Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Rabu, 15 Ogos 2012

Salam 'Aidilfitri : Adab Bertamu

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakaatuh,


Hampir berangkat Ramadhan yang diberkati sehinggakan suasana 'Aidilfitri jelas dirasakan di segenap pelusuk tempat serta sangat dinanti-nantikan oleh pelbagai golongan tua dan muda bagi meraikannya dengan keluarga dan rakan-rakan tercinta.

Pun begitu, semestinya tradisi berkunjung ke rumah terbuka a.k.a open house menjadi adat kebiasaan budaya 'Aidilfitri di Malaysia hinggakan ia menjadi suatu kemestian bagi mereka yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman khususnya perantau di tanah orang ataupun di negara asing.

Tuan rumah telah berusaha bertungkus-lumus bagi menyiapkan hidangan santapan pagi 'Aidilfitri berupa ketupat, lemang, pulut, kuih Almond London, kuih Tart Nenas, kuih Makmor, kuih Mazola, kuih-muih yang beraneka nama dan jenisnya, serta bermacam-macam juadah enak pembuka selera yang pastinya bakal dihabiskan oleh tetamu yang sudi berziarah ke teratak indah mereka.

Segan atau tidak, tetamu yang berpakaian indah berwarna-warni pasti ceria dengan sekian layanan mesra dari tuan rumah dan bertambah erat perkenalan bagi mereka yang baru bertemu dan bersapa mesra bagi mereka yang telah lama terpisah dek jarak dan masa. Tidak dilupa, "token" bagi si pengunjung cilik berupa sampul berisi duit demi meraikan kemeriahan ziarah oleh golongan lebih muda di pagi 'Aidilfitri.

Walaupun berziarah ini menjadi budaya di 'Aidilfitri, semestinya meneruskan keberkatan Ramadhan yang berlalu dengan memenuhi adab-adab berziarah dan bertetamu yang pastinya menambahkan lagi berkat kunjungan ke rumah orang.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang Malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah Malaikat kepadanya: "Ke mana engkau hendak pergi?" Orang itu menjawab: "Saya hendak pergi ke tempat seorang saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi: "Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau perolehi dari saudaramu itu?" Ia menjawab: "Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana Allah." Malaikat lalu berkata: "Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu - guna memberitahukan - bahawa sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah." (Riwayat Muslim)

Sangat dituntut dan digalakkan untuk menziarahi saudara-mara dan sahabat-handai serta rakan-taulan tidak hanya di pagi 'Aidilfitri malahan pada setiap hari serta waktu-waktu yang sesuai mengikut keperluan yang utama kebiasaannya ketika ditimpa musibah bala bencana, undangan pernikahan serta gotong-royong beramai-ramai ketika kenduri.

ADAB-ADAB BAGI PIHAK TUAN RUMAH


1) Mengundang orang-orang yang Soleh, bukan orang-orang yang Fasiq [sewenang-wenang bermaksiat].
2) Menjemput orang tidak kira statusnya orang kaya mahupun orang fakir miskin.
3) Tidak mengundang orang yang diketahui menyusahkan pihak tuan rumah sekiranya dijemput hadir.
4) Sunnah mengucap selamat datang kepada tetamu yang sudi hadir memenuhi undangannya.
5) Menjamu tetamu semampunya yang ada. Jika lebih, jamu tetamu mengikut kadarnya.
6) Jamuan yang disediakan pihak tuan rumah bukan atas tujuan untuk menunjuk-nunjuk kekayaannya malahan bersederhana.
7) Berniat untuk menggembirakan para tetamu yang dilayaninya semata-mata kerana Allah.
8) Sekiranya para tetamu dalam keadaan duduk, pihak tuan rumah hendaklah menjamu tetamu bermula dari sebelah kanan hinggalah ke sebelah kiri.
9) Mendahulukan tetamu yang lebih tua kemudian barulah tetamu yang lebih muda.
10) Tidak mengangkat hidangan sehinggalah para tetamu selesai bersantap hidangannya.
11) Berbual-bual mesra dengan perbualan yang disenangi oleh para tetamu serta bermanis muka ceria ketika melayani mereka.
12) Menyorong hidangan supaya dekat dengan para tetamu yang bersantap hidangannya.
13) Lekas menghidangkan santapan hidangan sebagai penghormatan kepada para tetamu yang hadir.
14) Tidak membiarkan para tetamu kelaparan dan pulang dalam kehampaan.
15) Jika para tetamu mahu bermalam, pihak tuan rumah boleh menjamu mereka selama 3 hari.
16) Menghantar para tetamu pulang sehingga ke muka pintu.

ADAB-ADAB BAGI PIHAK TETAMU


1) Wajib memenuhi undangan melainkan ditimpa keuzuran seperti adanya halangan di pertengahan jalan mahupun dibimbangi tugas kerjaya akan tergendala sekiranya hadir.
2) Tidak membeza-bezakan undangan dari orang kaya mahupun orang fakir miskin.
3) Berniat menghormati undangan semata-mata kerana Allah dan memuliakan pihak pengundang.
4) Masuk dan keluar rumah dengan keizinan dari pihak tuan rumah. Tidak masuk dan keluar sesuka hati.
5) Sekiranya berpuasa contohnya berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawwal, sunnah memenuhi undangan juga sebagai membahagiakan pihak tuan rumah.
6) Memohon izin untuk bersantap hidangan yang disediakan oleh pihak tuan rumah.
7) Tidak memandang lihat ke arah kawasan laluan perempuan yang dikhaskan oleh pihak tuan rumah.
8) Tidak beralih tempat duduk yang disediakan untuknya oleh pihak tuan rumah melainkan mendapat izin.
9) Tidak melirik mata ke arah muka orang yang sedang bersantap hidangan.
10) Tidak menyusahkan pihak tuan rumah dengan gelagat tingkah lakunya.
11) Digalakkan membawa sedikit hadiah untuk tuan rumah bagi mengeratkan hubungan persaudaraan.
12) Sekiranya mahu hadir bersama dengan orang yang tidak diundang, haruslah memaklumkan dan memohon izin dari tuan rumah.
13) Mendoakan tuan rumah yang bersusah-payah menjamu tetamu dengan doa :-

أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُوْنَ, وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ اْلأَبْرَارَ,وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ اْلمَلاَئِكَةُ

Maksud : "Orang-orang yang puasa telah berbuka di samping kalian. Orang-orang yang baik telah memakan makanan kalian. semoga malaikat mendoakan kalian semuanya.” (Riwayat Abu Daud)

atau,

اَللّهُـمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي, وَاْسقِ مَنْ سَقَانِي

Maksud : "Ya Allah berikanlah makanan kepada orang telah yang memberikan makanan kepadaku dan berikanlah minuman kepada orang yang telah memberiku minuman.” (Riwayat Muslim)

ataupun,

اَللّهُـمَّ اغْـفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَبَارِكْ لَهُمْ فِيْمَا رَزَقْتَهُمْ

Maksud : "Ya Allah ampuni dosa mereka dan kasihanilah mereka serta berkahilah rezeki mereka.” (Riwayat Muslim)

14) Selesai bertamu, pulanglah dengan hati yang lapang dan maafkanlah segala kekurangan yang mungkin ada dari layanan yang ditunjukkan oleh pihak tuan rumah serta tunjukkanlah adab yang mulia dengan berterima kasih atas undangan yang diterimanya.

Jumaat, 13 Julai 2012

Najis Dari Perspektif 4 Mazhab Feqah

APA ITU NAJIS?


Pertama : "Najas" bermakna benda yang hukumnya najis. 
Kedua : "Najis" bermakna sifat najisnya.

An-Najasah (najis) itu berlawanan dari At-Thaharah yang maknanya kesucian. 'Ulama Feqah telah membahagikan najis itu menjadi sekian jenis kelompok :-
  1. Ada yang membahagikannya berdasarkan hukum dan hakikat
  2. Ada juga yang membahaginya berdasarkan tahapnya antara berat, ringan dan pertengahan. 
  3. Ada juga yang membahaginya berdasarkan wujudnya yang cair atau pekat. 
  4. Dan juga ada yang membahaginya berdasarkan yang terlihat dan tidak terlihat.
KATEGORI NAJIS
  • Najis Hakikiy
Najis Hakiki adalah najis yang selama ini kita fahami iaitu najis yang berbentuk benda yang hukumnya najis. Misalnya darah, kencing, tahi (kotoran manusia), daging babi dan sebagainya iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga :-
  1. Mughallazah (berat) iaitu anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya. 
  2. Mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain menyusu dan belum mencapai umur dua tahun. 
  3. Mutawassithah (pertengahan), iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah, nanah, tahi dan sebagainya.
Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai binatang menjadi suci apabila disamak kecuali kulit khinzir, anjing dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.
  • Najis Hukmiy
Najis Hukmi maksudnya adalah hadas yang dialami oleh seseorang. Misalnya, seorang yang tidak punya air wudhu itu sering disebut dengan dalam keadaan hadats kecil. Dan orang yang dalam keadaan haidh, nifas atau keluar mani serta setelah berhubungan suami isteri, disebut dengan berhadas besar iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadas kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadas besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.


BENDA YANG DIPERAKUI KENAJISANNYA OLEH 'ULAMA FEQAH

a. Babi 
Walaupun seekor babi disembelih dengan cara yang syar`i namun dagingnya tetap haram dimakan kerana daging itu najis hukumnya. Dalil dalam Al-Quran selalu menyebut keharaman daging babi namun kenajisannya bukan terbatas pada dagingnya sahaja namun termasuk juga darahnya, tulangnya, lemaknya, kotorannya dan semua bagian dari tubuhnya.





Kini, masalah berulang kembali dengan penemuan DNA babi status "porcine" dalam produk coklat terkemuka, Cadbury. Namun, tidak menghairankan kerana hampir kesemua produk di dalam dunia masih menggunakan khidmat darah dan daging dari makhluk Allah yang satu ini, iaitu khinzir.




A173
Mafhum : "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah Al-Baqarah, ayat 173]

A115
Mafhum : "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu, maka tidaklah ia berdosa), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah An-Nahl, ayat 115]


b. Darah 
Darah manusia itu najis hukumnya, iaitu darah yang mengalir keluar dalam jumlah yang besar dari dalam tubuh. Maka hati, jantung dan limpa tidak termasuk najis kerana bukan berbentuk darah yang mengalir. 



Haiwan air (laut) yang keluar darah dari tubuhnya secara banyak tidak najis kerana ikan itu hukumnya tidak najis walaupun sudah mati. Sedangkan darah yang mengalir dari tubuh muslim yang mati syahid tidak termasuk najis.

c. Air Kencing Manusia, Muntah dan Kotorannya. 
Kenajisan ketiga benda ini telah disepakati oleh para ulama kecuali bila muntah dalam jumlah yang sangat sedikit dan juga air kencing bayi laki-laki yang belum makan apapun kecuali susu ibunya. 

Dalilnya adalah hadis berikut :-

1) Dari Ummi Qais radhiyallahu 'anhu bahawa dia datang kepada Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam dengan membawa anak lelakinya yang belum boleh makan. Bayi itu lalu kencing lantas Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam meminta diambilkan air dan beliau memercikkannya tanpa mencucinya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)


2) Dari Ali bin Abi Talib karramallahu wajhahu bahawa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Kencing bayi lelaki itu cukup dengan memercikkanya sahaja sedangkan kencing bayi wanita harus dicuci". Qatadah berkata : "Dan ini bila belum makan apa-apa, tapi bila sudah makan makanan, maka harus dicuci". [Riwayat At-Tirmizi dan beliau menshahihkannya] (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah, At-Tirmizi dan Imam Ahmad)


d. Nanah
Nanah adalah najis dan bila seseorang terkena nanah dan harus dicuci bekas nanahnya sebelum boleh melakukan ibadah yang mensyaratkan kesucian (wudhu` atau mandi).



e. Mazi dan Wadi
Mazi adalah cairan kental yang keluar akibat percumbuan atau khayalan imaginasi, keluar dari kemaluan lelaki biasa. Mazi itu pekat dan biasa keluar sebelum air mani keluar. Keluarnya tidak deras/tidak memancar. Mazi berbeza dengan mani iaitu bahawa keluarnya mani diiringi dengan lazzah atau kenikmatan (ejakulasi/orgasme) sedangkan mazi tidak.

Wadi adalah cairan yang kental berwarna putih yang keluar akibat kesan dari air kencing.


f. Bangkai Haiwan
Haiwan yang mati menjadi bangkai hukumnya najis sehingga badan, pakaian atau tempat solat yang terkena bangkai haiwan harus disucikan. Untuk mensucikannya boleh dilakukan dengan mencucinya dengan air hingga hilang bau, warna dan rasanya. 



Dalam Al-Quran, Allah 'Azza Wa Jalla berfirman tentang hukum bangkai :-


A173

Mafhum : "Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah Al-Baqarah, ayat 173]

g. Daging dan Susu Haiwan Yang Haram Dimakan Dagingnya
Para ulama sepakat mengatakan bahawa susu haiwan itu haram selama dagingnya haram. Misalnya, susu anjing itu hukumnya haram kerana daging anjing juga haram. Demikian juga susu haiwan buas (haiwan pemangsa) lainnya, susunya menjadi haram lantaran dagingnya haram dimakan.


h. Potongan Tubuh Dari Haiwan Yang Masih Hidup
Anggota tubuh haiwan yang terlepas atau terpotong dari tubuhnya termasuk benda najis dan haram hukumnya untuk dimakan.


A003

Mafhum : "Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" [Surah Al-Maaidah, ayat 3]


BENDA YANG TIDAK DISEPAKATI KENAJISANNYA OLEH 'ULAMA FEQAH

a. Khamar [Arak]
Walaupun jumhur 'ulama Feqah mengatakan bahawa khamar itu hukumnya najis, namun ada sebahagian dari mereka yang mengatakan khamar bukan termasuk najis. Istilah najis yang ada dalam ayat Al-Quran tentang khamar bukanlah bermakna najis hakiki melainkan najis secara maknawi.




A090

Mafhum : "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya" [Surah Al-Maaidah, ayat 90]


JENAMA ARAK YANG DIKENALI DI PASARAN MALAYSIA

1) Jolly Shandy
2) Carlsberg sama Carlsberg Green, Carlsberg Gold dan Carlsberg Special Brew
3) Skol samada Skol biasa dan Super Skol
4) Guinness samada Guinness biasa dan Guinness Royal Stout
5) Tuborg samada Tuborg biasa dan Super Tuborg
6) Asahi
7) Tiger Beer
8) Corona
9) Grape Wine samada Cabernet, Shiraz, Merlot, Sauvignon dan lain-lain
11) Malta [dihasilkan oleh syarikat Carlsberg] 

P/S : Malta menjadi minuman kegemaran biasa sebahagian rakyat Malaysia kerana mudah didapati di kedai serbaneka 7-Eleven [mungkin sudah tahu tetapi masih teruskan meminumnya kerana kebiasaan]

b. Anjing
Sebahagian 'ulama Feqah menghukumi anjing sebagai haiwan yang najis berat (mughallazhah) bukan hanya air liurnya saja tetapi juga seluruh tubuhnya. Namun ada sebahagian 'ulama Feqah yang tidak menghukumi najis anjing pada badannya kecuali hanya air liurnya saja dikira sebagai najis berat.




Lebih dalam tentang bagaimana perbezaan pendapat di kalangan ulama tentang kenajisan anjing ini, kita bedah satu persatu sesuai dengan yang terdapat dalam kitab-kitab Feqah rujukan utama.
  1. Mazhab Al-Hanafiyah
    Dalam mazhab ini, yang najis dari anjing hanyalah air liurnya, mulutnya dan kotorannya sedangkan tubuh dan bahagian lainnya tidak dianggap najis. Kedudukannya sebagaimana haiwan yang lainnya, bahkan umumnya anjing bermanfaat banyak buat manusia contohnya sebagai haiwan penjaga ataupun haiwan untuk berburu. Mengapa demikian ?

    Sebab dalam hadis berkenaan najisnya anjing, yang ditetapkan sebagai najis hanya bila anjing itu minum di suatu wadah air. Maka hanya bahagian mulut dan air liurnya sahaja (termasuk kotorannya) yang dianggap najis.

    1) Dari Abi Hurairah ra bahwa Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Bila anjing minum dari wadah air milikmu, harus dicuci tujuh kali" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

    2) Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam bersabda : "Sucinya wadah minummu yang telah diminum anjing adalah dengan mencucinya tujuh kali dan salah satunya dengan tanah" (Riwayat Muslim dan Imam Ahmad)

    Lihat kitab Fathul Qadir jilid 1 halaman 64, kitab Al-Badai` jilid 1 halaman 63.

  2. Mazhab Al-Malikiyah
    Mazhab ini juga mengatakan bahawa badan anjing itu tidak najis kecuali hanya air liurnya saja. Bila air liur anjing jatuh masuk ke dalam wadah air, wajiblah dicuci tujuh kali sebagai bentuk penyuciannya.

    Silakan periksa kitab Asy-Syarhul Kabir jilid 1 halaman 83 dan As-Syarhus-Shaghir jilid 1 halaman 43.

  3. Mazhab As-Syafi`iyah dan Al-Hanabilah
    Kedua mazhab ini bersepakat mengatakan bahawa bukan hanya air liurnya saja yang najis, tetapi seluruh tubuh anjing itu hukumnya najis berat, termasuk keringat peluhnya. Bahkan haiwan lain yang kahwin dengan anjing pun ikut hukum yang sama pula. Dan untuk menyucikannya harus dengan mencuci tujuh kali dan salah satunya dengan tanah.

    Logik yang digunakan oleh mazhab ini adalah tidak mungkin kita mengatakan bahawa yang najis dari anjing hanya mulut dan air liurnya saja sebab sumber air liur itu dari badannya. Maka, badannya itu juga merupakan sumber najis termasuk air yang keluar dari tubuh itu juga baik kencing, kotoran dan juga keringatnya.

    Pendapat tentang najisnya seluruh tubuh anjing ini juga dikuatkan dengan hadis lainnya antara lain :

    Bahawa Rasululah shollallahu 'alaihi wa sallam diundang masuk ke rumah salah seorang kaum dan beliau mendatangi undangan itu. Di kala lainya, kaum yang lain mengundangnya dan beliau tidak mendatanginya. Ketika ditanyakan kepada beliau apa sebabnya beliau tidak mendatangi undangan yang kedua, beliau bersabda : "Di rumah yang kedua ada anjing sedangkan di rumah yang pertama hanya ada kucing. Dan kucing itu itu tidak najis" (Riwayat Al-Hakim dan Ad-Daruquthuny).

    Dari hadis ini difahami bahawa kucing itu tidak najis sedangkan anjing itu najis.

    Lihat kitab Mughni Al-Muhtaj jilid 1 halaman 78, kitab Kasy-syaaf Al-Qanna` jilid 1 halaman 208 dan kitab Al-Mughni jilid 1 halaman 52.
Dan masih banyak lagi benda-benda yang kenajiasannya tidak disepakati para ulama. Contohnya, bangkai haiwan air atau tidak mempunyai darah, potongan tubuh haiwan yang tidak punya darah, kulit bangkai, air kencing bayi, air kencing dan susu haiwan yang halal dagingnya, air mani (sperma), mayat manusia, air liur orang yang tidur, dan seterusnya.

c. Mani

Air mani yang keluar dari kemaluan seseorang sesungguhnya bukan benda najis. Air mani adalah satu pengecualian dari ketentuan bahwa segala benda yang keluar lewat kemaluan hukumnya najis. Baik berbentuk padat, cair atau gas.

Air kencing, mazi, wadi, darah, nanah, batu dan semua yang keluar lewat kemaluan ditetapkan para ulama sebagai benda najis. Kecuali air mani, hukumnya bukan najis.

Dalil dari tidak najisnya air mani ada banyak, di antaranya adalah hadis berikut ini :

Dari Aisyah radhiyallahu 'anha berkata : "Aku mengikis kesan air mani dari pakaian Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam dan beliau memakainya untuk solat. Dalam riwayat lain disebutkan : "Aku menggaruk dengan kuku akan mani yang kering dari pakaian beliau" (Riwayat Muslim)

Dengan hadis ini, 'ulama Feqah umumnya mengatakan bahawa air mani itu tidak najis. Tindakan 'Aisyah isteri Rasulullah mengikis atau menggaruk dengan kuku akan sisa mani yang sudah mengering di pakaian beliau menunjukkan bahawa air mani tidak najis sebab kalau najis, maka seharusnya Aisyah radhiyallahu 'anha mencucinya dengan air hingga hilang warna, aroma atau rasanya.

Tindakan Aisyah menurut sebagian ulama dilatarbelakangi dengan rasa malu beliau melihat Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam iaitu suaminya, bersolat dengan pakaian yang berkesan sisa mani. Maka, dikikisnya setelah kering agar tidak terlihat nyata meskipun sesungguhnya tetap masih ada sisa mani kering yang menempel.

Namun sebagian kecil 'ulama Feqah memang ada yang mengatakan bahawa air mani itu najis contohnya pendapat Al-Hanafiyah, Malik, Ahmad pada sebahagian riwayat dan Al-Hadawiyah. 

Di antara dasar yang melandaskan pendapat mereka adalah hadis berikut ini :-

'Aisyah radhiyallahu 'anha mengatakan : "Biasanya Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam mencuci mani kemudian pergi solat memakai sarung itu dan saya melihat bekas cucian sarung itu" (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tindakan Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam mencuci bekas mani di pakaiannya menunjukkan bahawa mani itu najis.

Namun pendapat ini dibantah oleh 'ulama Feqah yang mengatakan bahawa air mani tidak najis dengan beberapa jawapan. Antara lain :-
  1. Hadis ini meskipun secara riwayatnya shahih, namun tidak menunjukkan kewajipan untuk mencuci bekas mani yang menempel di pakaian tetapi hanya menunjukkan keutamaan untuk mencucinya dan hukumnya hanya sunnah.
  2. Kalau ada beberapa hadis yang bertentangan secara zahir padahal masing-masing ada sandaran yang kuat, maka sebelum menafikan salah satunya harus dicarikan dahulu kesesuaian antara dalil-dalil itu dan menyimpulkan bahawa mani tidak najis adalah bentuk kompromi atas semua dalil yang ada. Tindakan Rasulullah shollallahu 'alaihi wa sallam yang mencuci bekas mani harus difahami bukan sebagai keharusan melainkan kewajipan dan kesunnahan.
  3. Meskipun mazhab Al-Hanafiyah mengatakan bahawa air mani itu najis namun mereka berpendapat untuk mensucikan bekas mani cukup dengan mengikisnya setelah kering, tidak perlu dicuci.


NAJIS-NAJIS YANG DIMAAFKAN


Najis-najis yang dimaafkan adalah benda yang pada hakikatnya najis atau terkena najis, namun kerana kadarnya sangat sedikit/kecil sehingga dimaafkan. 

Mengatakan bahawa termasuk ke dalam najis yang dimaafkan adalah najis yang padat (bukan cair) yang hanya sedikit sekali iaitu hanya selebar wang dirham (3.17 gram) atau setara 20 qirath. Sedangkan untuk najis yang berbentuk cair cuma seluas lebar tapak tangan saja. 

Namun dalam pandangan mereka, meskipun najis itu dimaafkan tetap haram melakukan solat bila badan, pakaian atau tempatnya terkena najis yang dimaafkan.

a. Mazhab Hanafiyah
Mereka juga mengatakan bahawa yang termasuk najis yang dimaafkan adalah beberapa titis air kencing kucing atau tikus yang jatuh ke dalam makanan atau pakaian kerana darurat dan juga akibat percikan najis yang tak terlihat oleh mata zahir.

b. Mazhab Malikikiyyah 
Mengatakan bahawa yang termasuk najis yang dimaafkan adalah darah manusia atau haiwan darat yang sangat sedikit jumlahnya juga nanah dan muntah yang sedikit iaitu kira-kira selebar titik hitam pada wang dirham samada najis itu berasal dari dirinya atau dari orang lain, termasuk dari haiwan bahkan termasuk darah dari babi.

Juga air kencing yang sedikit sekali yang keluar tanpa mampu dijaga kerana penyakit, termasuk di dalamnya adalah air mazi, mani dan yang keluar dari kemaluan. Air kencing anak kecil dan kotorannya buat ibu yang sedang menyusuinya kerana nyaris mustahil tidak terkena sama sekali dari najis yang mungkin hanya berupa percikan atau sisa-sisa yang tak nampak.

c. Mazhab Syafi`iyyah dan Hanbaliyyah 
Dalam masalah najis yang dimaafkan ini nampak lebih keras sebab yang dimaafkan bagi mereka hanyalah yang tidak nampak di mata saja atau darah nyamuk, kutu, bangsat dan serangga lain yang tidak punya darah cair juga sisa bekas berbekam (hijamah), bekas lalat, dan lainnya.
CARA MENYUCIKAN NAJIS
Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak.


Cara menyucikan najis hakikiy pula adalah seperti berikut :- 

1. Najis mughallazah (berat)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).
2. Najis mutawassithah (pertengahan)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

3. Najis mukhaffafah (ringan)
Hendaklah dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.

Untuk menyucikan najis hukmiy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.

Selasa, 10 Julai 2012

Budaya "Memandu Sambil Leka"

GELAGAT UMUM PENGGUNA JALANRAYA ZAMAN SEKARANG

Kita sering melakukan perkara-perkara ini di jalanraya/lebuhraya :-
  • Pandu melebihi had laju [macam nak terbang lajunya]

  • Pandu melulu dan terhoyong-hayang ke kanan dan ke kiri [stail orang mabuk]
  • Memarahi/memaki hamun pemandu lain yang "mencium" belakang kenderaan kita [tunjuk lagak "besar" kononnya kaki pukul]
    
           [Sekadar contoh sahaja untuk menunjukkan sebab]
  • Pandu dengan menggunakan telefon selular [handphone]


    
  • Masuk simpang dengan "niat" [tak beri isyarat masuk simpang]
  • Brek mengejut [tetibe...]
  • Jenguk orang kemalangan sedangkan tengah memandu [biasanya trafik jadi sesak sebab ini]

  • Tidak beri laluan kepada ambulans, kereta bomba dan sebagainya ketika berada di simpang lampu trafik [ramai tunggu lampu hijau]
  • Menunggang secara beramai-ramai [konvoi] dan menghalang kenderaan lain untuk memotong [Mat Rempit biasa buat begitu]


    
  • Memandu terlalu rapat di belakang lori atau bas demi "semangat membara" untuk memotong kenderaan [dipanggil "cucuk angin" atau istilah drafting]
    

  • Berkonvoi terlalu panjang [3-4 buah lori treler @ bas @ lori pasir]
    
  • Memandu di lorong kanan lebuhraya secara perlahan [orang angau mabok bercinta memang begitu]
    
  • Teragak-agak memandu keluar/masuk simpang pada waktu kesesakan lalu lintas [lambat cucuk] 

  • Melanggar isyarat lampu merah [alasan kenderaan tiada ketika itu]

  • Bersaing untuk berlumba-lumba sesama kenderaan [jiwa rasa cepat "panas" bila dengar deruman enjin kereta turbo lain]
  • Memomok "bunyi" kenderaan polis, ambulan, kereta bomba, dan sebagainya [bunyi hon unik]
  • Sanggup berundur/ patah balik jika ternampak sekatan jalanraya JPJ/Polis di hadapan [tak sanggup kena tahan] 


  • Meletak kenderaan ikut "sedap rasa" [atas pembahagi jalan pun boleh]
  • Memasang lampu pada pengcahayaan tinggi ketika waktu malam [alasan lampu rosak atau sengaja tayang lampu Neon putihnya]
  • Pandu kereta sambil pegang anak [bahaya sangat tu...]
Walau apapun jenis lagak pemandu, ada sesuatu yang jarang mereka lakukan semasa di dalam perjalanan... (^_^)
  • Singgah ke masjid/surau di mana-mana perhentian lebuhraya mahupun kampung yang dilaluinya ketika masuknya waktu solat fardhu [alasan kejar masa walaupun tak penting tujuannya]
   
  • Berhenti rehat sebentar setelah lebih 2 jam memandu/menunggang kenderaan [alasan kejar masa juga atau "tak hero la asyik berhenti je" katanya]
   
  • Solat dalam kenderaan jika berlakunya kesesakan lalulintas [alasannya, ramai yang tak tahu cara solat dalam kenderaan dan wajib qadha' solat setelah sampai ke destinasi yang dituju]
   

Renungilah firman Allah 'Azza Wa Jalla :-

A195

Mafhum : "Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya" [Surah Al-Baqarah, ayat 195]

A131

Mafhum : "Yang demikian (kedatangan Rasul-rasul itu ialah), kerana Tuhanmu tidak membinasakan negeri-negeri secara zalim sedangkan penduduknya leka lalai" [Surah Al-An'aam, ayat 131]


P/S : Bulan Ramadhan 1432 Hijriyyah menghampiri, usah pandu ikut suka hati ye...kata nak balik kampung kan kan... ;-D

Khamis, 3 Mei 2012

Pesanan Imam Syafi'ie Untuk Menempuh Jalan Kehidupan Abadi


Gambaran wajah Imam Syafi'ie



Maqam Imam Syafi'ie di Qaherah, Mesir


Musnad Imam Syafi'i jilid 1 yang disusun oleh Muhammad Sayyid Al-Lihan dan hayat Syaiban Al-Ladaqi menguraikan "7 Hikmah dan Kata-kata Bijak Imam Syafi’ie" :
  1. Menuntut 'ilmu lebih utama daripada solat sunat.
  2. Barangsiapa menginginkan dunia, ia harus berbekal 'ilmu dan barangsiapa menginginkan akhirat, juga harus berbekal 'ilmu.
  3. Tidak ada amalan yang lebih afdhal setelah melaksanakan kewajiban daripada menuntut 'ilmu.
  4. Seseorang tidak akan berjaya menuntut 'ilmu yang didasari kekuasaan dan kebanggaan, namun ia hanya akan berjaya menuntutnya dengan usaha keras, himpitan hidup, mengabdi kepada ilmu dan bersikap kerendahan hati.
  5. Belajarlah sebelum memimpin kerana saat memimpin tidak ada lagi jalan untuk belajar.
  6. Barangsiapa menuntut 'ilmu, maka bersikap telitilah agar tidak mensia-siakan bahagian ilmu yang terkecil.
  7. Orang yang tidak mencintai 'ilmu tidak akan memperoleh kebaikan dan tidak memiliki hubungan dekat dengan 'ilmu itu sendiri dan pengetahuan.
MADAH BERHIKMAH IMAM SYAFI'IE

Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman 

Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang 



Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan 




Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang 



Aku melihat air menjadi rusak kerana diam tertahan 



Jika mengalir menjadi jernih, jika tidak, akan keruh menggenang 



Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa 



Anak panah jika tidak tinggalkan busur tak akan kena sasaran 



Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam 



Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang 



Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang 



Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan

(Imam Syafi'i)


WASIYYAT AQIDAH YANG DIPEGANG IMAM SYAFI'IE

Muhammad bin Ali bin Shabbah Al-Baldani berkata: 'Inilah wasiat Imam Syafi`i yang diberikan kepada para sahabatnya' : "Hendaklah Anda bersaksi bahwa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah Yang Maha Satu, yang tiada sekutu bagiNya. Dan sesungguhnya Muhammad bin Abdillah adalah hamba dan RasulNya. Kami tidak membezakan para rasul antara satu dengan yang lain. Sesungguhnya shalatku, ibadahku, hidup dan matiku hanya untuk Allah Subhanahu wa Ta`ala semata, Tuhan semesta alam yang tiada bersekutu dengan sesuatu pun. Untuk itulah aku diperintah, dan saya termasuk golongan orang yang menyerahkan diri kepadaNya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta`ala membangkitkan orang dari kubur dan sesungguhnya Syurga itu haq, Neraka itu haq, azab Neraka itu haq, Hisab itu haq dan timbangan amal serta titian Sirat itu haq dan benar adanya. Allah Subhanahu wa Ta`ala membalas hambaNya sesuai dengan amal perbuatannya. Di atas keyakinan ini aku hidup dan mati, dan dibangkitkan lagi InsyaAllah. Sesungguhnya Al-Qur`an itu adalah kalam Allah Subhanahu wa Ta`ala, bukan makhluk ciptaanNya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta`ala di hari akhir nanti akan dilihat oleh orang-orang Mukmin dengan mata telanjang, jelas, terang tanpa ada suatu penghalang, dan mereka mendengar firmanNya, sedangkan Dia berada di atas `Arasy. Sesungguhnya takdir, baik buruknya adalah berasal dari Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung. Tidak terjadi sesuatu kecuali apa yang Allah Subhanahu wa Ta`ala kehendaki dan Dia tetapkan dalam qadha` dan qadarNya.


Sesungguhnya sebaik-baik manusia setelah Baginda Rasullullah shallallahu `alaihi wa sallam adalah Abu Bakar, 'Umar, 'Utsman dan 'Ali radhiallahu`anhum. Aku mencintai dan setia kepada mereka, dan memohonkan ampun bagi mereka, bagi pengikut perang Jamal dan Syiffin, baik yang membunuh mahupun yang terbunuh, dan bagi segenap para Nabi. Kami setia kepada pemimpin negara Islam (yang berdasarkan Al-Qur`an dan As-Sunnah) selama mereka mendirikan solat. Tidak boleh membangkang serta memberontak mereka dengan senjata. Kekhilafahan (kepemimpinan) berada di tangan orang Quraisy. Dan sesungguhnya setiap yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya pun diharamkan. Dan nikah mut`ah adalah haram.



Aku berwasiat kepadamu dengan taqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala, konsisten dengan Sunnah dan Atsar dari Rasulullah shallallahu `alaihi wa sallam dan para sahabatnya. Tinggalkanlah bid`ah dan hawa nafsu. Bertaqwalah kepada Allah Subhanahu wa Ta`ala sejauh mana yang engkau mampu. Ikutilah solat Jum`at, solat berjama`ah dan solat sunnat (Rasullullah Shallallahu’alaihi wasallam). Berimanlah dan pelajarilah agama ini. Siapa yang mendatangiku di waktu ajalku tiba, maka bimbinglah aku membaca "Laailahaillallah Wahdahu laa syarikalahu wa anna Muhammadan `abduhu warasuuluh".



Di antara yang diriwayatkan Abu Tsaur dan Abu Syu`aib tentang wasiat Imam Syafi`i adalah: "Aku tidak mengkafirkan seseorang dari ahli tauhid dengan sebuah dosa, sekalipun mengerjakan dosa besar, aku serahkan mereka kepada Allah 'Azza Wa Jalla dan kepada takdir serta iradahNya, baik atau buruknya, dan keduanya adalah makhluk, diciptakan atas para hamba dari Allah Subhanahu wa Ta`ala. Siapa yang dikehendaki menjadi kafir, kafirlah dia, dan siapa yang dikehendakiNya menjadi Mukmin, Mukminlah dia. Tetapi Allah Subhanahu wa Ta`ala tidak redha dengan keburukan dan kejahatan dan tidak memerintahkan atau menyukainya. Dia memerintahkan ketaatan, mencintai dan meredhainya. Orang yang baik dari umat Muhammad shallallahu ’alaihi wasallam masuk Syurga bukan kerana kebaikannya (tetapi kerana rahmatNya). Dan orang jahat masuk Neraka bukan kerana kejahatannya semata-mata. Dia menciptakan makhluk berdasarkan kehendakNya, maka segala sesuatu dimudahkan bagi orang yang diperuntukkannya, sebagaimana yang terdapat dalam hadis (riwayat Bukhari, Muslim dan lainnya).



Aku mengakui hak pendahulu Islam yang soleh yang dipilih oleh Allah Subhanahu wa Ta`ala untuk menyertai NabiNya, mengambil keutamaannya. Aku menutup mulut dari apa yang terjadi di antara mereka, pertentangan ataupun peperangan baik besar mahupun kecil. Aku mendahulukan Abu Bakar, kemudian 'Umar, kemudian Utsman, kemudian 'Ali radhiallahu `anhum. Mereka adalah Khulafaa Ar-Raasyidin. Aku ikat hati dan lisanku bahawa Al-Qur`an adalah Kalamullah yang diturunkanNya, bukan makhluk yang diciptakan. Sedangkan mempermasalahkan lafaz (ucapan seseorang yang melafazkan Al-Qur`an, apakah makhluk atau bukan?) adalah bid`ah, begitu pula sikap tawaqquf (diam, tidak mahu mengatakan Al-Qur`an itu bukan makhluk, juga tidak mau mengatakan Al-Qur`an itu makhluk") adalah bid`ah. Iman adalah ucapan dan amalan yang mengalami pasang surut
(kitab Al-Amru bil Ittiba`, Imam Jalaluddin As-Suyuthi, halaman 152-154; ditahqiq oleh Mustofa Asyur; kitab Ijtima`ul Juyuusyil Islamiyah, Ibnul Qayyim Al-Jauziyyah, halaman 165).


10 WASIYYAT BERKENAAN HAK-HAK TERTENTU

Sebelum Imam Syafi'ie wafat, beliau sempat berpesan kepada muridnya serta umat islam umumnya. Berikut adalah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dlm keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan 10 perkara" :

■Hak kepada diri sendiri
  1. Kurangkan tidur
  2. Kurangkan makan
  3. Kurangkan berkata-kata 
  4. Berpada-pada dengan rezeki yang ada
■Hak kepada Malaikat Maut ['Izrail 'Alaihissalam]
  1. Menggantikan segala kewajipan yang tertinggal
  2. Mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi
  3. Membuat persediaan untuk mati kelak
  4. Merasa cinta kepada Allah 'Azza Wa Jalla
■Hak kepada kubur
  1. Membuang sikap suka menabur fitnah
  2. Membuang tabiat suka kencing merata-rata
  3. Memperbanyakkan solat tahajjud
  4. Membantu orang yang dizalimi
■Hak kepada Malaikat Munkar dan Nakir
  1. Tidak berdusta
  2. Berkata benar
  3. Meninggalkan maksiat
  4. Saling nasihat-menasihati
■Hak kepada Al-Mizan (neraca timbangan amalan pada hari kiamat)
  1. Menahan kemarahan
  2. Banyakkan berzikir
  3. Mengikhlaskan amalan
  4. Sanggup menahan kesulitan dan kesusahan
■Hak kepada As-Sirath (titian yg merintangi neraka pada hari kiamat)
  1. Membuang tabiat suka mengumpat
  2. Warak
  3. Suka membantu orang beriman
  4. Suka berjemaah
■Hak kepada Malik (malaikat penjaga neraka)
  1. Menangis lantaran takutkan Allah 'Azza Wa Jalla
  2. Berbuat baik kepada ibu bapa
  3. Bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi
  4. Memperelokkan akhlaq
■Hak kepada Ridhwan (malaikat penjaga syurga)
  1. Merasa redha kepada qadha’ Allah 'Azza Wa Jalla
  2. Bersabar menerima bala musibah
  3. Bersyukur di atas nikmat Allah 'Azza Wa Jalla
  4. Bertaubat dari melakukan maksiat
■Hak kepada Nabi Muhammad shollallahu 'alaihi wa sallam
  1. Berselawat ke atas baginda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam
  2. Berpegang dengan Syari'at
  3. Bergantung kepada As-Sunnah (hadis)
  4. Menyayangi para Sahabat Rasulullah
  5. Bersaing dalam mencari kelebihan dari Allah 'Azza Wa Jalla
■Hak kepada Allah 'Azza Wa Jalla
  1. Mengajak manusia ke arah kebaikan
  2. Mencegah manusia dari kemungkaran
  3. Menyukai keta'atan
  4. Membenci kemaksiatan

30 WASIYYAT BERKENAAN KEHIDUPAN
  • Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjaga dan membuat kamu cemerlang di dunia dan akhirat.
  • Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut dunia.
  • Pilihlah makanan yang halal kerana ia menjamin kesihatan dan menyebabkan syaitan gerun.
  • Sabar menghadapi musibah adalah sebesar-besar erti sabar di mana sabar itu sendiri memerlukan kesabaran pula. Bala dan musibah menunjukkan adanya perhatian dan kasih sayang Allah. Oleh itu, bersyukurlah kerana syukur yang sedemikian setinggi-tinggi erti syukur.
  • Apabila salah seorang antara kaum kerabat ataupun jiran dan saudara kamu sakit, kamu perlu ringankan langkah menziarahinya kerana ia disaksikan oleh malaikat dan dan dicintai Allah.
  • Marah adalah salah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindarilah ia supaya dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.
  • Kasihanilah anak yatim kerana Rasulullah juga tergolong sebagai anak yatim dan beliau akan bersama-sama dengan orang yang menyayangi dan mengasihi anak-anak yatim di akhirat.
  • Berbuat baik dan tunjukkan bakti kepada ibu bapa tanpa mengenali letihh dan lelah sebagaimana mereka berbuat begitu sepanjang hayat mereka. Ia dapat menambah keberkatan pada umur, menambah rezeki dan keampunan atas dosa-dosa kamu.
  • Banyakkanlah amal soleh kerana ia adalah pendinding dan perisai orang mukmin dan pelindung kepada serangan iblis.
  • Takwa adalah pakaian kebesaran dan hiasan akhlak Muslim sebenar. Ia ibarat pokok zaitun, minyaknya membawa berka, ia juga memberi kejayaan dan kemenangan.
  • Iman mempunyai bentengnya bagi menghalang segala serangan yang cuba merobohkannya. Oleh itu bagi menguatkan benteng iman, keimanan perlu dibajai dengan lima (5) perkara iaitu yaqin, ikhlas, mengerjakan amalan sunat, istiqamah, bertatasusila ataupu berdisiplin dalam mengerjakan ibadah.
  • Ingat dan zikir kepada Allah sebanyak-banyaknya kerana ia mengubati penyakit jasmani dan hati. Ia mencetuskan ketenangan hidup dan qanaah.
  • Khusyuk secara zahir adalah khusyuknya orang awam, khusyuk secara batin adalah khusyuknya orang pilihan di sisi Allah.
  • Kubur adalah perhentian sementara bagi membolehkan ke satu perhentian lagi yang penuh dengan soal siasat. Oleh itu, siapkanlah jawapan yang adil dan benar menerusi amal yang benar dan taat kepada al-haq yang tidak berbelah bagi.
  • Kita perlu sentiasa memohon perlindungan daripada Allah, sekurang-kurangnya dengan mengucapkan "A'uzubillahi minasy syaithonir rajim". Kita perlu bersabar sekiranya serangan syaitan datang juga bertalu-talu dengan hebat dan menyedari Allah taala hendak menguji keteguhan sabar kita, hendak melihat ketulenan jihad kita. Ketahuilah perang dengan syaitan itu lebih hebat daripada perang sabil.
  • Sebesar-besar keaiban (keburukan) adalah kamu mengira keburukan orang lain sedangkan keburukan itu terdapat dalam dirimu sendiri.
  • Hati adalah raja dalam diri. Oleh itu, luruskan dan betulkan ia supaya empayar kerajaan dirimu tegak di atas al-Haq yang tidak disertai oleh iringan-iringan pasukan kebatilan.
  • Ketahuilah istighfar yang diucapkan dengan betul mampu membuat Syaitan lari ketakutan dan menggoncang empayar Iblis di istana kerajaannya.
  • Ketahuilah sebesar-besar kesenangan di duna dan akhirat adalah memberi maaf kepada orang lain dan melupakan terus kesalahannya. Allah pasti akan meninggikan darjatnya di sisi manusia.
  • Tafakurlah sebelum tidur bagi menghisab diri atas salah dan silap semasa aktiviti pada siang hari sebagaimana 'Umar bin al-Khattab menyiasat dirinya dengan pelbagai soalan berkenaan dosa-dosanya pada siang hari.
  • Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana ia dapat menjagamu dan membuatmu cemerlang di dunia dan di akhirat. Ia juga amalan para nabi, rasul dan orang soleh.
  • Sesiapa yang mahu meninggalkan dunia dengan selamat, dia perlu mengamalkan perkara berikut iaitu mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan bercakap dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.
  • Kamu seorang manusia yang dijadikan daripada tanah dan kamu juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.
  • Sesiapa yang menjalin ukhuwwah [persaudaraan] dan menghidupkannya, dia memperoleh banyak kebaikan.
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan ditinggikan darjat dan diberi kemuliaan selagi mereka menunaikan perintah Allah.
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pertolongan Allah seperti dalam pernyataannya dalam surah Ar-Rum ayat 47 yang bermaksud :
A047
Mafhum : "Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu (wahai Muhammad) Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, lalu mereka membawa kepada kaumnya keterangan-keterangan yang jelas nyata; kemudian Kami menyeksa orang-orang yang berlaku salah (mengingkarinya); dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka pasti mendapat pembelaan kepada Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud :
A038
Mafhum : "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman dan bertakwa, Allah pasti menaikkan darjat mereka hingga ke taraf wali-wali Allah selagi memenuhi syarat-syaratnya seperti dalam pernyataannya dalam surah al-Baqarah ayat 257 yang bermaksud :
A257
Mafhum : "Allah Pelindung (Yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Ia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). Mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman akan memberi petunjuk dan jalan lurus sebagaimana pernyataan Allah dalam surah al-Hajj ayat 54 yang bermaksud :
A054
Mafhum : "Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya; dan sesungguhnya Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus"
  • Allah menjanjikan kepada orang yang beriman, mereka akan memperoleh rezeki yang baik dan pelbagai keberkatan selagi mereka menunaikan perintah Allah sebagaimana pernyataannya dalam surah al-A'raaf ayat 96 yang bermaksud :
A096
Mafhum : "Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan"

SYA'IR IMAM SYAFI'IY
Mafhum :-

Telah aku [Imam Syafi'iy] adukan kepada Waki' [guru Imam Syafi'iy] akan cacatnya hafazanku... 

Maka ditunjukinya kepadaku agar meninggalkan segala kemaksiatan...

Dan telah beliau nyatakan "Sesungguhnya 'ilmu itu cahaya...

Dan cahaya Allah itu tiada memberi petunjuk kepada si pelaku maksiat"...


WASIYYAT PERKARA KESIHATAN ZAHIR DAN BATIN



Empat (4) perkara menguatkan sistem badan :-
  1. Memakan daging
  2. Memakai wangian harum
  3. Kerap mandi
  4. Memakai pakaian dari tenunan kapas
Empat (4) perkara melemahkan sistem badan :-
  1. Banyak berkelamin (bersetubuh)
  2. Selalu merasa gelisah dan cemas
  3. Banyak meminum air ketika makan [selang-seli makanan dan air]
  4. Banyak memakan bahan-bahan yang masam
Empat (4) perkara menajamkan pandangan mata :-
  1. Duduk mengadap arah Qiblat
  2. Memakai celak mata sebelum tidur
  3. Memandang segala benda yang hijau
  4. Memakai pakaian yang bersih
Empat (4) perkara merosakkan pandangan mata :-
  1. Memandang/melihat najis atau benda-benda kotor
  2. Melihat orang mati dibunuh
  3. Melihat kepada organ kemaluan sendiri atau kemaluan orang lain
  4. Duduk membelakangi arah Qiblat
Empat (4) perkara menajamkan aqal fikiran :-
  1. Tidak banyak berbual kosong [berbicara perkara bermanfa'at]
  2. Rajin bersugi (membersihkan gigi)
  3. Berbicara dengan orang-orang yang Soleh
  4. Bergaul mesra dengan para 'Ulama
Empat (4) jenis tidur manusia :-
  • Tidurnya ibarat tidur para Nabi dan Rasul

Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan bumi.
  • Tidurnya ibarat tidur para 'ulama dan ahli 'ibadah
Mengiring sebelah lambung kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat malam.
  • Tidurnya ibarat tidur para Raja yang tamak
Mengiring sebelah lambung kiri untuk mencernakan makanan yang banyak dimakan.
  • Tidurnya ibarat tidur para Syaitan
Menelungkup/meniarap seperti tidurnya ahli neraka.


Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger