Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Jumaat, 13 Julai 2012

Najis Dari Perspektif 4 Mazhab Feqah

APA ITU NAJIS?


Pertama : "Najas" bermakna benda yang hukumnya najis. 
Kedua : "Najis" bermakna sifat najisnya.

An-Najasah (najis) itu berlawanan dari At-Thaharah yang maknanya kesucian. 'Ulama Feqah telah membahagikan najis itu menjadi sekian jenis kelompok :-
  1. Ada yang membahagikannya berdasarkan hukum dan hakikat
  2. Ada juga yang membahaginya berdasarkan tahapnya antara berat, ringan dan pertengahan. 
  3. Ada juga yang membahaginya berdasarkan wujudnya yang cair atau pekat. 
  4. Dan juga ada yang membahaginya berdasarkan yang terlihat dan tidak terlihat.
KATEGORI NAJIS
  • Najis Hakikiy
Najis Hakiki adalah najis yang selama ini kita fahami iaitu najis yang berbentuk benda yang hukumnya najis. Misalnya darah, kencing, tahi (kotoran manusia), daging babi dan sebagainya iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga :-
  1. Mughallazah (berat) iaitu anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya. 
  2. Mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain menyusu dan belum mencapai umur dua tahun. 
  3. Mutawassithah (pertengahan), iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah, nanah, tahi dan sebagainya.
Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai binatang menjadi suci apabila disamak kecuali kulit khinzir, anjing dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.
  • Najis Hukmiy
Najis Hukmi maksudnya adalah hadas yang dialami oleh seseorang. Misalnya, seorang yang tidak punya air wudhu itu sering disebut dengan dalam keadaan hadats kecil. Dan orang yang dalam keadaan haidh, nifas atau keluar mani serta setelah berhubungan suami isteri, disebut dengan berhadas besar iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadas kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadas besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.


BENDA YANG DIPERAKUI KENAJISANNYA OLEH 'ULAMA FEQAH

a. Babi 
Walaupun seekor babi disembelih dengan cara yang syar`i namun dagingnya tetap haram dimakan kerana daging itu najis hukumnya. Dalil dalam Al-Quran selalu menyebut keharaman daging babi namun kenajisannya bukan terbatas pada dagingnya sahaja namun termasuk juga darahnya, tulangnya, lemaknya, kotorannya dan semua bagian dari tubuhnya.





Kini, masalah berulang kembali dengan penemuan DNA babi status "porcine" dalam produk coklat terkemuka, Cadbury. Namun, tidak menghairankan kerana hampir kesemua produk di dalam dunia masih menggunakan khidmat darah dan daging dari makhluk Allah yang satu ini, iaitu khinzir.




A173
Mafhum : "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah Al-Baqarah, ayat 173]

A115
Mafhum : "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah An-Nahl, ayat 115]


b. Darah 
Darah manusia itu najis hukumnya, iaitu darah yang mengalir keluar dalam jumlah yang besar dari dalam tubuh. Maka hati, jantung dan limpa tidak termasuk najis kerana bukan berbentuk darah yang mengalir. 



Haiwan air (laut) yang keluar darah dari tubuhnya secara banyak tidak najis kerana ikan itu hukumnya tidak najis walaupun sudah mati. Sedangkan darah yang mengalir dari tubuh muslim yang mati syahid tidak termasuk najis.

c. Air Kencing Manusia, Muntah dan Kotorannya. 
Kenajisan ketiga benda ini telah disepakati oleh para ulama kecuali bila muntah dalam jumlah yang sangat sedikit dan juga air kencing bayi laki-laki yang belum makan apapun kecuali susu ibunya. 

Dalilnya adalah hadis berikut :-

1) Dari Ummi Qais radhiyallahu 'anhu bahawa dia datang kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam dengan membawa anak lelakinya yang belum boleh makan. Bayi itu lalu kencing lantas Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam meminta diambilkan air dan beliau memercikkannya tanpa mencucinya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


2) Dari Ali bin Abi Talib karramallahu wajhahu bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Kencing bayi lelaki itu cukup dengan memercikkanya sahaja sedangkan kencing bayi wanita harus dicuci". Qatadah berkata : "Dan ini bila belum makan apa-apa, tapi bila sudah makan makanan, maka harus dicuci". [Riwayat At-Tirmizi dan beliau menshahihkannya] (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, At-Tirmizi dan Imam Ahmad)


d. Nanah
Nanah adalah najis dan bila seseorang terkena nanah dan harus dicuci bekas nanahnya sebelum boleh melakukan ibadah yang mensyaratkan kesucian (wudhu` atau mandi).



e. Mazi dan Wadi
Mazi adalah cairan kental yang keluar akibat percumbuan atau khayalan imaginasi, keluar dari kemaluan lelaki biasa. Mazi itu pekat dan biasa keluar sebelum air mani keluar. Keluarnya tidak deras/tidak memancar. Mazi berbeza dengan mani iaitu bahawa keluarnya mani diiringi dengan lazzah atau kenikmatan (ejakulasi/orgasme) sedangkan mazi tidak.

Wadi adalah cairan yang kental berwarna putih yang keluar akibat kesan dari air kencing.


f. Bangkai Haiwan
Haiwan yang mati menjadi bangkai hukumnya najis sehingga badan, pakaian atau tempat solat yang terkena bangkai haiwan harus disucikan. Untuk mensucikannya boleh dilakukan dengan mencucinya dengan air hingga hilang bau, warna dan rasanya. 



Dalam Al-Quran, Allah 'Azza Wa Jalla berfirman tentang hukum bangkai :-


A173

Mafhum : "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah Al-Baqarah, ayat 173]

g. Daging dan Susu Haiwan Yang Haram Dimakan Dagingnya
Para ulama sepakat mengatakan bahawa susu haiwan itu haram selama dagingnya haram. Misalnya, susu anjing itu hukumnya haram kerana daging anjing juga haram. Demikian juga susu haiwan buas (haiwan pemangsa) lainnya, susunya menjadi haram lantaran dagingnya haram dimakan.


h. Potongan Tubuh Dari Haiwan Yang Masih Hidup
Anggota tubuh haiwan yang terlepas atau terpotong dari tubuhnya termasuk benda najis dan haram hukumnya untuk dimakan.


A003

Mafhum : "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah Al-Maaidah, ayat 3]


BENDA YANG TIDAK DISEPAKATI KENAJISANNYA OLEH 'ULAMA FEQAH

a. Khamar [Arak]
Walaupun jumhur 'ulama Feqah mengatakan bahawa khamar itu hukumnya najis, namun ada sebahagian dari mereka yang mengatakan khamar bukan termasuk najis. Istilah najis yang ada dalam ayat Al-Quran tentang khamar bukanlah bermakna najis hakiki melainkan najis secara maknawi.




A090

Mafhum : "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya" [Surah Al-Maaidah, ayat 90]


JENAMA ARAK YANG DIKENALI DI PASARAN MALAYSIA

1) Jolly Shandy
2) Carlsberg sama Carlsberg Green, Carlsberg Gold dan Carlsberg Special Brew
3) Skol samada Skol biasa dan Super Skol
4) Guinness samada Guinness biasa dan Guinness Royal Stout
5) Tuborg samada Tuborg biasa dan Super Tuborg
6) Asahi
7) Tiger Beer
8) Corona
9) Grape Wine samada Cabernet, Shiraz, Merlot, Sauvignon dan lain-lain
11) Malta [dihasilkan oleh syarikat Carlsberg] 

P/S : Malta menjadi minuman kegemaran biasa sebahagian rakyat Malaysia kerana mudah didapati di kedai serbaneka 7-Eleven [mungkin sudah tahu tetapi masih teruskan meminumnya kerana kebiasaan]

b. Anjing
Sebahagian 'ulama Feqah menghukumi anjing sebagai haiwan yang najis berat (mughallazhah) bukan hanya air liurnya saja tetapi juga seluruh tubuhnya. Namun ada sebahagian 'ulama Feqah yang tidak menghukumi najis anjing pada badannya kecuali hanya air liurnya saja dikira sebagai najis berat.




Lebih dalam tentang bagaimana perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang kenajisan anjing ini, kita bedah satu persatu sesuai dengan yang terdapat dalam kitab-kitab Feqah rujukan utama.
  1. Mazhab Al-Hanafiyah
    Dalam mazhab ini, yang najis dari anjing hanyalah air liurnya, mulutnya dan kotorannya sedangkan tubuh dan bahagian lainnya tidak dianggap najis. Kedudukannya sebagaimana haiwan yang lainnya, bahkan umumnya anjing bermanfaat banyak buat manusia contohnya sebagai haiwan penjaga ataupun haiwan untuk berburu. Mengapa demikian ?

    Sebab dalam hadis berkenaan najisnya anjing, yang ditetapkan sebagai najis hanya bila anjing itu minum di suatu wadah air. Maka hanya bahagian mulut dan air liurnya sahaja (termasuk kotorannya) yang dianggap najis.

    1) Dari Abi Hurairah ra bahwa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Bila anjing minum dari wadah air milikmu, harus dicuci tujuh kali" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    2) Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Sucinya wadah minummu yang telah diminum anjing adalah dengan mencucinya tujuh kali dan salah satunya dengan tanah" (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad)

    Lihat kitab Fathul Qadir jilid 1 halaman 64, kitab Al-Badai` jilid 1 halaman 63.

  2. Mazhab Al-Malikiyah
    Mazhab ini juga mengatakan bahawa badan anjing itu tidak najis kecuali hanya air liurnya saja. Bila air liur anjing jatuh masuk ke dalam wadah air, wajiblah dicuci tujuh kali sebagai bentuk penyuciannya.

    Silakan periksa kitab Asy-Syarhul Kabir jilid 1 halaman 83 dan As-Syarhus-Shaghir jilid 1 halaman 43.

  3. Mazhab As-Syafi`iyah dan Al-Hanabilah
    Kedua mazhab ini bersepakat mengatakan bahawa bukan hanya air liurnya saja yang najis, tetapi seluruh tubuh anjing itu hukumnya najis berat, termasuk keringat peluhnya. Bahkan haiwan lain yang kahwin dengan anjing pun ikut hukum yang sama pula. Dan untuk menyucikannya harus dengan mencuci tujuh kali dan salah satunya dengan tanah.

    Logik yang digunakan oleh mazhab ini adalah tidak mungkin kita mengatakan bahawa yang najis dari anjing hanya mulut dan air liurnya saja sebab sumber air liur itu dari badannya. Maka, badannya itu juga merupakan sumber najis termasuk air yang keluar dari tubuh itu juga baik kencing, kotoran dan juga keringatnya.

    Pendapat tentang najisnya seluruh tubuh anjing ini juga dikuatkan dengan hadis lainnya antara lain :

    Bahawa Rasululah shollallahu 'alaihi wa sallam diundang masuk ke rumah salah seorang kaum dan beliau mendatangi undangan itu. Di kala lainya, kaum yang lain mengundangnya dan beliau tidak mendatanginya. Ketika ditanyakan kepada beliau apa sebabnya beliau tidak mendatangi undangan yang kedua, beliau bersabda : "Di rumah yang kedua ada anjing sedangkan di rumah yang pertama hanya ada kucing. Dan kucing itu itu tidak najis" (Riwayat Al-Hakim dan Ad-Daruquthuny).

    Dari hadis ini difahami bahawa kucing itu tidak najis sedangkan anjing itu najis.

    Lihat kitab Mughni Al-Muhtaj jilid 1 halaman 78, kitab Kasy-syaaf Al-Qanna` jilid 1 halaman 208 dan kitab Al-Mughni jilid 1 halaman 52.
Dan masih banyak lagi benda-benda yang kenajiasannya tidak disepakati para ulama. Contohnya, bangkai haiwan air atau tidak mempunyai darah, potongan tubuh haiwan yang tidak punya darah, kulit bangkai, air kencing bayi, air kencing dan susu haiwan yang halal dagingnya, air mani (sperma), mayat manusia, air liur orang yang tidur, dan seterusnya.

c. Mani

Air mani yang keluar dari kemaluan seseorang sesungguhnya bukan benda najis. Air mani adalah satu pengecualian dari ketentuan bahwa segala benda yang keluar lewat kemaluan hukumnya najis. Baik berbentuk padat, cair atau gas.

Air kencing, mazi, wadi, darah, nanah, batu dan semua yang keluar lewat kemaluan ditetapkan para ulama sebagai benda najis. Kecuali air mani, hukumnya bukan najis.

Dalil dari tidak najisnya air mani ada banyak, di antaranya adalah hadis berikut ini :

Dari Aisyah radhiyallahu 'anha berkata : "Aku mengikis kesan air mani dari pakaian Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam dan beliau memakainya untuk solat. Dalam riwayat lain disebutkan : "Aku menggaruk dengan kuku akan mani yang kering dari pakaian beliau" (Riwayat Muslim)

Dengan hadis ini, 'ulama Feqah umumnya mengatakan bahawa air mani itu tidak najis. Tindakan 'Aisyah isteri Rasulullah mengikis atau menggaruk dengan kuku akan sisa mani yang sudah mengering di pakaian beliau menunjukkan bahawa air mani tidak najis sebab kalau najis, maka seharusnya Aisyah radhiyallahu 'anha mencucinya dengan air hingga hilang warna, aroma atau rasanya.

Tindakan Aisyah menurut sebagian ulama dilatarbelakangi dengan rasa malu beliau melihat Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam iaitu suaminya, bersolat dengan pakaian yang berkesan sisa mani. Maka, dikikisnya setelah kering agar tidak terlihat nyata meskipun sesungguhnya tetap masih ada sisa mani kering yang menempel.

Namun sebagian kecil 'ulama Feqah memang ada yang mengatakan bahawa air mani itu najis contohnya pendapat Al-Hanafiyah, Malik, Ahmad pada sebahagian riwayat dan Al-Hadawiyah. 

Di antara dasar yang melandaskan pendapat mereka adalah hadis berikut ini :-

'Aisyah radhiyallahu 'anha mengatakan : "Biasanya Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam mencuci mani kemudian pergi solat memakai sarung itu dan saya melihat bekas cucian sarung itu" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tindakan Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam mencuci bekas mani di pakaiannya menunjukkan bahawa mani itu najis.

Namun pendapat ini dibantah oleh 'ulama Feqah yang mengatakan bahawa air mani tidak najis dengan beberapa jawapan. Antara lain :-
  1. Hadis ini meskipun secara riwayatnya shahih, namun tidak menunjukkan kewajipan untuk mencuci bekas mani yang menempel di pakaian tetapi hanya menunjukkan keutamaan untuk mencucinya dan hukumnya hanya sunnah.
  2. Kalau ada beberapa hadis yang bertentangan secara zahir padahal masing-masing ada sandaran yang kuat, maka sebelum menafikan salah satunya harus dicarikan dahulu kesesuaian antara dalil-dalil itu dan menyimpulkan bahawa mani tidak najis adalah bentuk kompromi atas semua dalil yang ada. Tindakan Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam yang mencuci bekas mani harus difahami bukan sebagai keharusan melainkan kewajipan dan kesunnahan.
  3. Meskipun mazhab Al-Hanafiyah mengatakan bahawa air mani itu najis namun mereka berpendapat untuk mensucikan bekas mani cukup dengan mengikisnya setelah kering, tidak perlu dicuci.


NAJIS-NAJIS YANG DIMAAFKAN


Najis-najis yang dimaafkan adalah benda yang pada hakikatnya najis atau terkena najis, namun kerana kadarnya sangat sedikit/kecil sehingga dimaafkan. 

Mengatakan bahawa termasuk ke dalam najis yang dimaafkan adalah najis yang padat (bukan cair) yang hanya sedikit sekali iaitu hanya selebar wang dirham (3.17 gram) atau setara 20 qirath. Sedangkan untuk najis yang berbentuk cair cuma seluas lebar tapak tangan saja. 

Namun dalam pandangan mereka, meskipun najis itu dimaafkan tetap haram melakukan solat bila badan, pakaian atau tempatnya terkena najis yang dimaafkan.

a. Mazhab Hanafiyah
Mereka juga mengatakan bahawa yang termasuk najis yang dimaafkan adalah beberapa titis air kencing kucing atau tikus yang jatuh ke dalam makanan atau pakaian kerana darurat dan juga akibat percikan najis yang tak terlihat oleh mata zahir.

b. Mazhab Malikikiyyah 
Mengatakan bahawa yang termasuk najis yang dimaafkan adalah darah manusia atau haiwan darat yang sangat sedikit jumlahnya juga nanah dan muntah yang sedikit iaitu kira-kira selebar titik hitam pada wang dirham samada najis itu berasal dari dirinya atau dari orang lain, termasuk dari haiwan bahkan termasuk darah dari babi.

Juga air kencing yang sedikit sekali yang keluar tanpa mampu dijaga kerana penyakit, termasuk di dalamnya adalah air mazi, mani dan yang keluar dari kemaluan. Air kencing anak kecil dan kotorannya buat ibu yang sedang menyusuinya kerana nyaris mustahil tidak terkena sama sekali dari najis yang mungkin hanya berupa percikan atau sisa-sisa yang tak nampak.

c. Mazhab Syafi`iyyah dan Hanbaliyyah 
Dalam masalah najis yang dimaafkan ini nampak lebih keras sebab yang dimaafkan bagi mereka hanyalah yang tidak nampak di mata saja atau darah nyamuk, kutu, bangsat dan serangga lain yang tidak punya darah cair juga sisa bekas berbekam (hijamah), bekas lalat, dan lainnya.
CARA MENYUCIKAN NAJIS
Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak.


Cara menyucikan najis hakikiy pula adalah seperti berikut :- 

1. Najis mughallazah (berat)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).
2. Najis mutawassithah (pertengahan)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

3. Najis mukhaffafah (ringan)
Hendaklah dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.

Untuk menyucikan najis hukmiy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.

2 ulasan:

Azrin's Blog | Blog Azrin berkata...

malta tu bukan arak..tapi bahan2 yang ada dalam malta tu mmg selalunya ada dalam beer

Seharum Attar berkata...

Ada 4 bahan utama untuk menjadi beer secara umumnya dalam industri pembuatan lager, ale dan beer sedunia :-

1} Air
2} Biji Hops
3} Ragi
4} Malt

Pada Malta, 3 kandungan utama ada padanya kecuali ragi. Dan dilesenkan di bawah Guinness Anchor, pembuat arak yang terkenal.

Dari Annas bin Malik katanya, Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda:
“Sepuluh orang yang dikutuk Allah mengenai arak :-
1] Pembuat arak,
2] Pengedar arak,
3] Peminum arak,
4] Pembawa arak,
5] Pengirim arak,
6] Penuang arak,
7] Penjual arak,
8] Pemakan wang hasil jualan arak,
9] Pembayar pesanan beli arak,
10] Pemesan arak.”
(Hadis Riwayat Imam Tirmidzi)

Arak akan hadir dengan nama-nama yang kelihatan seperti bukan arak sedangkan kandungannya arak.

Daripada Abu Malik Al-Asy’ari katanya, Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam bersabda:
"Sesungguhnya akan ada segolongan manusia dari umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. (Mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik atau suara para artis. Allah akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan akan merubah mereka menjadi kera atau babi."
(Riwayat Ibnu Majah (4020) dalam kitab al-Fitan, bab hukuman.)

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger