Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Rabu, 20 Mac 2013

Kucing Yang Tabah Hidupnya

Assalamualaikum,

Kali ini perkongsian seharian akan bicara kehidupan yang lazim berlaku sekeliling kita. Nampak normal namun jauh di sudut fikiran, ia sesuatu yang luar biasa.

Biar kita bicara berkenaan kucing...

Kucing (Jawi:کوچيڠ ) dikenali sebagai kucing bela jinak ialah mamalia karnivor kecil dari subspesis Felis silvestris catus. Ia adalah keturunan kucing liar AfrikaFelis silvestris lybica dan mungkin dijinakkan 3,500 tahun dahulu di zaman Mesir purba, di mana ia digunakan untuk menjaga simpanan bijirin daripada tikus dan roden yang lain. Hari ini, kucing merupakan salah satu daripada haiwan belaan rumah yang paling terkenal di dunia selain anjing.

Seringkali ngeongan kucing menjadi teman halwa telinga manusia yang gemarkannya. Keletahnya manja. Raut wajah "shomeylnye cute gitu" kata orang perempuan.


Setiap kali kita singgah ke warung kopi, restoran, kedai runcit, dan mana-mana sahaja kawasan kaki lima, pasti kita akan tersua dengan kucing. Dominasi haiwan ini hampir setiap penjuru kejiranan manusia baik di bandar mahupun kampung. Bermacam-macam jenis kacukan yang sering ditemui. Ada berbulu lebat, ada berekor panjang, ada bercampur warna dan varian yang lain. Sangat warna-warni!

Firman Allah :-

A028

Mafhum ayat : "Dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang yang melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun."
(Faatir 35:28)

Rapatnya kucing dengan manusia sejak dulukala. Apa yang dimakan manusia, itulah yang kucing mahu. Ada roti, itulah dimakannya. Ada biskut, itu jua dijamahnya. Ada Friskies? Kalau tidak disentuh, bukan kucing namanya. Selepas selesai makan, digesel badannya ke kaki manusia sebagai tanda terima kasih.

Kabsyah binti Ka'b bin Malik menceritakan bahawa Abu Qatadah, mertua Kabsyah masuk ke rumahnya lalu ia menuangkan air untuk wudhuk. Pada masa itu datang seekor kucing yang ingin minum. Lantas ia menuangkan air di bekas untuk kucing itu minum. Kabsyah berkata, “Perhatikanlah”. Abu Qatadah berkata, “Apakah kamu hairan?” Kabsyah menjawab, “Ya”. Lalu Abu Qatadah berkata bahawa Nabi SAW pernah bersabda, Kucing itu tidak najis. Kucing binatang yang suka berkeliling di rumah (binatang rumah), (Riwayat At-Tirmidzi, An-Nasai, Abu Dawud, dan Ibnu Majah).

Di sebalik kecomelan haiwan manja bergelar kucing, kembara hidupnya berliku. Perjalanannya liar. Pertarungan demi pertarungan dilalui saban hari demi kelangsungan hidup. Apa yang pasti, hidup harus diteruskan hingga akhir.


Kucing kurapSatu simpulan bahasa Melayu yang merujuk kepada seseorang yang tidak ada gunanya kepada orang lain. Pandai orang-orang tua Melayu mengambil contoh! Namun, itu cuma nama rujukan tetapi kucing kurap tetap ada di sekeliling manusia. Ia kelihatan tidak sihat, lemah, trauma, kekurangan zat makanan dan minuman, kesejukan, keletihan, dan berbagai macam keadaan yang menyedihkan.

Seringkali ia merayau-rayau di kawasan manusia untuk hidup berteduh, membiak dan mencari makanan. Bagi yang bernasib baik akan berjaya mendapatkan sekurang-kurangnya tempat untuk makan di mana-mana rumah yang sudi menginfaqkan sedikit makanan.Ada juga yang bertuah dapat berteduh di rumah yang penghuninya sangat sayangkan haiwan manja ini. Lebih beruntung, ada yang dapat tuan untuk dijaga, dirawat, dan dibiak dengan baik.

Cuma yang tidak bernasib baik, ia tidak dapat mendapatkan sebarang makanan yang berkhasiat melainkan sisa-sisa cebisan makanan yang manusia buang di tempat sampah. Itu pun masih dikira cukup baik. Kucing dikurnia daya tahan yang tinggi dan mampu mengharungi keadaan lapar dengan daya ikhtiar yang bagus. Kelebihan kucing yang jarang ada pada makhluq Allah yang lain.

Bagaimana pula kucing kurap yang meminta makanan di kawasan restoran dan warung kopi? Bagi manusia yang bersimpati, dihulurnya secebis dua makanan walaupun tidak mengenyangkan kucing itu. Namun, berulang kali diminta hingga ada yang dikuis dengan kaki bagi mengelak permintaan kucing tersebut. Malang bertimpa apabila ada pengusaha restoran yang menghalau kucing kurap dengan penyapu, batang besi dan sebagainya. Tidak kurang juga ada yang mengurung kucing berkenaan sehingga mati kelaparan.

 
Tolong! Manusia kurung saya!

Sila renungi kisah wanita 'abid bernama Himyariyah Israiliyah yang mengurung seekor kucing kerana tangannya dicakar oleh kucing tersebut. Kucing berkenaan dikurung tanpa diberi sebarang makanan dan minuman sehingga mati kelaparan. Dek perbuatannya yang zalim, rintihan kucing itu didengari Allah dan balasannya terhadap 'abid tersebut sangat pedih.

"Seorang wanita disiksa kerana seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk Neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya makan serangga bumi" [Riwayat Al-Bukhari]


Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam telah melihat wanita yang mengikat kucing ini berada di Neraka manakala beliau melihat Syurga dan Neraka pada solat sunnat gerhana [khusuf].



Dari Asma Binti Abu Bakar bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda, maksudnya: "Lalu Neraka mendekat kepadaku sehingga aku berkata, Ya Rabbi, aku bersama mereka? Aku melihat seorang wanita, Aku menyangka wanita itu diserang oleh seekor kucing. Lalu aku bertanya, "Bagaimana ceritanya? Mereka berkata, 'Dia menahannya sampai mati kelaparan. Dia tidak memberinya makan dan tidak pula membiarkannya mencari makan.' Nafi' berkata,  "Menurutku dia berkata, 'Mencari makan dari serangga bumi" [Sahih Bukhari]


Sungguh perit kehidupan kucing kurap. Pelbagai cara manusia menghalaunya tetap diteruskan mencari sedikit alas perut. Bagi mengerah baki kudrat yang tersisa, kucing kurap menagih simpati manusia yang bermacam perangai. Dipanjatnya dua kaki hadapan ke paha manusia, dingiau-ngiau, menggesel badannya ke kaki manusia, dan sebagainya. Benar, simpati ada hadnya namun dalam arena kehaiwanan, simpati adalah jalan akhir. Kucing tidak berkongsi makanan, tempat tinggal dengan kucing sejenisnya yang lain. Jika berlaku, gaduh besar! Silap masuk kawasan, akan dihambat sampai hujung jalan oleh kucing lain.

Diriwayatkan dari Dawud bin Shalih At-Tammar dan ibunya yang menerangkan bahawa hambanya memberikan Aisyah semangkuk bubur. Namun ketika ia sampai di rumah Aisyah, tenyata Aisyah sedang solat. Lalu ia memberikan isyarat untuk menyimpannya. Sayangnya setelah Aisyah selesai mendirikan solat, ia lupa adanya bubur. Datanglah seekor kucing lalu memakan sedikit bubur tersebut. Ketika Aisyah melihat bubur tersebut dimakan kucing, Aisyah lalu membersihkan bahagian yang disentuh kucing dan Aisyah memakannya. Rasulullah Saw bersabda, “Ia tidak najis. Ia binatang yang berkeliling”. Aisyah pernah melihat Rasulullah Saw berwudhuk dari sisa bekas jilatan kucing, (Riwayat Al-Baihaqi, Abd Al-Razzaq, dan Ad-Daruquthni).



Boleh bezakan kucing berdasarkan kedua-dua gambaran di atas? Sudah tentu! Seekor kucing yang sihat dan seekor kucing yang kurang sihat.

Dapat kita tentukan satu persamaan bila melihat gambar tersebut? Sudah tentu dapat! Ia kucing!

Ulasan doktor yang bergiat dalam bidang kuman, Doktor George Maqshud, ketua laboratorium di Klinik Haiwan Baitharah, jarang sekali ditemui kehadiran kuman pada lidah kucing. Jika mempunyai kuman, itu tandanya kucing itu akan atau sedang sakit!


Kajian tidak menemui jenis kuman yang beragam dan berbahaya di badan kucing. Kesimpulan sains merumuskan bahawa kucing tidak mempunyai kuman dan mikrobakteria. Air liurnya bersih dan boleh membersihkan seluruh badannya.
  • Hasil yang diambil dari kulit luar tidak mempunyai kuman, meskipun dilakukan berulang kali.
  • Tempat yang sengaja diletakkan kuman menunjukkan hasil negatif sekitar 80% (20% mempunyai kuman), jika dilihat dari air liurnya. Ini menunjukkan kucing dapat melawan kuman yang diberikan kepadanya.
  • Cairan yang diambil dari permukaan lidah juga menunjukkan tiada kuman.
  • Hanya sekali kuman dijumpai semasa proses penyelidikan. Kuman ini termasuk dalam kumpulan kuman yang dianggap sebagai kuman biasa yang selalunya membiak dalam tubuh manusia dalam jumlah yang kecil seperti enterobacterstreptococcus, dan staphylococcus. Jumlahnya kurang dan membiak dalam lingkungan 50,000 pertumbuhan.
Ini membuktikan bahawa kucing benar-benar sejenis makhluq Allah yang sentiasa menjaga kebersihan diri. Hanya manusia yang cetek ilmu dan iman sahaja yang menganggap kucing adalah sebaliknya.

Ada hati, nilailah dengan rasa kesedaran yang baik. Tidak kira kucing, anjing, dan sebagainya hatta chameleon mahupun sugar glider sekali pun, sebagai manusia yang dikurnia aqal maka layani mereka dengan sebaik-baiknya. Kebaikan pun dapat, ketenangan hati pun diperoleh melalui layanan baik terhadap makhluq Allah yang selain manusia. 

Firman Allah :-

A045
Mafhum ayat : "Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu"
(An-Nuur 24:45)

Firman Allah :-

A018
Mafhum ayat : "Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, danbinatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya."
(Al-Hajj 22:18)

Firman Allah :-

A060
Mafhum ayat : "Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui."
(Al-'Ankabuut 29:60)

2 ulasan:

Deeja berkata...

Sy ttp suka kucing wlu kucing kurap kn plak klu kucing sndri

Seharum Attar berkata...

Ya...meskipun begitu, segala jenis haiwan adalah makhluq Allah dan tetap ada bentuk layanan yang sebaiknya.

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger