Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakaatuh,
14) Selesai bertamu, pulanglah dengan hati yang lapang dan maafkanlah segala kekurangan yang mungkin ada dari layanan yang ditunjukkan oleh pihak tuan rumah serta tunjukkanlah adab yang mulia dengan berterima kasih atas undangan yang diterimanya.
Hampir berangkat Ramadhan yang diberkati sehinggakan suasana 'Aidilfitri jelas dirasakan di segenap pelusuk tempat serta sangat dinanti-nantikan oleh pelbagai golongan tua dan muda bagi meraikannya dengan keluarga dan rakan-rakan tercinta.
Pun begitu, semestinya tradisi berkunjung ke rumah terbuka a.k.a open house menjadi adat kebiasaan budaya 'Aidilfitri di Malaysia hinggakan ia menjadi suatu kemestian bagi mereka yang tidak dapat pulang beraya di kampung halaman khususnya perantau di tanah orang ataupun di negara asing.
Tuan rumah telah berusaha bertungkus-lumus bagi menyiapkan hidangan santapan pagi 'Aidilfitri berupa ketupat, lemang, pulut, kuih Almond London, kuih Tart Nenas, kuih Makmor, kuih Mazola, kuih-muih yang beraneka nama dan jenisnya, serta bermacam-macam juadah enak pembuka selera yang pastinya bakal dihabiskan oleh tetamu yang sudi berziarah ke teratak indah mereka.
Segan atau tidak, tetamu yang berpakaian indah berwarna-warni pasti ceria dengan sekian layanan mesra dari tuan rumah dan bertambah erat perkenalan bagi mereka yang baru bertemu dan bersapa mesra bagi mereka yang telah lama terpisah dek jarak dan masa. Tidak dilupa, "token" bagi si pengunjung cilik berupa sampul berisi duit demi meraikan kemeriahan ziarah oleh golongan lebih muda di pagi 'Aidilfitri.
Walaupun berziarah ini menjadi budaya di 'Aidilfitri, semestinya meneruskan keberkatan Ramadhan yang berlalu dengan memenuhi adab-adab berziarah dan bertetamu yang pastinya menambahkan lagi berkat kunjungan ke rumah orang.
Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya ada seorang lelaki berziarah kepada seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang Malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah Malaikat kepadanya: "Ke mana engkau hendak pergi?" Orang itu menjawab: "Saya hendak pergi ke tempat seorang saudaraku di desa ini." Malaikat bertanya lagi: "Adakah suatu kenikmatan yang hendak kau perolehi dari saudaramu itu?" Ia menjawab: "Tidak, hanya saja saya mencintainya kerana Allah." Malaikat lalu berkata: "Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk menemuimu - guna memberitahukan - bahawa sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah." (Riwayat Muslim)
Sangat dituntut dan digalakkan untuk menziarahi saudara-mara dan sahabat-handai serta rakan-taulan tidak hanya di pagi 'Aidilfitri malahan pada setiap hari serta waktu-waktu yang sesuai mengikut keperluan yang utama kebiasaannya ketika ditimpa musibah bala bencana, undangan pernikahan serta gotong-royong beramai-ramai ketika kenduri.
ADAB-ADAB BAGI PIHAK TUAN RUMAH
1) Mengundang orang-orang yang Soleh, bukan orang-orang yang Fasiq [sewenang-wenang bermaksiat].
2) Menjemput orang tidak kira statusnya orang kaya mahupun orang fakir miskin.
3) Tidak mengundang orang yang diketahui menyusahkan pihak tuan rumah sekiranya dijemput hadir.
4) Sunnah mengucap selamat datang kepada tetamu yang sudi hadir memenuhi undangannya.
5) Menjamu tetamu semampunya yang ada. Jika lebih, jamu tetamu mengikut kadarnya.
6) Jamuan yang disediakan pihak tuan rumah bukan atas tujuan untuk menunjuk-nunjuk kekayaannya malahan bersederhana.
7) Berniat untuk menggembirakan para tetamu yang dilayaninya semata-mata kerana Allah.
8) Sekiranya para tetamu dalam keadaan duduk, pihak tuan rumah hendaklah menjamu tetamu bermula dari sebelah kanan hinggalah ke sebelah kiri.
9) Mendahulukan tetamu yang lebih tua kemudian barulah tetamu yang lebih muda.
10) Tidak mengangkat hidangan sehinggalah para tetamu selesai bersantap hidangannya.
11) Berbual-bual mesra dengan perbualan yang disenangi oleh para tetamu serta bermanis muka ceria ketika melayani mereka.
12) Menyorong hidangan supaya dekat dengan para tetamu yang bersantap hidangannya.
13) Lekas menghidangkan santapan hidangan sebagai penghormatan kepada para tetamu yang hadir.
14) Tidak membiarkan para tetamu kelaparan dan pulang dalam kehampaan.
15) Jika para tetamu mahu bermalam, pihak tuan rumah boleh menjamu mereka selama 3 hari.
16) Menghantar para tetamu pulang sehingga ke muka pintu.
ADAB-ADAB BAGI PIHAK TETAMU
1) Wajib memenuhi undangan melainkan ditimpa keuzuran seperti adanya halangan di pertengahan jalan mahupun dibimbangi tugas kerjaya akan tergendala sekiranya hadir.
2) Tidak membeza-bezakan undangan dari orang kaya mahupun orang fakir miskin.
3) Berniat menghormati undangan semata-mata kerana Allah dan memuliakan pihak pengundang.
4) Masuk dan keluar rumah dengan keizinan dari pihak tuan rumah. Tidak masuk dan keluar sesuka hati.
5) Sekiranya berpuasa contohnya berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawwal, sunnah memenuhi undangan juga sebagai membahagiakan pihak tuan rumah.
6) Memohon izin untuk bersantap hidangan yang disediakan oleh pihak tuan rumah.
7) Tidak memandang lihat ke arah kawasan laluan perempuan yang dikhaskan oleh pihak tuan rumah.
8) Tidak beralih tempat duduk yang disediakan untuknya oleh pihak tuan rumah melainkan mendapat izin.
9) Tidak melirik mata ke arah muka orang yang sedang bersantap hidangan.
10) Tidak menyusahkan pihak tuan rumah dengan gelagat tingkah lakunya.
11) Digalakkan membawa sedikit hadiah untuk tuan rumah bagi mengeratkan hubungan persaudaraan.
12) Sekiranya mahu hadir bersama dengan orang yang tidak diundang, haruslah memaklumkan dan memohon izin dari tuan rumah.
13) Mendoakan tuan rumah yang bersusah-payah menjamu tetamu dengan doa :-
أَفْطَرَ عِنْدَكُمُ الصَّائِمُوْنَ, وَأَكَلَ طَعَامَكُمُ اْلأَبْرَارَ,وَصَلَّتْ عَلَيْكُمُ اْلمَلاَئِكَةُ
Maksud : "Orang-orang yang puasa telah berbuka di samping kalian. Orang-orang yang baik telah memakan makanan kalian. semoga malaikat mendoakan kalian semuanya.” (Riwayat Abu Daud)
atau,
اَللّهُـمَّ أَطْعِمْ مَنْ أَطْعَمَنِي, وَاْسقِ مَنْ سَقَانِي
Maksud : "Ya Allah berikanlah makanan kepada orang telah yang memberikan makanan kepadaku dan berikanlah minuman kepada orang yang telah memberiku minuman.” (Riwayat Muslim)
ataupun,
اَللّهُـمَّ اغْـفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ وَبَارِكْ لَهُمْ فِيْمَا رَزَقْتَهُمْ
Maksud : "Ya Allah ampuni dosa mereka dan kasihanilah mereka serta berkahilah rezeki mereka.” (Riwayat Muslim)