Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Isnin, 1 Julai 2013

Puasa : Terapi Kesabaran Khas Jiwa Dan Fizikal


Bukankah ini yang selalu kita rasa, sebut dan lakukan setiap kali hampir bulan Ramadhan setiap tahun? Kita mahu lambat-lambat berpuasa Ramadhan malah lebih mahukan cepat-cepat tibanya bulan Syawal untuk menyambut Hari Raya 'Idul Fitri.

Tidak kira apa jenis puasa sekalipun, kita ada alasan yang dibuat untuk mengelakkannya. Beri sahaja apa jua alasan seperti "gastrik" [melainkan yang benar-benar sakit gastrik], kerja berat buruh binaan, "datang haidh" [khas untuk wanita, bukan lelaki], muntah, demam, pitam pengsan, gila meroyan dan sebagainya lagi bagi mengelakkan untuk melakukan puasa wajib di bulan Ramadhan apatah lagi puasa-puasa sunnat di hari-hari lain.

Geli hati bila mengenangkan sikap kita terhadap puasa. Kita sanggup makan dan minum apa sahaja, asalkan tidak disuruh berpuasa. Ada yang menganggap puasa untuk kuruskan badan, ada yang menganggap puasa sebagai memenuhi tuntutan ibadah wajib setiap tahun. Ternyata puasa adalah lebih dari sekadar menahan kehendak untuk makan dan minum di siang hari.


MAKSUD PUASA

Puasa [Shoum] (  صوم ) dimaksudkan pada istilah bahasa :-

Mengawal diri / menahan diri dari sesuatu.

Puasa [Shoum] (  صوم dimaksudkan pada Istilah Syara' :-

Setiap Muslim Muslimat yang :-
  • telah 'aqil, bukan jadi gila atau tidak waras [telah sempurna akal]
  • telah baligh, bukan kanak-kanak masih kecil [mencapai usia yang matang] 
  • telah merdeheka, bukan status hamba / budak suruhan [bebas merdeka]
  • telah mukallaf, bukan uzur Syar'iy [mampu melaksanakan tanggungjawab] 
  • serta mumaiyiz [boleh beza baik buruk dan halal haram] yang dibolehkan melaksana ibadah puasa dalam jangka masa yang ditetapkan Syara'.
DALIL AL-QURAN DAN HADIS BERKENAAN PUASA

A183

Mafhum ayat : "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." 

 A185
Mafhum ayat : "(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur."

Diriwayat Ibnu 'Umar radhiyallahu 'anhuma : "Dari Nabi Shollallahu 'alayhi wa sallam bahawa beliau menyebut tentang bulan Ramadan sambil mengangkat kedua tangannya dan bersabda: Janganlah engkau memulai puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Ramadhan dan janganlah berhenti puasa sebelum engkau melihat hilal awal bulan Syawal. Apabila tertutup awan, maka hitunglah (30 hari). (Shahih Muslim)

JENIS-JENIS PUASA
  • WAJIB BERPUASA
  1. Puasa di bulan Ramadhan
  2. Puasa Qadha [ganti puasa wajib yang tertinggal]
  3. Puasa Kiffarah [puasa kerana melanggar larangan Syara' seperti gagal menunaikan nadzar, membunuh dan sebagainya]
  4. Puasa Nadzar [bersumpah melakukan puasa jika mendapat kebaikan]
  • SUNNAT BERPUASA
  1. Puasa 6 hari di bulan Syawwal
  2. Puasa hari 'Arafah [9 Zulhijjah] bagi mereka yang tidak pergi menunaikan ibadah Haji di Makkah Al-Mukarramah
  3. Puasa hari 'Asyura [10 Muharram]
  4. Puasa setiap hari Isnin dan Khamis
  5. Puasa Hari Putih [setiap 13, 14, dan 15 haribulan bulan Islam]
  6. Puasa Nabi Daud [1 hari berpuasa, 1 hari yang lain tidak berpuasa] sepanjang tahun
  • HARAM BERPUASA
  1. Puasa pada Hari Syak [30 Sya'aban]
  2. Puasa di 1 Syawwal [kerana sudah masuk Hari Raya 'Idul Fitri]
  3. Puasa di 10 Zulhijjah [kerana sudah masuk Hari Raya 'Idul Adha]
  4. Puasa Hari Tasyriq [13, 14, dan 15 Zulhijjah]
  5. Puasa di 9 Zulhijjah bagi mereka yang akan menunaikan Wuquf di padang 'Arafah
  6. Puasa bagi wanita yang kedatangan haidh [datang bulan] atau nifas
  7. Puasa sunnat bagi isteri yang tidak mendapat izin dari suaminya untuk berpuasa sunnat
  8. Puasa yang dibimbangi mendatangkan mudharat kesihatan jika diteruskan puasa
  9. Puasa untuk orang lain atau yang telah meninggalkan dunia namun tidak diniatkan kerana Allah

SYARAT WAJIB UNTUK BERPUASA

  1. 'Aqil [berakal fikirannya]
  2. Islam [bukan Kafir atau Musyrik]
  3. Baligh [cukup matang umurnya]
  4. Mukallaf [mampu melaksanakan tanggungjawab dalam waktunya]

SYARAT SAH UNTUK BERPUASA

  1. Muslim Muslimat [orang yang Islam]
  2. Suci dari kotoran junub, haidh, nifas atau wiladah
  3. Berakal mumaiyiz [boleh beza baik buruk dan halal haram]
  4. Berpuasa dalam waktunya

RUKUN BERPUASA

  1. Berniat pada malam hari sebelum puasa esoknya
  2. Menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit Fajar di ufuk Timur sehinggalah terbenamnya Matahari di ufuk Barat

SEBUTAN NIAT PUASA SETIAP MALAM RAMADHAN



SUNNAT-SUNNAT DALAM BERPUASA

  1. Mengakhirkan makan sahur sebelum masuknya waktu Subuh
  2. Menyegerakan berbuka puasa sebaik sahaja azan Maghrib dikumandang
  3. Berbuka puasa dengan manisan seperti buah tamar dan rutab [kurma kering dan kurma basah] serta air
  4. Menjamu orang berbuka puasa
  5. Melaksanakan perkara-perkara kebaikan dan mengawal diri dari nafsu marah, ego, dan sebagainya

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA

  1. Makan dan minum dengan niat sengaja menelan walaupun saki-baki makanan di rongga mulut di siang hari puasa
  2. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka seperti hidung, telinga dan dubur dengan niat sengaja membatalkan puasa [tidak batal puasa jika berkumur untuk berwudhu' dan sebagainya dengan syarat tidak menelan air berkenaan dengan sengaja]
  3. Muntah dengan sengaja tanpa sebab sakit
  4. Bersetubuh / beronani mengeluarkan air mani dengan sengaja di siang hari puasa
  5. Keluar darah haidh
  6. Keluar darah Nifas
  7. Jadi gila / hilang akal di siang hari puasa
  8. Pitam / pengsan dengan sengaja di siang hari puasa
  9. Murtad [keluar dari agama Islam] baik secara zahir mahupun batin

KERINGANAN BERBUKA PUASA

  1. Orang yang bermusafir dengan jarak lebih dari 2 marhalah [16 farsakh] iaitu lebih dari 80 kilometer [setengah pendapat 50 kilometer] atas urusan yang penting tidak melebihi 3 hari secara berturut-turut
  2. Orang yang sakitnya berpanjangan dan dibimbangi mudharat kesihatannya jika diteruskan berpuasa
  3. Wanita yang sarat hamil
  4. Wanita yang menyusui anaknya yang masih bayi
  5. Pekerja buruh pembinaan bangunan dan buruh kasar yang memerlukan stamina yang berterusan untuk bekerja di bawah terik matahari serta dibimbangi pitam / pengsan jika tidak mampu berpuasa
  6. Orang tua yang lemah dan uzur

SEBUTAN DOA AKAN HAMPIR BERBUKA PUASA



SEBUTAN DOA SETELAH SELESAI BERBUKA PUASA





QADHA' [GANTI] PUASA DAN FIDYAH PUASA

  • WAJIB QADHA' PUASA SAHAJA :-
  1. Orang yang terlupa berniat puasa sebelum puasa siang esoknya.
  2. Wanita yang kedatangan haidh, qadha puasa setelah bersih dari haidhnya
  3. Wanita yang Nifas, qadha puasa setelah bersih dari Nifasnya
  4. Orang yang gila, qadha puasa setelah elok sembuh dari penyakit gilanya
  5. Orang yang berbuka kerana lapar yang memudharatkan kesihatannya
  6. Orang yang sakitnya melarat, qadha puasa setelah baik dan sembuh dari sakitnya
  7. Orang yang pergi bermusafir atas urusan penting, qadha puasa setelah kembali ke rumahnya 
  • WAJIB BAYAR FIDYAH PUASA [harga nilai 1 cupak makanan asasi bagi 1 hari yang puasa ditinggalkannya] SAHAJA :-
  1. Orang tua yang uzur dan lemah
  2. Orang yang sakit dan tiada harapan untuk kembali sembuh
  3. Orang yang sentiasa kerja berat dan akan memudharatkan kesihatannya jika berpuasa
  • WAJIB QADHA PUASA DAN BAYAR FIDYAH PUASA :- 
  1. Wanita yang hamil
  2. Wanita yang masih menyusukan bayi
  3. Orang yang menunda dan melewatkan qadha puasa Ramadhan sehingga tiba ke bulan Ramadhan yang seterusnya 


KELEBIHAN ORANG YANG BERPUASA

  1. Dikasihi Allah, para Rasul dan Nabi, Malaikat  dan  seluruh makhluq Allah di langit dan di Bumi
  2. Diberkati kesihatannya dan zuriatnya
  3. Dilembutkan sifat dan jiwanya supaya lebih tenang dan tenteram
  4. Dikuatkan fokus akalnya dan keimanannya
  5. Dipelihara Allah dari godaan Iblis, Jin, Syaitan dan Nafsu
  6. Dimurahkan rezeqinya dan kehidupannya di dunia dan di Akhirat
  7. Diberatkan amalan kebaikannya walaupun sedikit
  8. Dipermudahkan Husnul Khatimah [kesudahan yang baik] kematiannya
  9. Diwangikan dan dicerahkan kuburannya
  10. Dimasukkan Allah ke Syurga khas bagi orang yang berpuasa iaitu pintu Ar-Rayyan

Khamis, 30 Mei 2013

Sadaqah : 700 Cabang Kekayaan Dunia & Akhirat


MAKNA SADAQAH

Bermaksud membenarkan/merelakan/mempersetujui. Berasal dari perkataan  bahasa 'Arab (صدقة‎).

Maka, sadaqah adalah suatu pemberian bertujuan ikhlas kerana redha Allah 'Azza Wa Jalla.

DALIL AL-QURAN BERKENAAN SADAQAH

A261

Mafhum ayat : "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya." [Surah Al-Baqarah, ayat 261]


A271

Mafhum ayat : "Kalau kamu zahirkan sadaqah-sadaqah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sadaqah-sadaqah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan." [Surah Al-Baqarah, ayat 271]

A114

Mafhum ayat : "Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersadaqah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar." [Surah An-Nisaa', ayat 114]

HADITH RASULULLAH BERKENAAN SADAQAH

Dari Abu Hurairah, ia berkata : Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda “ Barangsiapa yang bersadaqah sebesar biji kurma dari usahanya yang halal , maka Allah akan menerima sadaqahnya itu dengan tangan kanan-Nya, kerana sesungguhnya Allah hanya mahu menerima sadaqah dari usaha yang halal, dan akan memberi tambahan kepada pemiliknya seperti seseorang di antara kamu yang terus menambah tabungnya yang sedikit, sampai menjadi gunung .” ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim )

Dari Abu Hurairah : Sesungguhnya Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda “ Tidaklah harta menjadi berkurang kerana sadaqah, dan tidaklah seseorang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kehormatan kepada dirinya; dan seseorang tiada bersikap merendah diri kerana Allah , melainkan ia akan diangkat darjatnya oleh Allah .”
( Riwayat Imam Muslim dan At-Tirmidzi )

Dari Anas bin Malik , ia berkata : Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda “ Hendaklah kalian bersadaqah, kerana sesungguhnya sadaqah itu merupakan tirai penyelamat kalian dari api neraka .”
( Riwayat Imam Al-Baihaqi )

KEPELBAGAIAN BENTUK SADAQAH

Ada sadaqah berbentuk :-
1. Zakat fitrah, zakat harta simpanan, dan zakat perniagaan
2. Pinjaman perniagaan, pinjaman peribadi dan lain-lain.
3. Takaful ketika kecemasan
4. Kudrat pertolongan tenaga
5. Curahan idea-idea yang bernas dan baik
6. Nasihat-nasihat yang berguna
7. Perluangan masa yang bermanfaat
8. Penjagaan keselamatan dari bahaya
9. Menjamu orang makan minum, pakaian dan lain-lain
10. Mengucapkan kata-kata yang sopan
11. Berzikir dan sebagainya yang baik

ANJURAN BERSADAQAH BARANG YANG BAIK LAGI DISAYANGI

A267

Mafhum ayat : "Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji." [Surah Al-Baqarah, ayat 267]

A039

Mafhum ayat : "Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki". [Surah Saba', ayat 39]

ORANG-ORANG YANG BERHAK MENERIMA SADAQAH
  • Kaum kerabat ahli keluarga yang terdekat
Dari Hakim bin Hizam : Sesungguhnya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam tentang berbagai sadaqah , manakah di antaranya yang paling utama . Sabdanya “ Sadaqah yang diberikan kepada seorang kerabat keluarga yang membenci dirinya .” ( Riwayat Imam Ahmad dan At-Thabrani )

Dari Anas : Sesungguhnya Sa’id bin 'Ubadah datang kepada Nabi shollallahu 'alayhi wa sallam, lalu ia berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal, tetapi beliau tidak memberiku wasiat. Apakah bermanfaat bagi dirinya kalau aku mengeluarkan sadaqah atas namanya? Nabi bersabda : “ Ya. Dan hendaklah engkau memberikan sadaqah dengan air .” ( Riwayat At-Thabrani dalam kitab Al-Ausath dan para perawi yang dipercayai )
  • Orang yang fakir dan miskin
Dari Umi Najid , sesungguhnya ia bertanya : Wahai Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam! Sesungguhnya seorang miskin berdiri di depan pintuku, tetapi aku tidak mempunyai sesuatu yang dapat aku berikan kepadanya. Lalu Nabi bersabda kepadanya : “ Sekiranya engkau tidak mendapatkan sesuatu yang dapat diberikan kepadanya, kecuali sebelah kuku kambing atau lembu , maka berikanlah barang itu kepadanya .” ( Riwayat Imam At-Tirmidzi, disahkan oleh At-Tirmidzi, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban )
  • Setiap orang, lebih-lebih lagi Muslimin dan Muslimat
Dari 'Abdullah bin Mas’ud , ia berkata : "Tiada seorang Muslim yang memberikan pinjaman kepada saudaranya yang Muslim satu kali melainkan dicatat sebagai dua sadaqah bagi dirinya .” ( Riwayat Ibnu Majah dan disahkan oleh Ibnu Hibban )

Diriwayatkan dari Umar bin Khaththab, katanya Rasulullah pernah ditanya oleh orang, manakah amalan yang paling utama. Sabdanya : “ Iaitu engkau memasukkan rasa gembira kepada seorang mukmin dengan jalan engkau memberinya makan ketika ia dalam keadaan lapar; atau memberinya pakaian ketika ia dalam keadaan telanjang; atau engkau mahu membantu memenuhi keperluannya .”  ( Riwayat At-Thabrani di dalam Kitab Al-Ausath )
  • Orang yang berhutang
Juga diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan At-Thabrani , tetapi pada At-Thabrani dengan lafaz :  "Aku bersaksi dengan nama Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bahawa sesungguhnya aku pernah mendengar Baginda bersabda “ Sesungguhnya manusia pertama yang mendapatkan naungan pada hari Qiyamat dengan naungan Allah ialah seseorang yang memberikan penundaan bagi orang yang berhutang kepadanya tetapi dalam kesulitan untuk mengembalikannya, sehingga orang itu mampu untuk mengembalikannya atau ia mensedekahkan hutangnya itu kepadanya. Ia berkata : "Hartaku yang engkau pinjam itu menjadi sadaqah, demi mencari keredhaan Allah ; dan kemudian ia bakar catatan hutang orang itu .” 

Di dalam kitab Syarah Sunan Bahawi, dengan lafaz : “ Barangsiapa membebaskan seseorang yang terbelit oleh hutang, maka kelak pada hari Qiyamat dia akan berada di bawah naungan ‘Arsy’ .” 

Dan pada 'Abdullah bin Ahmad dalam kitab Zaidatul Musnad disebutkan : “ Allah akan menaungi seseorang hamba dengan naungan-Nya pada hari tiada naungan kecuali naungan-Nya , iaitu orang memberikan kelonggaran pembayaran hutang dari orang-orang yang tersepit atau menghapuskannya dari orang-orang yang dibebani oleh hutang .” ( Riwayat At-Thabrani di dalam kitab Al-Kabiir dari As’ad bin Zurarah; pada kitab Al-Ausath, hadith dari Syadad bin 'Aus )
  • Haiwan ternak, haiwan peliharaan dan haiwan liar
Dari Abu Hurairah , ia berkata : Sesungguhnya Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda : “ Ketika seseorang lelaki berjalan di tengah jalan terik matahari sangat panasnya . Kemudian ia mendapati sebuah telaga, lalu ia turun, kemudian ia minum dari air itu, lalu ia keluar. Tiba-tiba seekor anjing terengah-engah dan menjilat pasir kerana kehausan. Lalu orang itu berkata dalam dirinya : Sesungguhnya anjing ini telah mengalami kehausan seperti kehausan yang telah menimpa diriku. Lalu ia turun ke telaga, kemudian memenuhi kasutnya dengan air, lalu ia gigit kasut itu dengan mulutnya sampai ia naik ke atas kemudian ia memberi minum kepada anjing itu, maka bersyukurlah Allah kepadanya dan mengampuni segala dosanya.” Lalu para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, apakah dalam mengurus binatang-binatang kami mendapatkan pahala? Sabdanya : “ Pada setiap makhluq yang berdenyut jantungnya ada pahala .” ( Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Dan dalam riwayat Ibnu Hibban dikatakan : “ Allah bersyukur kepadanya dan memasukkannya ke dalam syurga .”

UCAPAN SEBAIK MENERIMA SADAQAH

Dari Usamah bin Zaid , ia berkata : Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda : “ Barangsiapa diberi layanan baik, maka hendaklah ia berkata kepada pelakunya  : Jazza kallahu khaira ( Mudah-mudahan Allah memberi balasan kebaikan kepadamu )

Jika ia mengatakan demikian, maka sesungguhnya dia telah memberikan pujian dengan sebaik-baiknya . Dan dalam satu riwayat dikatakan : “ Barangsiapa diberikan kebaikan atau mendapat perlakuan kebaikan dan sejenisnya.” ( Riwayat At-Tirmidzi, ia mengatakan hadith ini hasan gharib )

Rabu, 8 Mei 2013

Hari Juma'at : Penghulu Hari Yang Istimewa


Ya!! Benar-benar istimewa seperti mana yang telah dinukilkan dalam sabda Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam :-

"Dari Abu Lubanah bin Abdul Munzir, Rasulullah telah bersabda : "Sesungguhnya hari Juma'at itu penghulu segala hari, semulia hari di sisi Allah dari hari Raya 'Idilfitri dan 'Idil Adha. Pada hari Jumaat itu terdapat 5 perkara :- Allah telah menciptakan Adam, Adam diturunkan ke dunia, Adam dimatikan, padanya (Juma'at) terdapat satu ketika (masa)  dimana tiada siapapun yang meminta kepada Allah, Allah pasti menunaikan permintaannya selagi dia tidak meminta perkara haram, padanya (Juma'at) terjadinya hari Qiyamat. Tidak ada malaikat Muqarrabin, malaikat menjaga langit, malaikat menjaga dunia, malaikat menjaga angin, malaikat menjaga gunung, malaikat menjaga laut, melainkan semuanya merasa kasih pada hari Juma'at."  [Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah]

SEJARAH NAMA HARI JUMA'AT

Pada zaman 'Arab masih diselubungi jahiliyah, nama asal hari Juma'at disebut "Al-'Arubah" [ العروبة ]. Hanya orang yang pertama kali memberi nama hari Juma'at pada masa itu adalah Ka'ab bin Lu'ay.

Pada hari itu, orang-orang Quraisy biasa berkumpul padanya lalu dia menyampaikan ceramah lantas memberikan nasihat dan memerintahkan mereka untuk mengagungkan Tanah Haram Makkah. Dia juga mengkhabarkan kepada mereka dari sana akan ada Nabi yang diutus. Dan ketika sudah diutus kelak, dia memerintahkan kepada kaumnya untuk taat dan beriman kepadanya. 

Kisah yang lain, sebelum zaman kedatangan Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam ke Madinah [nama lama, Yatsrib], orang-orang 'Arab suku 'Aus & Khazraj berkata : "Orang Yahudi memiliki satu hari yang mereka berkumpul setiap 7 hari dan orang Nasrani juga seperti itu, maka tidakkah kita menjadikan satu hari bagi kita berkumpul pada hari itu untuk berdzikir kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan bersyukur padaNya?" Lantas jawab salah seorang dari mereka lagi : "Hari Sabtu milik orang Yahudi, hari Ahad milik orang Nasrani maka jadikanlah hari Al-‘Arubah" Mereka pun berkumpul di tempat As’ad bin Zurarah, bersolat dua raka’at pada hari itu dan memberi peringatan pada mereka. Kemudian dinamakan "Al-Jumu'ah" ketika manusia berkumpul pada hari itu. Mereka juga menyembelih seekor keldai, hingga orang-orang mengambil makan siang dan malam darinya.

Pendapat Ibnu Hazm rahimahullah : “Bahwa Juma’at adalah nama Islamik yang tidak dikenali pada zaman jahiliyah. Pada masa itu, hari Juma’at dinamakan dengan panggilan Al-’Arubah.” (kitab Fathul Bari: 3/275 dari Maktabah Syamilah)

Perkara ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam :-

"Dari Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu bahawa Nabi shollallahu 'alayhi wa sallam telah bersabda :  "Kita adalah umat yang terakhir tetapi umat yang terdahulu pada hari Qiyamat. Kita adalah umat yang paling awal masuk ke Syurga sedangkan mereka telah menerima kitab sebelum kita. Kita diberikan kitab selepas mereka, mereka telah berbalah. Allah telah memberi hidayah kepada kita tentang perkara yang mereka perselisihkan. Inilah hari di mana mereka berselisih tentangnya. Allah telah memberi hidayah kepada kita. Hari Juma'at adalah hari (kebesaran) kita, esok (Sabtu) hari kebesaran Yahudi dan lusa (Ahad) hari kebesaran Nasrani"  [Riwayat Muslim]


PERISTIWA HARI JUMA'AT

Mengapa diangkat sedemikian? Kerana terhimpun pada hari Juma'at itu segala urusan Allah yang penting dan besar.
  1. Inilah hari diciptanya jasad Nabi Adam 'alayhisssalam dan ditiupkan ruh ke dalamnya
  2. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam dimasukkan ke Syurga 'Adn
  3. Inilah hari pernikahan Nabi Adam 'alayhissalam dan Hawa di Syurga
  4. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam dan Hawa diusir dari Syurga kerana menjamah buah Khuldi yang dilarang oleh Allah 'Azza Wa Jalla.
  5. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam dan Hawa bertemu semula di Jabal Rahmah
  6. Inilah hari Nabi Adam 'alayhissalam wafat di dunia
  7. Inilah hari banjir besar menghanyutkan bahtera Nabi Nug 'alayhissalam
  8. Inilah hari bahtera Nabi Nuh 'alayhissalam selamat berlabuh di Bukit Judiy [Ararat, Turki sekarang]
  9. Inilah hari unta Nabi Soleh 'alayhissalam dibunuh oleh kaumnya
  10. Inilah hari Nabi Ibrahim 'alayhissalam dicampak jauh ke gunung api yang marak menyala oleh Namrud
  11. Inilah hari Nabi Isma'il 'alayhissalam dan ibunya Siti Hajar ditinggalkan di Makkah oleh Nabi Ibrahim 'alayhissalam
  12. Inilah hari Nabi Luth 'alayhissalam dan keluarga terselamat dari bencana yang menimpa kaumnya
  13. Inilah hari Nabi Ya'akob 'alayhissalam kehilangan anaknya, Nabi Yusuf 'alayhissalam
  14. Inilah hari Nabi Yusuf 'alayhissalam keluar dari penjara
  15. Inilah hari pernikahan Nabi Yusuf 'alayhissalam dan Zulaikha
  16. Inilah hari Nabi Musa dan Nabi Harun 'alayhimassalam melarikan diri bersama kaumnya dari dikejar oleh Fir'aun
  17. Inilah hari pernikahan Nabi Musa 'alayhissalam dan Shafrawa, puteri Nabi Shu'ib 'alayhissalam
  18. Inilah hari Nabi Dzulkifli 'alayhissalam ditabal menjadi raja Bani Israil
  19. Inilah hari Nabi Daud 'alayhissalam berjaya membunuh Jalut dengan lemparan batu
  20. Inilah hari Nabi Sulaiman 'alayhissalam melamar Ratu Balqis
  21. Inilah hari Nabi Ilyas dan Nabi Ilyasa' 'alayhimassalam dipenjarakan dan dibunuh Nebuchadnezzar, raja Babylon
  22. Inilah hari Nabi Yunus 'alayhissalam jatuh ke laut dan ditelan ikan Nun
  23. Inilah hari Nabi Zakaria 'alayhissalam berpuasa kerana dikurniakan anak
  24. Inilah hari Nabi Yahya 'alayhissalam dibunuh oleh Herod, raja Bani Israil
  25. Inilah hari Nabi 'Isa 'alayhissalam diangkat ke langit
  26. Inilah hari pernikahan Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam dan Siti Khadijah binti Khuwailid
  27. Inilah hari Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam dan Sayyidina Abu Bakr As-Shiddiq radhiyallahu 'anhu keluar dari Gua Tsur kerana bersembunyi dari dikejar orang Quraisy yang mahu membunuh mereka. Ia disambut oleh penduduk Quba' ketika itu.
  28. Inilah hari pernikahan Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam dan Siti 'Aisyah bin Abu Bakr As-Shiddiq radhiyallahu 'anhu
  29. Inilah hari pernikahan Sayyidina 'Ali bin Abi Talib karramallahu wajhah dan Siti Fathimah bin Muhammad Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam
  30. Inilah hari dimana peristiwa Qiyamat pasti berlaku.
SEJARAH PERMULAAN SOLAT JUMA'AT

Bila mulanya solat Juma'at? Adakah secara tiba-tiba?

Kembali ke sejarah perjalanan hijrah Rasulullah Shollallahu 'Alayhi Wa Sallam dan Sayyidina Abu Bakar As-Shiddiq ke Madinah. 

Rasulullah Shollallahu 'Alayhi Wa Sallam mengerjakan solat Jumaat buat pertama kalinya ketika di Madinah, di mana setelah Rasulullah sampai di Quba’ dalam perjalanan ke Madinah, Rasulullah berhenti di kampung Amr Ibn ‘Auf.

Baginda tinggal sebentar di kampung Amr Ibn 'Auf selama beberapa hari iaitu dari hari Isnin hingga hari Khamis. Dalam masa empat hari itu, Baginda telah membina sebuah masjid bersama dengan kaum Muslimin. Kemudian pada hari Juma'at, Rasulullah meneruskan perjalanannya. 


Ketika tiba waktu solat Jumaat, Baginda telah sampai ke kampung Bani Salim Ibn ‘Auf. Maka Baginda terus mengerjakan solat Jumaat di salah satu masjid di dalam sebuah lembah kampung tersebut. 


Maka, itulah permulaan solat Jumaat yang dilaksanakan Rasulullah Shollallahu 'Alayhi Wa Sallam di daerah Madinah. 



KHUTBAH PERTAMA SOLAT JUMA'AT

Khutbah Rasulullah yang pertama yang disampaikan ialah mengenai jumlah orang yang mengikuti solat Jumaat dan mengenai syarat jamaah dalam mendirikan solat Jumaat. Tambahan lagi, kaum Muslimin wajib mengerjakan solat Jumaat di mana sahaja dia berada. Sebab dinamakan solat Jumaat diantaranya ialah dikerjakan pada hari Jumaat.

Isnin, 1 April 2013

Biodata Uwais Al-Qarny : Penghuni Langit Dikagumi Rasulullah

[sekadar hiasan]


Nama : Uwais bin 'Amar Muradi Al-Qarny ( أويس القرني )

Nama Timangan : Abu 'Amru


Asal : Qarn, negeri Yaman

Masuk Islam Ketika : Era Rasulullah masih hidup

Tinggal Bersama : Seorang ibu yang sudah tua lagi lumpuh

Pekerjaan : Pengembala kambing

Wafat : Syahid pada tahun 657 Masihi, ketika menyertai pasukan Sayyidina 'Ali dalam peperangan Shiffin

Dimaqamkan : Dalam daerah Baykan, Turki sekarang

Bentuk Fizikal :-
  1. Mata biru
  2. Rambut merah
  3. Pundak bahu panjang dan lapang
  4. Kulit hampir sawo matang
  5. Ada tompok putih di bawah bahu kiri, kesan dari penyakit
Peribadi :-
  1. Penampilan tampan
  2. Tangan kanan sentiasa memaut pada tangan kiri
  3. Dagu menempel ke dada kerana sentiasa melihat arah tempat sujud
  4. Ahli dalam pembacaan Al-Qur'an
  5. Sering menangisi dirinya
  6. Disangka gila oleh keluarganya
  7. Pakaiannya cuma 2 helai, 1 helai penutup badan dan 1 helai selendang
  8. Tiada orang menghiraukan kehadirannya
  9. Tidak terkenal di kalangan manusia tapi sangat masyhur di langit
WASIAT RASULULLAH BERKENAAN UWAIS AL-QARNY
"Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman(Dia) daripada Murad, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah." [Shahih Muslim, kitab Keutamaan Para Sahabat pada bab Keutamaan Uwais Al-Qarny]

Dalam sebuah Hadis Qudsi yang direkodkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu ​​dengannya Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam berkata firman dari Tuhannya :-

"Allah, Maha Besar dan Maha Kuasa Dia, suka ciptaan-Nya-orang yang bertakwa, tulen di dalam hati, mereka yang tersembunyi, dan mereka yang tidak bersalah, yang muka berdebu, yang rambut kusut, yang perut kosong, yang mana jika dia meminta kebenaran untuk masuk menemui raja-raja, tidak ditunaikan. Dan jika dia meminta seorang wanita yang sopan untuk dinikahi, dia akan ditolak. Dan apabila dia meninggalkan dunia, ia tidak diingati. Dan jika dia pergi keluar, keluar beliau akan tiada sesiapa perasan. Dan jika dia jatuh sakit, dia tidak diziarahi dan jika dia mati, dia tidak diiringi ke kuburnya. "

Mereka bertanya : "Wahai Rasulullah, bagaimana kita boleh mencari seseorang seperti itu?" Baginda bersabda : "Uwais al-Qarny adalah salah seorang seperti itu" Mereka bertanya kepadanya : "Siapa dia Uwais al-Qarny?" Baginda bersabda : "Dia adalah berkulit gelap, bahu luas, dan berketinggian sederhana. Warna kulit beliau adalah dekat kepada warna bumi [sawo matang]. Janggut beliau menyentuh dadanya. Matanya sentiasa melihat bawah ke tempat sujud, dan tangan kanannya pada tangan kirinya. Beliau menangis tentang dirinya dengan aliran air mata hinggakan bibirnya bengkak. Beliau memakai pakaian bulu dan dikenali oleh orang-orang langit. Jika dia membuat janji dalam nama Allah, dia menyimpannya. Bawah bahu kirinya terdapat tempat putih. Apabila Hari kiamat datang dan ia diumumkan kepada hamba : "Masuklah ke dalam Syurga" Ia akan berkata kepada Uwais : "Berhenti dan mohonlah syafaat" Allah Maha Kuasa dan Maha Suci Allah, maka Allah akan mengampunkan mereka sebanyak seperti orang-orang dari qabilah Rabi'ah dan Mudhar. (Ini adalah 2 puak yang Uwais berasal darinya). Jadi, wahai 'Umar dan 'Ali, jika kalian boleh mencari dia, minta dia syafaatkan untuk anda. Kemudian Allah akan mengampuni kamu."

KISAH PENCARIAN UWAIS AL-QARNY OLEH SAYYIDINA 'UMAR & SAYYIDINA 'ALI
Diceritakan ketika terjadi pertempuran Uhud, Rasulullah mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya terdengar oleh Uwais. Ia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihat Baginda. Hari silih berganti dan musim pun berlalu, kerinduan yang tak terbendung membuat hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendamkan lagi. Uwais merenung diri dan bertanya dalam hati : Bilakah dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dari dekat?

Tapi, bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan penjagaannya dan tak  betah ditingalkan sendiri. Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah. Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya dan mencurahkan isi hatinya serta memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan menziarahi Rasulullah di Madinah. Si ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya.

Beliau memahami perasaan Uwais dan berkata : "Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang". Dengan perasaan gembira, ia berkemas untuk berangkat dan tidak lupa menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran tetangganya agar dapat menemani ibunya selama dia pergi.

Sesudah minta diri sambil menciumi ibunya, berangkatlah Uwais menuju Madinah yang terletak lebih kurang 400 kilometer dari Yaman. Medan yang begitu ganas dilaluinya, tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, padang pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, dan begitu sejuk di malam hari, semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya wajah baginda Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam yang selama ini dirindukannya. 

Tibalah Uwais Al-Qarny di kota Madinah. Segera dia menuju ke rumah Rasulullah lantas diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah Sayyidah Fathimah binti Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam sambil menjawab salam Uwais.

Segera sahaja Uwais bertanyakan akan Rasulullah yang ingin dijumpainya. Ternyata Baginda  tidak berada di rumah tetapi berada di medan perang. Betapa kecewa hati si perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Rasulullah dari medan perang.

Tapi, bilakah Baginda pulang? Sedangkan masih terngiang-ngiang di telinga pesanan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia segera pulang ke Yaman, "Engkau harus segera pulang".

Kerana ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Rasulullah. Akhirnya dia dengan terpaksa mohon berundur diri kepada Sayyidah Fathimah untuk segera pulang ke negerinya. Dia hanya mengirimkan salamnya untuk Rasulullah dan melangkah pulang dengan perasaan sedih.

Sekembalinya dari medan perang, Rasulullah bertanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Rasulullah menjelaskan bahawa Uwais Al-Qarny adalah anak yang taat kepada ibunya. Beliau adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit). Mendengar perkataan baginda Rasulullah, Sayyidatina Fathimah dan para sahabatnya terpegun. Menurut maklumat Sayyidah Fatimah, memang benar ada yang mencari Rasulullah dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan lumpuh sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rasulullah bersabda : "Kalau kamu ingin berjumpa dengan dia (Uwais Al-Qarny), perhatikanlah, dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah tapak tangannya." Sesudah itu beliau SAW, memandang kepada Sayyidina 'Ali bin Abi Talib as dan Sayyidina Umar bin Al-Khattab dan bersabda : "Suatu ketika kelak, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah do'a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi".

Tahun terus berlalu dan tak lama kemudian Rasulullah wafat sehingga kekhalifahan Abu Bakar telah berganti kepada kekhalifahan Sayyidina 'Umar bin Al-Khattab. Suatu ketika, Sayyidina 'Umar teringat akan sabdaan Rasulullah berkenaan Uwais al-Qarny. Beliau mengingatkan kepada  Sayyidina 'Ali untuk turut mencarinya bersama. Sejak itu, setiap ada qafilah yang datang dari Yaman, beliau berdua selalu menanyakan tentang Uwais al-Qarny, apakah dia turut datang bersama mereka.

Di antara qafilah-qafilah itu ada yang merasa kehairanan, apakah sebenarnya yang berlaku sampai Uwais dicari oleh mereka berdua. Rombongan qafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka.

Suatu ketika, Uwais Al-Qarny turut bersama rombongan qafilah menuju kota Madinah. Melihat ada rombongan qafilah yang datang dari Yaman, segera Sayyidina 'Umar bin Al-Khattab dan Sayyidina 'Ali mendatangi mereka dan bertanya apakah Uwais turut datang bersama mereka. Rombongan itu mengatakan bahawa dia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di sempadan kota Madinah. Mendengar jawapan itu, mereka berdua bergegas pergi menemui Uwais Al-Qarny.

Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Sayyidina 'Umar bin Al-Khattab dan Sayyidina 'Ali memberi salam. Namun rupa-rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah menamatkan solatnya, Uwais menjawab salam kedua tetamu agung tersebut sambil bersalaman. Sewaktu berjabat tangan, Sayyidina 'Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais, sebagaimana pernah disabdakan oleh Rasulullah. Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut, siapakah nama saudara? "Abdullah", jawab Uwais.

Mendengar jawapan itu, kedua sahabatpun tertawa dan mengatakan, "Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?" Uwais kemudian berkata, "Nama saya Uwais Al-Qarny".

Dalam perbualan mereka, diketahuilah bahawa ibu Uwais telah meninggal dunia. Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan qafilah pedagang saat itu. Akhirnya, Sayyidina 'Umar dan Sayyidina Ali memohon agar Uwais berkenan mendo'akan untuk mereka.

Uwais enggan dan dia berkata kepada Sayyidina 'Umar : "Sayalah yang perlu meminta do'a kepada kalian". Mendengar perkataan Uwais, Sayyidina 'Umar berkata : "Kami datang ke sini untuk mohon do'a dan istighfar dari anda".

Kerana desakan kedua-dua sahabat ini, Uwais Al-Qarny akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdo'a dan membacakan istighfar. Setelah itu, Sayyidina 'Umar berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari Baitul Mal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. 

Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata, "Hamba mohon supaya di hari ini sahaja hamba diketahui oleh orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang faqir ini tidak diketahui orang lagi".

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger