dizalimi
■Hak kepada Malaikat Munkar dan Nakir
  1. Tidak berdusta
  2. Berkata benar
  3. Meninggalkan maksiat
  4. Saling nasihat-menasihati
■Hak kepada Al-Mizan (neraca timbangan amalan pada hari kiamat)
  1. Menahan kemarahan
  2. Banyakkan berzikir
  3. Mengikhlaskan amalan
  4. Sanggup menahan kesulitan dan kesusahan
■Hak kepada As-Sirath (titian yg merintangi neraka pada hari kiamat)
  1. Membuang tabiat suka mengumpat
  2. Warak
  3. Suka membantu orang beriman
  4. Suka berjemaah
■Hak kepada Malik (malaikat penjaga neraka)
  1. Menangis lantaran takutkan Allah 'Azza Wa Jalla
  2. Berbuat baik kepada ibu bapa
  3. Bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi
  4. Memperelokkan akhlaq
■Hak kepada Ridhwan (malaikat penjaga syurga)
  1. Merasa redha kepada qadha’ Allah 'Azza Wa Jalla
  2. Bersabar menerima bala musibah
  3. Bersyukur di atas nikmat Allah 'Azza Wa Jalla
  4. Bertaubat dari melakukan maksiat
■Hak kepada Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam
  1. Berselawat ke atas baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam
  2. Berpegang dengan Syari'at
  3. Bergantung kepada As-Sunnah (hadis)
  4. Menyayangi para Sahabat Rasulullah
  5. Bersaing dalam mencari kelebihan dari Allah 'Azza Wa Jalla
■Hak kepada Allah 'Azza Wa Jalla
  1. Mengajak manusia ke arah kebaikan
  2. Mencegah manusia dari kemungkaran
  3. Menyukai keta'atan
  4. Membenci kemaksiatan

30 WASIYYAT BERKENAAN KEHIDUPAN
  • Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
  • Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.
  • Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.
  • Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.
  • Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.
  • Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
  • Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.
  • Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.
  • Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.
  • Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.
  • Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima (5) perkara iaitu yaqin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.
  • Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.
  • Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.
  • Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.
  • Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minasy syaithonir rajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.
  • Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.
  • Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu, luruskan dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-Haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.
  • Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat Syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar Iblis di istana kerajaannya.
  • Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.
  • Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana 'Umar bin al-Khattab menyiasat dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.
  • Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.
  • Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
  • Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.
  • Sesiapa yang menjalin ukhuwwah [persaudaraan] dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah Ar-Rum ayat 47 yang bermaksud :
A047
Mafhum : "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud :
A038
Mafhum : "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud :
A257
Mafhum : "Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud :
A054
Mafhum : "Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raaf ayat 96 yang bermaksud :
A096
Mafhum : "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan"

SYA'IR IMAM SYAFI'IY
Mafhum :-

Telah aku [Imam Syafi'iy] adukan kepada Waki' [guru Imam Syafi'iy] akan cacatnya hafazanku... 

Maka ditunjukinya kepadaku agar meninggalkan segala kemaksiatan...

Dan telah beliau nyatakan "Sesungguhnya 'ilmu itu cahaya...

Dan cahaya Allah itu tiada memberi petunjuk kepada si pelaku maksiat"...


WASIYYAT PERKARA KESIHATAN ZAHIR DAN BATIN



Empat (4) perkara menguatkan sistem badan :-
  1. Memakan daging
  2. Memakai wangian harum
  3. Kerap mandi
  4. Memakai pakaian dari tenunan kapas
Empat (4) perkara melemahkan sistem badan :-
  1. Banyak berkelamin (bersetubuh)
  2. Selalu merasa gelisah dan cemas
  3. Banyak meminum air ketika makan [selang-seli makanan dan air]
  4. Banyak memakan bahan-bahan yang masam
Empat (4) perkara menajamkan pandangan mata :-
  1. Duduk mengadap arah Qiblat
  2. Memakai celak mata sebelum tidur
  3. Memandang segala benda yang hijau
  4. Memakai pakaian yang bersih
Empat (4) perkara merosakkan pandangan mata :-
  1. Memandang/melihat najis atau benda-benda kotor
  2. Melihat orang mati dibunuh
  3. Melihat kepada organ kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain
  4. Duduk membelakangi arah Qiblat
Empat (4) perkara menajamkan aqal fikiran :-
  1. Tidak banyak berbual kosong [berbicara perkara bermanfa'at]
  2. Rajin bersugi (membersihkan gigi)
  3. Berbicara dengan orang-orang yang Soleh
  4. Bergaul mesra dengan para 'Ulama
Empat (4) jenis tidur manusia :-
  • Tidurnya ibarat tidur para Nabi dan Rasul

Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
  • Tidurnya ibarat tidur para 'ulama dan ahli 'ibadah
Mengiring sebelah lambung kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.
  • Tidurnya ibarat tidur para Raja yang tamak
Mengiring sebelah lambung kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.
  • Tidurnya ibarat tidur para Syaitan
Menelungkup/meniarap seperti tidurnya ahli neraka.


Khamis, 5 April 2012

Sahabat : Manusia Berhati Mulia

MAKSUD PERSAHABATAN

“Selemah-lemah manusia ialah orang yang tidak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang dicari” 
- Saiyyidina Ali bin Abi Talib - 

Bersandarkan mutiara kata dari Sayyidina 'Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah, jelas menggambarkan pentingnya sahabat dalam kehidupan manusia. Sumber kekuatan dan kelemahan seseorang dapat dilihat dengan siapakah manusia itu bersahabat. 

Secara bahasa, kata ash-shahabah (الصحابة) adalah bentuk plural (jamak) dari kata shahib (صاحب) atau shahabiy (صحابي) yang berarti teman sejawatan/rakan sebaya.

Persahabatan bermaksud menjalin hubungan rapat dan saling bantu-membantu antara satu sama lain di atas satu tujuan yang sama. Keadaan ini wujud melalui bentuk-bentuk tujuan yang ingin dikejar dan direalisasikan oleh sekumpulan manusia. Tanpa ada sebarang tujuan, maksud persahabatan tidak terjadi.
PERSAHABATAN DALAM ISLAM
Banyak perkara dibangkitkan dalam mewujudkan persahabatan terutamanya persahabatan atas dasar agama. Islam telah menggariskan panduan berguna zaman-berzaman berkenaan jenis orang yang sesuai bersahabat, adab bersahabat, pantang-larang persahabatan dan lain-lain lagi.
DALIL-DALIL BERKENAAN TUNTUTAN BERSAHABAT
A067 
Mafhum : "Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh)" [surah Az-Zukhruf, ayat 67]

A028 
Mafhum : "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran" [Surah Al-Kahfi, ayat 28]

A028 
Mafhum : "Janganlah orang-orang yang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan sesiapa yang melakukan (larangan) yang demikian maka tiadalah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apapun, kecuali kamu hendak menjaga diri daripada sesuatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (yang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diriNya (menyeksa kamu). Dan kepada Allah jualah tempat kembali" [Surah Aali 'Imran, ayat 28]
A081 
Mafhum : "Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi serta apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang (musyriq) sebagai teman rapat, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang fasiq" [Surah Al-Maaidah, ayat 81]

HAQIQAT PERSAHABATAN DALAM ISLAM

Persaudaraan Islam adalah persaudaraan yang istimewa. Ini adalah persaudaraan yang tidak terikat oleh kaum, kewarganegaraan, asal-usul ataupun keturunan. Ini adalah persaudaraan yang diikat oleh tauhid. Setiap insan yang beriman kepada Allah, maka mereka semua adalah saudara untuk satu dengan yang lain.

Allah 'Azza wa Jalla telah memberitahu kepada kita bahawa persaudaraan sesama mukminin adalah perintah-Nya. Firman Allah:

A010
Mafhum : "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat" [Surah Al-Hujuraat, ayat 10] 

Persaudaraan Islam adalah sesama Muslim sahaja. Tapi ini tidak bermakna kita boleh menterhadkan saudara seislam kita hanya dengan mereka yang rapat dengan kita, atau dengan mereka yang sama-sama dalam jemaah kita. Ini satu pemahaman yang keliru. Sesiapa sahaja yang beragama Islam adalah dikira sebagai saudara kita, dan kita wajar berakhlak dengan mereka sesuai dengan apa yang diperintahkan oleh Allah dan RasulNya. 

Rasulullah s.a.w juga telah memerintahkan kepada kita agar kita tidak mengambil orang kafir sebagai sahabat: “Janganlah engkau bersahabat kecuali dengan orang mukmin” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban. Lihat: Sahihul Jami’) 

Jadi tidak dibenarkan bersahabat dengan orang kafir, kecuali hanya sekadar kenalan, dituntut untuk berbaik-baik dan berlaku adil kepada mereka serta hanya membantu mereka untuk hal-hal yang baik sahaja.  

Allah ta’ala berfirman:-
A008
Mafhum : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil” [Surah Al-Mumtahanah, ayat 8]

KATEGORI SAHABAT

Ketahuilah bahawasanya sahabat itu tiga (3) kategori:-
  • Umpama makanan yang tak dapat tidak [mesti] kita perlukannya setiap waktu.
  • Umpama ubat yang diperlukan ketika sakit dan tidak diperlukan ketika sihat.
  • Umpama penyakit yang kita tidak memerlukannya sekali-kali bahkan kita perlu menjauhinya.
Orang yang benar-benar bersahabat ada beberapa peringkat: 
  • Sahabat secara umum
Iaitu sahabat yang berada di dalam satu perjuangan Islam atau di dalam sebuah jemaah Islam yang bercita-cita menegakkan Islam di dalam kehidupan individu, rumah tangga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat. 
  • Sahabat secara khusus
Sahabat secara khusus iaitu orang yang bersahabat dengan lebih mendalam lagi kasih sayang dan ikatan jiwa satu sama lain. Selain daripada diikat oleh sahabat secara umum, ditambah pula kerana ada cita-cita bersama menegakkan Islam. 
  • Sahabat yang dipersaudarakan
Sahabat ini lebih mendalam lagi kerana mereka ada membuat perjanjian antara satu sama lain. Bersaudara seolaholah adik-beradik satu keturunan, dari satu ibu dan ayah.Itulah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW di kalangan para Sahabat.

Rasulullah shalallahu 'alaihi wa sallam mengingatkan : “Perumpamaan teman yang soleh dengan yang buruk itu seperti penjual minyak wangi dan tukang besi. Berteman dengan penjual minyak wangi akan membuatmu harum kerana kamu biasa membeli minyak wangi darinya atau sekurang-kurangnya mencium bau wanginya. Sementara berteman dengan tukang besi akan membakar badan dan bajumu atau kamu hanya akan mendapatkan bau tidak sedap” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

TARAF-TARAF ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS SAHABATNYA
  • Golongan orang yang soleh
Iaitu seseorang sahabat terhadap sahabatnya sekadar dapat memberi tanggungjawabnya kepada sahabatnya apabila diminta. Apabila sahabat itu memerlukan sesuatu, kalau dia tahu, (sama ada dia tahu sendiri atau sahabatnya memberitahu atau ada orang lain memberitahu) dia akan membantunya. Dengan kata-kata yang lain dia akan membantu, memberi, menolong sahabatnya di waktu sahabatnya memerlukan bantuannya. 
  • Golongan muqarrabin [orang yang hampir ke hadrat Allah 'Azza Wa Jalla]
Iaitu seorang sahabat dapat memberi tanggungjawab terhadap sahabatnya dengan memberi sesuatu kepunyaannya dibahagi dua kepada sahabat-sahabatnya. Apa sahaja yang dia dapat, maka separuh untuknya dan separuh lagi untuk sahabatnya. Dengan kata-kata yang lain setiap nikmat yang dia perolehi dia akan memberi sahabatnya separuh daripadanya iaitu sama banyak atau dibahagi dua. 
  • Golongan siddiqin [orang yang benar dalam setiap perkataan dan perbuatannya]
Iaitu seseorang itu lebih mengutamakan sahabatnya daripada diri sendiri. Ini adalah berdasarkan ayat Al Quran dari surah Aali 'Imran, ayat 159 :-

A159
Mafhum : "Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya"

PENGERTIAN SUATU PERSAHABATAN

KECINTAAN merupakan elemen yang paling penting dalam sesebuah persahabatan. Ikatan persahabatan akan mudah rapuh sekiranya tidak wujud kecintaan di antara dua orang insan yang disandarkan kepada Allah SWT. Oleh itu, kita perlulah meluahkan rasa cinta terhadap sahabat dengan mengungkapkan ‘uhibbuka’ atau ‘ukhuwah fillah’ (bagi sahabat yang sama jantina) agar mereka tahu betapa cintanya kita terhadap mereka kerana Allah. 

KASIH SAYANG lebih kurang sama maksudnya dengan kecintaan. Namun, setelah kita mencintai sahabat, kita perlulah mencurahkan segala kasih sayang kita terhadap mereka. Ada ketikanya kasih sayang kamu itu tidak perlu dipamerkan secara terang-terangan. Cukup sekiranya menunjukkan kasih sayang itu dengan mendoakan perkara-perkara yang baik untuk sahabat. 

KEIKHLASAN dapat menjamin sesebuah persahabatan itu mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah. Sekiranya tidak ikhlas ketika bersahabat, ia boleh mengundang permusuhan di antara sahabat. Sebaiknya pilih sahabat berdasarkan budi pekertinya, rasa tanggungjawab, keperihatinan dan bukannya semata-mata kerana paras rupa, pangkat atau harta yang dimilikinya. 

KESETIAAN terhadap seseorang sahabat mampu memanjangkan lagi ikatan persahabatan walaupun jarang bertemu. Apabila setia terhadap sahabat, kesannya sahabat juga akan sentiasa mengingati apa jua pengorbanan yang telah dicurahkan kepadanya. Ini kerana sentiasa berada di sisinya tidak kira susah mahupun senang. 

KEBERANIAN dalam berkata benar. Dalam sesebuah persahabatan, hendaklah berani mengatakan sesuatu perkara kepada sahabat, apatah lagi tentang perkara-perkara yang boleh menyakiti hatinya. Hendaklah berani mengaku dan berterus-terang kepadanya atas kesilapan yang telah dilakukan. Haruslah berani menasihati dan saling menegur sahabat. 

KEJUJURAN perlu dalam sesebuah persahabatan. Jangan sesekali menipu atau menyembunyikan apa-apa daripada pengetahuan sahabat kamu itu. Dengan berkata benar dan jujur, ini akan mengukuhkan lagi tali persahabatan. Hanya boleh berahsia pada perkara-perkara yang perlu dirahsiakan daripadanya sahaja. 

KEMAAFAN merupakan perkara yang perlu ada dalam etika bersahabat. Sekiranya sahabat melakukan kesilapan, hendaklah bersedia untuk memaafkannya, tidak kiralah sama ada kesalahannya itu besar ataupun kecil. Sahabat yang baik ialah sahabat yang bersedia untuk memaafkan sahabatnya, begitulah sebaliknya. 

KESEDIHAN yang dihadapi oleh sahabat haruslah dikongsi bersama. Apabila mengetahui sahabat itu berada dalam keadaan yang berdukacita, sebagai sahabat hendaklah sentiasa berada di sisinya. Kehadiran itu sekurang-kurangnya dapat meringankan kesedihan yang ditanggungnya dan dalam masa yang sama ia boleh meringankan bebanan yang dipikulnya itu. 

KEGEMBIRAAN yang hadir dalam diri sahabat itu, memberi makna yang kamu juga rasa gembira. Pasti rasa senang apabila melihat sahabat bergelak ketawa dan sentiasa mengukir senyuman yang indah pada raut wajah mereka. 

KESERASIAN merujuk pada kesamaan mahupun ‘sekepala’ dalam apa jua yang kamu dan sahabat lakukan bersama. Dengan wujudnya keserasian ini, aktiviti yang dilakukan bersama akan menjadi lebih mudah dan lancar. Malah keserasian ini akan mewujudkan persefahaman antara kamu dan sahabat.


CIRI-CIRI SAHABAT SEJATI

Ada 12 ciri sahabat sejati menurut Imam Al Ghazali:-
  1. Jika kamu berbuat baik kepadanya, maka dia juga akan melindungimu.
  2. Jika kamu merapatkan ikatan persahabatan dengannya, maka dia akan membalas balik persahabatanmu itu.
  3. Jika kamu memerlukan pertolongan darinya, maka dia akan berupaya membantu sesuai dengan kemampuannya.
  4. Jika kamu menawarkan berbuat baik kepadanya, maka dia akan menyambut dengan baik.
  5. Jika ia memperoleh suatu kebaikan atau bantuan darimu, maka dia akan menghargai kebaikan itu.
  6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik darimu, maka maka dia akan berupaya menutupinya.
  7. Jika kamu meminta sesuatu bantuan darinya, maka dia akan mengusahakannya dengan bersungguh-sungguh.
  8. Jika kamu berdiam diri kerana malu untuk meminta, maka dia akan bertanyakan kesukaran yang kamu hadapi.
  9. Jika bencana datang menimpa dirimu, maka dia akan berbuat sesuatu untuk meringankan kesusahanmu.
  10. Jika kamu berkata benar kepadanya, dia akan membenarkanmu.
  11. Jika kamu merencanakan sesuatu kebaikan, maka dengan senang hati dia akan membantu rencana itu.
  12. Jika kamu berdua sedang berbeza pendapat atau berselisih faham, dia akan lebih senang mengalah demi menjaga persahabatan itu.
BAGAIMANA UNTUK PILIH SAHABAT?

Apabila mahu memilih sahabat untuk menemani kita dalam menuntut ilmu atau untuk pekerjaan agama dan dunia atau teman bermusafir, hendaklah kita memelihara dan memilih ciri-ciri seperti berikut:-
  • Orang yang sempurna akalnya
Tiada faedahnya kita bersahabat dengan orang yang kurang akalnya kerana pada akhirnya membawa kepada perkelahian dan menyakiti hati. Musuh yang berakal terlebih baik dari taulan yang bodoh.
  • Orang yang baik akhlak kelakuan dan budi perangainya
Janganlah bersahabat dengan orang yang buruk akhlak perangainya iaitulah orang yang tidak dapat mengawal marah dan nafsu mazmumahnya.
  • Orang yang soleh
Jauhkan bersahabat dengan orang fasiq yang sentiasa melakukan dosa kerana kita takkan terlepas dari kejahatannya.
  • Orang yang tidak cintakan keduniaan
Bersahabat dengan orang yang sangat cintakan dunia (materialistik) itu seperti racun yang membunuh diri kita.
  • Orang yang siddiq (benar) pada segala perkataan dan perbuatannya
Cakap tidak serupa perbuatan bukanlah orangnya kerana berdusta itu antara ciri-ciri orang Munafiq. 
Hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam yang bermaksud : “Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah diperhatikan siapa yang harus dipilih sebagai teman/rakan” (Riwayat At-Tirmidzi)

ADAB ORANG YANG BERSAHABAT SESAMA SAHABATNYA


Adab orang yang bersahabat itu ada banyak perkaranya, tetapi disebutkan oleh Imam Al-Ghazali didalam kitabnya “Bidayatul-Hidayah” hanyalah dua puluh tiga (23) perkara sahaja iaitu:-
  1. Melebihkan sahabatnya atas dirinya dari segi material. Jangan terlalu bakhil.
  2. Membantu sahabatnya dari segi keperluannnya dengan bersegera tanpa ia meminta tolong.
  3. Menyembunyikan segala rahsia-rahsia sahabatnya.
  4. Menutup segala kea’ibannya.
  5. Apabila ia mendengar seseorang mencela sahabatnya, dia tidak menyampaikan perkataan itu kepada sahabatnya.
  6. Apabila seseorang menceritakan keburukan sahabatnya, janganlah ia mendengarnya.
  7. Apabila mendengar seseorang memuji sahabatnya atau sesuatu yang menyukakannya, hendaklaklah ia menyampaikan khabar itu kepadanya.
  8. Apabila sahabatnya berucap, hendaklah ia bersungguh-sungguh mendengar ucapannya.
  9. Meninggalkan berbantah-bantah dengan sahabatnya.
  10. Memanggil sahabatnya dengan nama yang ia sukai, bukan gelaran yang buruk.
  11. Apabila melihat sahabatnya berbuat kebajikan, hendaklah ia bersyukur atas perbuatannya.
  12. Menegahkan seseorang daripada mencela sahabatnya sepertimana ia menegahkan seseorang mencela dirinya.
  13. Memberi nasihat kepada sahabatnya dengan perkataan yang lemah lembut,bukan dengan sindiran yang pedas dan tajam menikam hati.
  14. Memaafkan segala kesilapan sahabatnya, bukan memerli atau menempelaknya.
  15. Mendoa’kan sahabatnya didalam solatnya semasa hidupnya dan selepas matinya.
  16. Membuat kebaikan dengan ahli keluarga sahabatnya kemudian dari matinya.
  17. Jangan membebani sahabatnya dengan permasalahannya supaya senang hatinya.
  18. Menzahirkan kegembiraan dengan sebab nikmat yang didapati oleh sahabatnya.
  19. Menzahirkan kedukaan dengan sebab kesusahan yang menimpa sahabatnya.
  20. Hendaklah ia memulai salam ketika bertemu dengan sahabatnya.
  21. Apabila datang sahabatnya ke suatu majlis, hendaklah ia membuka ruang duduk untuk sahabatnya dan jika tiada ruang untuknya, hendaklah ia berpindah ketempat lain bagi memberi ruang untuk sahabatnya.
  22. Apabila sahabatnya mahu pulang ke tempatnya, hendaklaklah menurutinya hingga kemuka pintu rumah atau pagar untuk memuliakannya.
  23. Apabila berkata-kata sahabatnya, hendaklah ia diam seraya mendengar segala perkataannya sehinggalah selesai.Kemudian barulah ia memulakan pula perkataannya. Jangan sekali-kali ia mencelah perkataan sahabatnya. 
Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam hadis Qudsi yg bermaksud: “Sudah pastilah kecintaan-KU itu untuk orang-orang yang saling ziarah menziarahi kerana AKU, sudah pasti pula kecintaan-KU untuk orang yang saling cinta mencintai kerana AKU, sudah pasti pula kecintaan-KU kepada orang-orang yang saling bantu-membantu kerana AKU. Juga sudah pastilah kecintaan-KU untuk orang yang saling tolong menolong kerana AKU” (Riwayat Ahmad dan Hakim) 

Al-Qamah iaitu seorang ulama’ masyhur dahulu kala memberikan beberapa panduan kepada anaknya dalam memilih sahabat antaranya :-
  • Jika engkau meminta sesuatu bantuan darinya, dia akan membantu mengusahakan pertolongan itu sedaya upayanya.
  • Jika dia mendapat sesuatu kebajikan daripadamu, dia akan menghargainya.
  • Jika engkau membuat bakti kepadanya pasti dia akan melindungimu.
  • Jika engkau berdua berselisih faham, dia akan mengalah untuk menjaga ikatan persahabatan itu.
SYARAT PERSAHABATAN DALAM ISLAM

Syarat-syarat bersahabat dalam islam ada 5 :-
  • BERAQAL
Jangan anda bersahabat dengan orang yang jahil. Jangan anda berdamping dengannya. Berapa banyak orang jahil merosakkan org yang berbudi tidak berkawan, kerana ukuran orang yang bersahabat dilihat siapa sahabatnya. 

"Bagi hati dengan hati, menjadi bukti ketika ia bertaut" -Saidina Ali bin Abi Talib-
  • BERAKHLAQ MULIA
Saudaramu yang sejati ialah siapa yang selalu bersamamu, yang sanggup berkorban demi kebahagiaanmu, kalau ada sesuatu yang menimpa ia sanggup meninggalkan sesiapa pun demi membantumu.
  • BAIK HATI
Sahabat yang sejati, hatinya bersih dan suci sepertimana wajah yang sentiasa senyum dan bersih diibaratkan yang penyayang dan sentiasa memberi nasihat berunsurkankebaikkan.
  • ZUHUD
Apabila kamu melihatnya kamu akan segera mengigati Allah swt, merasa dekat dengan Allah. Apabila kamu melihat amalnya, kamu menjadi zuhud terhadap dunia. 
  • BENAR
Sahabat yang bersifat benar sentiasa mendapat berkat apabila bersahabat. Tidak berprasangka buruk dan tidak mengkhianati temannya. 

Sayidina 'Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah pernah berkata : "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada disisimu (ketika susah dan senang).  Dia sanggup membahayakan dirinya demi kebaikanmu, sanggup berkorban apa sahaja untuk kepentinganmu"

SEBAB-SEBAB IKATAN PERSAHABATAN TIDAK KUAT
  • Bersahabat kerana ada kepentingan peribadi.
Sama ada kedua-dua orang yang bersahabat atau salah seorangnya ada kepentingan peribadi. Mungkin kerana kekayaan orang itu, atau kerana kekuatan orang itu yang mana kalau ada musuh, boleh tumpang berlindung atau menumpang pengaruhnya. Apabila tujuan tersebut sudah tiada lagi, bersahabat sudah tidak diperlukan lagi.
  • Bersahabat dengan sebab seagama, sebangsa, sekaum, sekampung, senegeri dan lain-lain.
Bersahabat apabila bertemu dengan orang yang satu kaum atau satu kampung atau satu negeri atau satu bangsa atau seagama (walaupun agamanya tidak dipraktikkan) di negeri atau negara lain yang asing pada mereka. Di waktu itu mungkin mereka tidak boleh sesuaikan diri di segi agama, bahasa, bangsa atau budaya di situ. Maka di waktu itu mereka amat rapat kerana satu sama lain memerlukan lantaran sama-sama berdagang di negeri atau di negara orang. Setelah berpisah atau setelah sama-sama balik ke negeri sendiri, walaupun bertemu tetapi hubungan rapat sudah tiada lagi. 
  • Sahabat kongsi
Bersahabat kerana berkongsi perniagaan atau penternakan untuk hidup. Selama berkongsi bolehlah bersahabat. Apabila sudah tidak berkongsi lagi, satu sama lain sudah macam orang lain sahaja. Tidak serapat dulu. 
  • Sahabat seasrama
Bersahabat sewaktu sama-sama duduk di asrama. Kebetulan pula berkongsi di dalam satu bilik atau duduk di pondok pengajian di dalam satu bangunan. Sama-sama memasak dan mentelaah pelajaran. Setelah habis pengajian, bersahabat sudah tidak berlaku lagi. Seolah-olah macam kenalan biasa walaupun masih selalu bertemu. 
  • Bersahabat kerana takut
Bersahabat kerana duduk di satu kawasan yang banyak berlaku jenayah. Oleh kerana takut bersendirian, maka terpaksa bersahabat. Setelah jenayah sudah tiada atau berpindah tempat, masing-masing membawa diri. Kalau pun masih boleh bertemu, tidak serapat dahulu.

ADAB-ADAB PERSAUDARAAN DALAM ISLAM
  • Khabarkan kepada saudaranya itu bahawa kita mencintainya kerana Allah
Berkenaan dengan hal ini, sabda Rasulullah sshollallahu 'alaihi wa sallam : Jika salah seorang daripada kamu mencintai saudaranya, hendaklah ia memberitahu kepadanya bahwa dia mencintainya” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, Al-Hakim, Ibnu Hibban. Lihat: Sahihul Jami’) Dalam hadith yang lain, ada disebut “mencintainya kerana Allah” (uhibbuhu fillah). (Riwayat Ahmad)

Lihatlah akhlak yang mulia dan cukup indah ini. Syeikh 'Abdul Aziz Fathi As-Sayyid Nada memberi komen tentang hal ini : “Selayaknya seorang muslim tidak merasa segan atau malu untuk menghidupkan sunnah Nabi musthofa s.a.w, menyebarkannya dan menampakkannya di tengah-tengah manusia. Bahkan, ini merupakan amal soleh yang sangat agung, yang akan terus mengalirkan pahala baginya.” (Mansuu’atul Aadaab Al-Islamiyyah

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu yang maksudnya, "Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya yakni sahabatnya di sebuah kampung yang lain. Lalu Allah menyuruh seorang malaikat untuk memerhatinya di dalam perjalanan. 

Lalu malaikat itu bertanya kepada lelaki itu, “Hendak ke mana engkau?” 

Lelaki tersebut menjawab, “Aku hendak menemui seorang sahabatku di kampung itu”. 

Malaikat bertanya lagi, “Adakah bagimu tempat kepadanya yang engkau mengharap balasan daripadanya?” 

Lelaki itu menjawab, “Tidak, aku mencintainya kerana Allah.” 

Maka berkatalah malaikat itu kepadanya, “Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau. Bahawa sesungguhnya Allah SWT telah mencintaimu sebagaimana kamu mencintai dia kerana Allah” (Riwayat Muslim)
  • Mengucapkan salam ke atas saudaranya
Hal ini ada disebutkan dalam hadith berikut, telah bersabda Rasulullah sholallahu 'alaihi wa sallam: "Hak Muslim atas Muslim yang lainnya ada enam. Para sahabat bertanya: “Apa sahaja, wahai Rasulullah?. Berkata Rasulullah s.a.w: “Ucapkan salam jika berjumpa denganya. Jika ia mengundang kamu, maka penuhilah undangannya. Jika dia meminta nasihat, maka berilah nasihat. Jika dia bersin dan memuji Allah (mengucapkan Alhamdulillah), maka ucapkanlah tasymit (Yarhamukumullah). Jika ia sakit, maka jenguklah dia. Jika dia meninggal dunia, maka iringilah jenazahnya" (Riwayat Muslim) 

Ucapan salam adalah perkara pertama yang disebut dalam enam hak muslim kepada muslim yang lainnya. Sebab itu, kita perlu membiasakan memberikan ucapan salam dan membalasnya. Ucapkan salam dengan penuh keikhlasan dan bersungguh-sungguh.
  • Memenuhi undangan dari saudaranya
Berdasarkan hadith di atas tadi, ada disebut bahawa memenuhi undangan adalah hak yang perlu disempurnakan. Sekalipun kita berpuasa, kita harus cuba memenuhi undangan yang diterima. 

Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Jika salah seorang daripada kamu diundang, hendaklah ia memenuhi undangan tersebut. Jika dia sedang berpuasa (sunnah), hendaklah ia mendoakan pihak pengundang. Jika dia tidak berpuasa, maka makanlah” (Riwayat Muslim) 

Namun demikian, sekiranya kita benar-benar tidak mampu untuk hadir, seperti tidak sihat ataupun kerana berada terlalu jauh daripada majlis undangan hingga mustahil untuk dapat hadir, sebaiknya maklumkan kepada tuan rumah tentang hal ini dan kemudian bolehlah untuk tidak hadir. Selain itu, jika majlis tersebut boleh memberi mudarat kepada agama atau tubuh badan seseorang, maka undangan tersebut boleh ditolak. (Minhajul Muslim)
  • Memberi nasihat jika diminta oleh saudaranya
Ini adalah satu tuntutan jelas, disebutkan sebagai hak yang ketiga dalam hadis enam hak muslim tadi. Jangan sesekali kita mengabaikan saudara seaagama kita yang meminta nasihat daripada kita, berilah nasihat semampunya. Jika kita betul-betul tidak mampu, atau tidak tahu apa yang boleh kita nasihatkan, bolehlah kita cuba untuk merujuk masalah saudara kita itu kepada pihak yang selayaknya, jika saudara kita itu sudi untuk berbuat demikian.
  • Mengucapkan tashmit ketika saudaranya bersin
Mengucapkan tashmit adalah hak yang keempat disebut dalam hadith enam hak muslim tadi. Tashmit bermaksud ucapan “yarhamukallah” (semoga Allah merahmati kamu). 

Apabila seseorang Muslim bersin, dia dituntut untuk mengucapkan “Alhamdulillah”. Orang yang mendengar hal itu perlu mengucapkan tashmit. 

Setelah itu, orang yang bersin perlu mengucapkan “yahdikumullahu wa yuslihu baalakum” (semoga Allah memberi hidayah dan memperbaikkan keadaan diri kamu). Hal ini ada disebut dalam hadith sahih, riwayat Al-Bukhari. Jika orang yang bersin tidak mengucapkan Alhamdulillah, maka tidak perlu ucapkan tashmit. 

Rasulullah s.a.w bersabda: “Jika seorang daripada kalian bersin kemudian memuji Allah, maka ucapkanlah tasymit kepadanya. Jika dia tidak memuji Allah, maka jangan kamu ucapkan tashmit kepadanya” (Riwayat Muslim)
  • Menziarahi saudaranya ketika dia sakit
Ini adalah hak kelima disebutkan dalam hadith hak muslim tadi. Menziarahi saudara muslim yang sakit adalah satu adab yang begitu bernilai. 

Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Barangsiapa menjenguk orang sakit maka ia tetap berada di khurfatul jannah sampai dia kembali. Para sahabat bertanya: “Apa itu khurfatul jannah wahai Rasulullah?” Baginda s.a.w menjawab: ‘Janaaha’ (kebun yang sedang berbuah di syurga)” (Riwayat Muslim) 

Lagi sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam: “Tidaklah seorang muslim menjenguk saudaranya sesama muslim yang sakit di pagi hari, melainkan 70,000 malaikat akan mendo’akannya sampai waktu petang. Apabila dia menjenguknya di waktu petang, maka 70,000 malaikat akan mendo’akannya sampai waktu pagi. Dia pun akan mendapatkan taman di syurga” (Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah. Menurut Tirmidzi, hadith ini hasan) 

Pendek kata, orang yang menziarahi orang sakit bakal mendapatkan taman di syurga. Persoalannya, adakah boleh seorang lelaki menjenguk wanita yang sakit, begitu juga seorang wanita menziarahi lelaki yang sakit? Jawapannya, dibolehkan selagi tidak ada fitnah dan pertemuan itu berlangsung dengan menahan pandangan

Imam Al-Bukhari berkata: “Ummu Darda’ (seorang sahabat wanita) menjenguk seorang lelaki penjaga masjid kaum Ansar”

Malah dalam kitab hadithnya, Imam Al-Bukhari telah membuat bab khusus tentang hal ini, tajuknya bab “Iyaadatun Nisaa’ Ar-Rajula” (Wanita menjenguk lelaki). 

Rasulullah s.a.w pernah menjenguk seorang sahabat wanita bernama Ummul A’la, lalu baginda berkata kepadanya: “Bergembiralah wahai Ummul A’la, sesungguhnya penyakit seorang muslim akan menghapuskan doasa-dosanya seperti api yang dapat menghilangkan kotoran emas dan perak” (Riwayat Abu Daud dan At-Thabarani. Lihat: As-Sahiihah)
  • Mengiringi jenazah saudaranya yang Muslim
Jika ada saudara kita yang meninggal dunia, maka ikutilah jenazahnya ketika dimandikan, disolatkan dan pengebumian. Setelah dia dikebumi, kita dituntut untuk mendoakannya. Rasulullah pernah berkata kepada para sahabat setelah selesai proses pengebumian seorang sahabat yang telah meninggal dunia: “Mohonlah keampunan untuk saudaramu dan mohonlah keteguhan hati baginya, kerana sekrang dia sedang ditanya” (Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim. Disahihkan oleh Al-Hakim, dipersetujui oleh Az-Dzahabi. Lihat Sahiihul Jami’) 

Hadis ini juga menjelaskan kepada kita bahawa doa kepada si mati itu boleh sampai kepadanya, selagi si mati semasa hidupnya beriman kepada Allah.
  • Mendoakan saudara seagama dengannya
Berdoa untuk kebaikan saudaranya yang Muslim bakal memberi manfaat yang besar untuk diri kita, ini kerana berdasarkan sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam: "Tidaklah seorang muslim mendoakan saudaranya yang tidak berada di sisinya, melainkan berkata para Malaikat: Dan bagi kamu seperti apa yang kamu doakan” (Riwayat Muslim) 

Maksudnya, kalau kita mendoakan sesuatu untuk seorang muslim yang lain, para Malaikat akan mendoakan hal yang sama untuk kita. Bukankah ini sesuatu yang menguntungkan kita? Oleh itu, banyakkan berdoa untuk sahabat-handai kita yang beragama Islam, semoga Allah merahmati anda atas amal yang mulia ini.
  • Memberi hadiah sesama saudaranya yang Muslim
Hadiah merupakan aspek khusus dalam persaudaraan yang ada ditekankan dalam Islam yang menggalakkan memberi hadiah kepada Muslim yang lain, dan melarang menolak penerimaan hadiah kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu. 

Berkenaan dengan memberi hadiah, jelas disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w: “Saling memberi hadiahlah sesama kamu, maka kamu akan saling mencintai” (Riwayat Bukhari) 

Berkenaan dengan larangan menolak hadiah, ada disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w berikut: “Penuhilah undangan orang yang mengundang dan janganlah menolak hadiah” (Riwayat Bukhari, Ahmad, At-Thabrani dan Al-Baihaqi. Lihat: Sahiihul Jami’) 

Namun demikian, terdapat dalam sesetengah keadaan kita dilarang untuk menerima hadiah. Para pegawai atau yang penguasa tidak boleh menerima hadiah daripada orang di bawah kuasanya. 

Rasulullah s.a.w bersabda: “Hadiah-hadiah yang diberikan kepada pengurus (pegawai) adalah pengkhianatan” (Riwayat Ahmad dan Al-Baihaqi. Lihat: Sahiihul Jami’) 

Dalam satu peristiwa, seorang pegawai yang dikirim Rasulullah s.a.w datang membawa sedekah yang diserahkan oleh masyarakat. Kemudian sambil membahagikan sedekah itu, dia berkata: “Ini bahagian kamu dan ini bahagian saya”. Maka dari itu, Rasululah s.a.w terus naik ke mimbar, setelah mengucapkan pujian kepada Allah baginda bersabda: “Mengapa ada pegawai yang kami kirim lalu ia berkata: ‘Ini bahagian kamu dan ini adalah bagian saya’. Mengapa dia tidak duduk saja di rumah bapa dan ibunya? Apakah hadiah itu diberikan kepadanya atau tidak? Demi jiwa Muhammad yang jiwanya berada di tanganNya, tidaklah salah seorang daripada kamu menerima hadiah itu, melainkan pada hari Kiamat dia akan membawa hadiah tersebut di atas tengkuknya..” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Pemberian hadiah kepada orang yang berkuasa atau ketua baginya boleh menjurus kepada rasuah. Jika kita dilantik sebagai orang berjawatan dalam masyarakat, tolaklah hadiah yang diterima dengan baik-baik. Sebagai orang bawahan, elakkan memberi hadiah kepada orang mempunyai kuasa ke atas kita.
  • Menutup ke'aiban saudaranya 

Apabila kita menutup aib saudara kita, maka Allah akan menutup keaiban kita di akhirat nanti. Telah bersabda Rasulullah s.a.w: “Barangsiapa menutup keaiban saudaranya di dunia, maka Allah akan menutup aibnya di hari Kiamat” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adakah kita mahu keaiban kita di dunia didedahkan di akhirat nanti? Sudah tentu tidak. Oleh itu, lindungilah keaiban saudara kita yang lain. Jangan mengumpatnya, jangan hebahkan keburukannya, sembunyikan itu semua! Tetapi, sebarkanlah kebaikan saudara kita, itulah akhlak yang dituntut bagi seorang muslim.
  • Tidak memboikot/memulau saudaranya melebihi tempoh 3 hari
Hal ini jelas dilarang oleh Rasulullah s.a.w dalam hadith berikut: “Tidak halal bagi seorang Muslim memboikot saudaranya lebih dari tiga hari. Jika keduanya berjumpa, maka yang satu berpaling dan yang lain juga berpaling. Yang paling baik di antara kedua mereka adalah yang terlebih dahulu mengucapkan salam” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Apa yang diceritakan dalam hadis ini memang cukup baik. Ia menggambarkan dua orang Muslim yang berselisih, tidak mahu bertegur-sapa, atau saling memboikot. Kemudian Rasulullah s.a.w menjelaskan, haram untuk berbuat demikian lebih daripada tiga hari. Pada pemahaman saya, ada hikmahnya diberikan tempoh tiga hari, mungkin dalam tempoh tersebut kemarahan sudah berkurangan dan mudahlah untuk mereka saling bermaafan. Hadith ini menunjukkan Rasulullah s.a.w cukup memahami emosi manusia, sebab tidak semua orang mudah reda kemarahannya. Wallahu ‘alam. Kemudian baginda menyambung lagi, yang paling baik antara dua orang yang berselisih ini adalah mereka yang terlebih dahulu memberi salam. Ini turut menggambarkan keutamaan memberi salam kepada saudara seislam, sekalipun mereka sedang berselisih faham.

Abu Sulaiman Ad-Darami rahimahullah berkata: "Jangan sekali-kali kamu bersahabat melainkan orang yang mempunyai dua sifat ini: pertama, dia dapat diajak untuk bersahabat dalam urusan duniamu dengan jujur, dan kedua, dia dapat menambah kemanfaatan dirimu untuk urusan akhiratmu. Jika kamu suka bersahabat dengan orang yang bersifat selain daripada itu, maka pastilah kamu seorang yang lemah akal fikirannya"

AWAS!! JANGAN PILIH ORANG YANG BERSIFAT INI!!
  • JANGAN PILIH ORANG YANG BERSIFAT BAKHIL
Sahabat yang bakhil adalah dari mereka yang kedekut. Kedekut untuk berbelanja, tidak mahu bertolak ansur. Sering memikirkan kesusahannya sahaja, tidak pernah memikirkan kesusahan anda. Dia lebih banyak meminta-minta daripada memberi. Jika anda bercerita tentang kesulitan anda,dia akan dulu mengatakan bahawa dia mempunyai kesulitan yang lebih besar dari anda. Satu sen duitnya seperti roda kereta lembu. Jika berbelanja, dia lebih riang jika anda yang mengeluarkan perbelanjaan untuk dirinya. Tidak guna anda teruskan persahabatan dengan orang yang sebegini, hanya akan merugikan duit anda sahaja. 
  • JANGAN PILIH ORANG YANG BODOH
Bersahabat dengan orang yang bodoh akan membuat anda tidak bersemangat. Dia akan hanya menurut sahaja apa yang anda fikirkan. Tidak memberi pendapat yang boleh mendorong kehidupan anda untuk lebih maju. Ceritanya hanya di sekitar dirinya sahaja. Tidak pernah bercerita tentang sesuatu yang baru yang boleh membuka minda anda. Dia seorang yang mengikuti sahaja cadangan anda dan tidak memikirkan baik dan buruknya. 
  • JANGAN PILIH ORANG YANG PANDAI BERBOHONG
Sahabat jenis ini selalu sahaja membawa cerita bohong kepada anda. Jika anda lalai saja, dia akan kenakan anda dengan kebijaksaannya. Jika berjanji, nampak bersungguh-sungguh tapi tidak menepatinya. Dia membuat pelbagai janji yang berbagai-bagai tetapi tidak satu pun yang ditepatinya. 
  • JANGAN PILIH ORANG YANG PENAKUT
Sahabat yang penakut adalah yang tidak pernah memikirkan masa depannya, dia juga berkira untuk meningkatkan prestasi kerjayanya. Dia masih berada ditakuk lama walaupun masa telah begitu jauh meninggalkannya. Anda harus sedar orang yang penakut tidak perlu dijadikan sahabat jika anda tidak mampu menjadikan dia berani. 
  • JANGAN PILIH ORANG YANG BERKHIANAT
Sahabat seperti ini bermuka manis dan bermulut manis tetapi hatinya tidak ikhlas terhadap kita. Sahabat jenis ini akan menikam anda dari belakang. Maksudnya, walaupun dia begitu baik terhadap anda tetapi ada sahaja muslihatnya untuk menjatuhkan anda.
A067

Mafhum: "Pada hari itu sahabat-sahabat karib: Setengahnya akan menjadi musuh kepada setengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan takwa (iman dan amal soleh)" [Surah Az-Zukhruf, ayat 67]

Firman Allah dalam surah Kahfi ayat 28 yang bermaksud :

A028

Mafhum : "Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran"

Dalam kitab Al-Hikam ada menyebut : “Jangan berkawan dengan seseorang yang tidak membangkitkan semangat taat kepada Allah, amal kelakuannya dan tidak memimpin engkau ke jalan Allah.” 

Sufyan Ast-Tsauriy, seorang Wali Allah yang mulia berkata : “Sesiapa yang bergaul dengan orang kebanyakan, maka dia terpaksa mengikuti mereka, dan sesiapa terpaksa mengikuti mereka, maka dia harus bermuka-muka pada mereka, dan siapa yang bermuka-muka kepada mereka, maka binasalah dirinya seperti mereka itu juga.”

Telah bersabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim maksudnya "Perumpamaan teman yang baik dan teman yang tidak baik ialah umpama wangi-wangian dan tukang besi. Adapun pembawa wangi-wangian, sama ada dia memberinya sedikit ataupun anda membeli daripadanya sedikit ataupun kamu dapat mencium daripadanya bau yang wangi. Manakala tukang besi, sama ada dia membakar bajunya ataupun kamu akan mencium daripadanya bau-bauan yang busuk"

HINDARI DIRI DARI BERSIFAT BEGINI KEPADA SAHABAT
  • MEMUTUSKAN TALIAN PERSAHABATAN
Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Tidak halal bagi seorang Muslim meninggalkan (memutuskan hubungan persaudaraan) saudaranya melebihi tiga hari." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • TALAM DUA MUKA [BERPURA-PURA BERSAHABAT]
Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Kamu mendapati antara manusia yang terjahat adalah yang 'bermuka dua', ia mendatangi kelompok ini dengan satu wajah dan mendatangi kelompok yang lain dengan wajah yang lain." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • BERMUSUHAN
Daripada Aishah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda: "Insan yang paling dibenci oleh Allah ialah orang yang amat keras permusuhannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
  • BERBOHONG DAN MEMBUAT PERANCANGAN JAHAT
Daripada Abdullah bin Mas'ud al-Ansari r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menipu kami bukanlah daripada golongan kami; dan balasan bagi perancangan jahat dan tipu-daya adalah neraka." (Riwayat al-Tabrani)


PESANAN DAN NASIHAT BERGUNA DALAM MENGUATKAN IKATAN PERSAHABATAN
  • Hendaklah bersahabat dengan orang yang bertakwa dan beriman
Sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bermaksud : “Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan berikan makan kecuali kepada orang yang bertakwa” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmizi)
  • Hindari daripada berkawan dengan yang buruk perangai dan akhlaknya
Ibnu Asakir menceritakan bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya”

Sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam : “Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Abu Daud)
  • Menegur kesilapan kawan di atas perkara yang benar
Ubadah bin Shomit berkata : "Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam mengikat janji dengan kami supaya dengar dan patuh ketika susah dan senang, yang disukai dan dibenci dan jangan merebut sesuatu dari tuannya kecuali ada bukti kekufurannya. Begitu juga, kami hendaklah berkata benar di mana saja kami berada tanpa takut akan penghinaan daripada seseorang yang suka menghina, semata-mata kerana Allah" (Riwayat Muslim)
  • Membantu sahabat ketika kesusahan
Daripada 'Abdullah bin 'Umar radhiyallahu 'anhuma, bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda : “Seorang Muslim dengan Muslim yang lain adalah bersaudara, dia tidak menzaliminya dan tidak mengelakkan diri daripada menolongnya, sesiapa yang melepas hajatnya, sesiapa yang melepaskan saudaranya daripada sesuatu kesempitan, maka Allah akan melepaskan satu kesempitan daripada kesempitan-kesempitan hari kiamat, dan sesiapa yang menutup (keaiban) saudaranya, maka Allah akan melindunginya pada hari kiamat.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Menurut Hasan al-Basri, seorang Wali Allah yang mulia : “Seorang teman yang jika engkau temui akan mengingatkanmu tentang  kewajibanmu terhadap Allah itu lebih baik bagimu daripada seorang teman yang selalu memberimu segenggam dinar.” Beliau juga mengatakan “Seorang mukmin adalah cermin bagi saudaranya yang lain. Jika dia mendapatkan sesuatu yang tidak menyenangkan pada diri saudaranya, dia segera meluruskan dan juga selalu menjaga aib saudaranya baik ketika sendirian atau ketika bersama orang lain”. (kecuali dalam situasi amar maaruf dan nahi mungkar)

“Sudah pastilah kecintaanKu itu untuk orang-orang yang saling ziarah menziarahi kerana Aku. Sudah pasti juga kecintaanKu untuk orang yang saling cinta menyintai kerana Aku dan sudah pasti pula kecintaanKu kepada orang-orang yang saling bantu membantu kerana Aku. Juga sudah pastilah kecintaanKu untuk orang yang saling tolong menolong kerana Aku.” (Riwayat Ahmad dan Al-Hakim : hadis Qudsi)

Sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam : "Sesiapa yang membebaskan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan membebaskan kesusahannya di hari kiamat”.  (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.”
  • Mencari kawan yang baik dan mampu membimbing ke arah kebaikan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Teman yang baik dan teman yang tidak baik itu diumpamakan seperti pembawa kasturi dan peniup api, maka si pembawa kasturi mungkin memberikan kasturi itu kepada kamu atau kamu dapat membelinya, atau kamu dapat mencium baunya yang wangi. Bagaimanapun peniup api mungkin membakar pakaianmu atau kamu dapat mencium baunya yang busuk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

"Ada tiga jenis sahabat iaitu pertama yang kamu boleh jadikan ia perhiasan, kedua yang kamu boleh mengambil manfaat darinya dan ketiga yang kamu boleh jadikan ia sebagai sandaran. Jika kamu telah mendapat tiga-tiganya maka janganlah kamu sia-siakan mereka kerana kamu tidak akan mendapatnya lagi" (Muhammad As-Siba'i)


"Janganlah kamu menghargai orang-orang yang zalim kerana semua amal perbuatanmu yang baik akan rosak. Bahkan tiada keselamatan dalam bergaul dengan orang-orang yang zalim itu. Sesungguhnya keselamatan adalah ketika memutuskan hubungan dengan mereka" (Sa'id Ibnul Musayyab)

"Orang yang paling banyak berdusta di kalangan manusia ialah tukang cerita dan orang yang meminta-minta" (Imam Ahmad bin Hanbal, pengasas feqah mazhab Hanbaliyyah) 

NASIHAT IMAM SYAFI'IE DALAM MENCARI SAHABAT

Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. 

Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup atau selepas aku mati. 

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tidak luntur baik dalam keadaan suka atau duka. 


Jika itu aku dapatkan. Aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabatku untuk berkenalan kerana aku akan berasa senang. 


Semakin ramai aku peroleh sahabat. Aku semakin percaya diri. 

Mencari sahabat pada waktu susah. 

Belum pernah kutemukan di dunia ini seorang sahabat yang setia dalam duka. 



Pada hal hidupku sentiasa berputar-putar antara suka dan duka. 



Jika suka melanda. Aku sering bertanya: “Siapakah yang sudi menjadi sahabatku?” 



Pada waktu aku senang, sudah biasa ramai yang akan iri hati, 



namun bila giliran aku susah mereka pun bertepuk tangan. 

Pasang surut persahabatan. 

Aku dapat bergaul secara bebas dengan orang lain ketika nasibku sedang baik. 



Namun, ketika musibah menimpaku, kudapatkan mereka tidak ubahnya roda zaman yang tidak mahu bersahabat dengan keadaan. 



Jika aku menjauhkan diri daripada mereka, mereka mencemuh dan jika aku sakit, tidak seorang pun yang menjengukku. 



Jika hidupku berlumur kebahagiaan, banyak orang iri hati, jika hidupku berselimut derita mereka bersorak-sorai. 

Mengasingkan diri lebih baik daripada bergaul dengan orang jahat. 



Apabila tidak ke temu sahabat yang takwa, 



lebih baik aku hidup menyendiri daripada aku harus bergaul dengan orang jahat. 

Sukarnya mencari sahabat sejati. 

Tenanglah engkau dalam menghadapi perjalanan zaman ini. Bersikap seperti seorang paderi dalam menghadapi manusia. 



Cucilah kedua-dua tanganmu dari zaman itu dan daripada manusianya. Peliharalah cintamu terhadap mereka. 



Maka, kelak kamu akan memperoleh kebaikannya. 

Sepanjang usiaku yang semakin tua, belum pernah aku temukan di dunia ini sahabat yang sejati. 



Kutinggalkan orang bodoh kerana banyak kejelekannya dan kujanji orang mulia kerana kebaikannya sedikit. 

Sahabat sejati pada waktu susah. 

Kawan yang tidak dapat dimanfaatkan ketika susah lebih mendekati musuh daripada sebagai kawan. 



Tidak ada yang abadi dan tidak ada kawan yang sejati kecuali yang menolong ketika susah. 

Sepanjang hidup aku berjuang bersungguh-sungguh mencari sahabat sejati hingga pencarianku melenakanku. 



Ku kunjungi seribu negara, namun tidak satu negara pun yang penduduknya berhati manusia. 

Rosaknya keperibadian seseorang. 

Dalam diri manusia itu ada dua macam potensi penipuan dan rayuan. 



Dua hal itu seperti duri jika dipegang dan ibarat bunga jika dipandang. 



Apabila engkau memerlukan pertolongan mereka, bersikaplah bagai api yang dapat membakar duri itu. 

Menghormati orang lain. 

Barang siapa menghormati orang lain, tentulah dia akan dihormati. 



Begitu juga barang siapa menghina orang lain, tentulah dia akan dihinakan. 

Barang siapa berbuat baik kepada orang lain, baginya satu pahala. 



Begitu juga barang siapa berbuat jahat kepada orang lain, baginya seksa yang dahsyat. 

Menghadapi musuh. 

Ketika aku menjadi pemaaf dan tidak mempunyai rasa dengki, 



hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. 



Ketika musuhku berada di hadapanku. Aku sentiasa menghormatinya. 



Semua itu kulakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. 

Aku nampakkan keramahan, kesopanan dan rasa persahabatanku kepada orang yang kubenci, 



seperti aku nampakkan hal itu kepada orang yang kucintai. 

Tipu daya manusia. 

Mudah-mudahan anjing itu dapat bersahabat denganku kerana bagiku dunia ini sudah hampa daripada manusia. 

Sehina-hinanya anjing, ia masih dapat menunjukkan jalan untuk tuannya yang tersesat, 



tidak seperti manusia jahat yang selamanya tidak akan memberi petunjuk. 

Selamatkanlah dirimu, jaga lidahmu baik-baik, 



tentu kamu akan bahagia walaupun kamu terpaksa hidup sendiri. 

Tempat menggantungkan harapan. 

Apabila engkau menginginkan kemuliaan orang yang mulia, maka dekatilah orang yang sedang membangun rumah untuk Allah. 

Hanya orang yang berjiwa mulia yang dapat menjaga nama baik dirinya dan selalu menghormati tamunya, 



baik ketika hidup mahu pun setelah mati. 

Menjaga nama baik. 

Jika seseorang tidak dapat menjaga nama baiknya kecuali dalam keadaan terpaksa, 



maka tinggalkanlah dia dan jangan bersikap belas kasihan kepadanya. 

Banyak orang lain yang dapat menjadi penggantinya. Berpisah dengannya bererti istirehat. 



Dalam hati masih ada kesabaran buat kekasih, meskipun memerlukan daya usaha yang keras. 

Tidak semua orang yang engkau cintai, mencintaimu dan sikap ramahmu kadang kala dibalas dengan sikap tidak sopan. 



Jika cinta suci tidak datang daripada tabiatnya, maka tidak ada gunanya cinta yang dibuat-buat. 

Tidak baik bersahabat dengan pengkhianat kerana dia akan mencampakkan cinta setelah dicintai. 

Dia akan memungkiri jalinan cinta yang telah terbentuk dan akan menampakkan hal yang dulunya menjadi rahsia.

KISAH SUKA-DUKA KECINTAAN PARA SAHABAT TERHADAP RASULULLAH

  • Seorang shahabiyah (sahabat wanita) mulia, yang bapaknya, saudaranya dan suaminya terbunuh di Perang Uhud tatkala dikhabarkan berita duka tersebut justeru dia bertanya bagaimana keadaan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Lalu dikatakan kepadanya, “Beliau (Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam) baik-baik saja seperti yang engkau harapkan.” Dia menjawab, “Biarkan aku melihatnya.” Tatkala ia melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam dia mengatakan, “Sungguh semua musibah terasa ringan wahai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam kecuali bila hal itu menimpamu.” (Sirah Nabawiyyah Libni Hisyam, 2:99).
  • Seorang sahabat mulia yang keluarganya adalah Quraisy, ia ditangkap oleh Quraisy untuk dibunuh, maka berkata Abu Sufyan berkata kepadanya, “Wahai Zaid, semoga Allah menguatkanmu, apakah engkau senang bila Muhammad menggantikan posisimu sekarang untuk dipenggal kepalanya sedang engkau duduk manis bersama keluargamu..?!! Maka spontan Zaid menjawab, “Demi Allah, sungguh tidakkah aku senang bila Muhammad sekarang tertusuk duri di tempatnya, sedang aku bersenang-senang bersama keluargaku.” Abu Sufyan pun mengatakan, “Saya tidak melihat seorang pun yang kecintaannya melebihi kecintaan sahabat-sahabat Muhammad kepada Muhammad.” (Sirah Nabawiyyah Libni Hisyam, 3:160).
  • Abu Thalhah radhiallahu’anhu pada waktu Perang Uhud, beliau membabi buta melemparkan panah-panah ke arah musuh hingga Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam melihat ada sedikit rasa iba kepada musuh. Maka Abu Thalhah radhiallahu’anhu, “Demi bapak dan ibuku yang jadi tebusanmu, wahai Rasulullah, jangan engkau merasa hiba dengan mereka, kerana panah-panah mereka telah melukai dan menusukmu, sesungguhnya leherku jadi ganti lehermu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
  • 'Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah pernah ditanya : "Bagaimana cinta kalian kepada Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam?" Ia menjawab : "Demi Allah, beliau lebih kami cintai daripada harta, anak-anak, ayah, dan ibu kami serta kami juga lebih mencintai beliau daripada air dingin pada saat dahaga"
  • 'Amru bin Al-'Ash radhiyallahu 'anhu berkata : "Tidak ada seorang pun yang lebih aku cintai daripada Rasulullah shallallahu ’alaihi wa sallam dan tidak ada yang lebih mulia di mataku dibandingkan beliau. Aku tidak mampu menatap beliau demi mengagungkannya. Seandainya aku ditanya, tentang sifat-sifat beliau, tentu aku tidak sanggup menyebutkannya, karena aku tidak pernah menatap beliau dengan pandangan yang tajam"
LARANGAN MENCELA PARA SAHABAT RASULULLAH

Firman Allah :-
A057
Mafhum : "Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina" [Surah Al-Ahzaab, ayat 57]

Lagi firman Allah :-
A054
Mafhum : "Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia; mereka pula bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas gagah terhadap orang-orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada celaan orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; kerana Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi PengetahuanNya" [Surah Al-Maaidah, ayat 54]

Orang-orang yang menyakiti para sahabat bererti mereka telah menyakiti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam, sedangkan siapa saja yang menyakiti Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bererti telah menyakiti Allah Subhanahu wa Ta’ala dan siapa pun yang menyakiti Allah Subhanahu wa Ta’ala maka dia adalah orang yang melakukan perbuatan dosa yang paling besar bahkan mengeluarkan pelakunya dari Islam [murtad] secara tidak disedarinya. 
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : Jangan kalian mencela sahabatku, seandainya salah seorang di antara kalian menginfakkan emas sebesar Gunung Uhud maka tidaklah menyamai 1 mud mereka atau setengahnya (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda : Barang siapa mencela sahabatku, atasnya laknat Allah Subhanahu wa Ta’ala, para malaikat dan manusia seluruhnya (Riwayat At-Thabarani dalam Mu’jamul Kabir)
Imam Ahmad bin Hanbal berkata : “Termasuk hujjah (argumentasi) yang jelas adalah menyebut kebaikan-kebaikan para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam seluruhnya, dan menahan lisan dari membicarakan keburukan mereka dan perselisihan yang terjadi di antara mereka. Sesiapa sahaja yang mencela para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam atau salah satu di antara mereka, mencacat dan mencela mereka, membongkar 'aib mereka atau salah satu dari mereka maka dia adalah mubtadi (bukanlah ahlussunnah), rafidhi (Syi’ah) yang berpemikiran menyimpang. Mencintai para sahabat adalah sunnah, mendoakan kebaikan untuk mereka adalah amalan ketaatan, meneladani mereka adalah perantara (redhaNya), mengikuti jejak mereka adalah kemuliaan. Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam adalah manusia terbaik, tidak dibenarkan bagi seorang pun menyebut-menyebut kejelekan mereka, tidak pula mencacat atau mencela dan membicarakan 'aib salah satu di antara mereka.” 

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam bersabda : “Bukanlah orang yang beriman orang yang suka mencela, orang yang suka melaknat, orang yang fahisy (sengaja menambah kata-kata keji dan melakukan perbuatan keji) dan orang yang tidak punya malu” (Riwayat Ahmad dan Tirmidzi dalam Kitab al-Bir Washilah pada Bab Maa Ja’a fil La’nah; Ibnu Majah, al Hakim dan Bukhari dalam kitab Adabul Mufrad)

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger