Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Isnin, 1 April 2013

Biodata Uwais Al-Qarny : Penghuni Langit Dikagumi Rasulullah

[sekadar hiasan]


Nama : Uwais bin 'Amar Muradi Al-Qarny ( أويس القرني )

Nama Timangan : Abu 'Amru


Asal : Qarn, negeri Yaman

Masuk Islam Ketika : Era Rasulullah masih hidup

Tinggal Bersama : Seorang ibu yang sudah tua lagi lumpuh

Pekerjaan : Pengembala kambing

Wafat : Syahid pada tahun 657 Masihi, ketika menyertai pasukan Sayyidina 'Ali dalam peperangan Shiffin

Dimaqamkan : Dalam daerah Baykan, Turki sekarang

Bentuk Fizikal :-
  1. Mata biru
  2. Rambut merah
  3. Pundak bahu panjang dan lapang
  4. Kulit hampir sawo matang
  5. Ada tompok putih di bawah bahu kiri, kesan dari penyakit
Peribadi :-
  1. Penampilan tampan
  2. Tangan kanan sentiasa memaut pada tangan kiri
  3. Dagu menempel ke dada kerana sentiasa melihat arah tempat sujud
  4. Ahli dalam pembacaan Al-Qur'an
  5. Sering menangisi dirinya
  6. Disangka gila oleh keluarganya
  7. Pakaiannya cuma 2 helai, 1 helai penutup badan dan 1 helai selendang
  8. Tiada orang menghiraukan kehadirannya
  9. Tidak terkenal di kalangan manusia tapi sangat masyhur di langit
WASIAT RASULULLAH BERKENAAN UWAIS AL-QARNY
"Akan datang kepada kalian Uwais bin ‘Amar bersama pasukan bantuan daripada Yaman(Dia) daripada Murad, kemudian daripada Qarn. Dia dahulunya memiliki penyakit belang lalu telah sembuh daripadanya kecuali satu bahagian sebesar satu dirham. Dia memiliki seorang ibu yang dia selalu berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah dengan nama Allah, nescaya Allah akan memakbulkan sumpahnya itu. Jika kamu mampu memintanya memohon ampun untuk kamu, maka lakukanlah." [Shahih Muslim, kitab Keutamaan Para Sahabat pada bab Keutamaan Uwais Al-Qarny]

Dalam sebuah Hadis Qudsi yang direkodkan oleh Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu ​​dengannya Nabi Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam berkata firman dari Tuhannya :-

"Allah, Maha Besar dan Maha Kuasa Dia, suka ciptaan-Nya-orang yang bertakwa, tulen di dalam hati, mereka yang tersembunyi, dan mereka yang tidak bersalah, yang muka berdebu, yang rambut kusut, yang perut kosong, yang mana jika dia meminta kebenaran untuk masuk menemui raja-raja, tidak ditunaikan. Dan jika dia meminta seorang wanita yang sopan untuk dinikahi, dia akan ditolak. Dan apabila dia meninggalkan dunia, ia tidak diingati. Dan jika dia pergi keluar, keluar beliau akan tiada sesiapa perasan. Dan jika dia jatuh sakit, dia tidak diziarahi dan jika dia mati, dia tidak diiringi ke kuburnya. "

Mereka bertanya : "Wahai Rasulullah, bagaimana kita boleh mencari seseorang seperti itu?" Baginda bersabda : "Uwais al-Qarny adalah salah seorang seperti itu" Mereka bertanya kepadanya : "Siapa dia Uwais al-Qarny?" Baginda bersabda : "Dia adalah berkulit gelap, bahu luas, dan berketinggian sederhana. Warna kulit beliau adalah dekat kepada warna bumi [sawo matang]. Janggut beliau menyentuh dadanya. Matanya sentiasa melihat bawah ke tempat sujud, dan tangan kanannya pada tangan kirinya. Beliau menangis tentang dirinya dengan aliran air mata hinggakan bibirnya bengkak. Beliau memakai pakaian bulu dan dikenali oleh orang-orang langit. Jika dia membuat janji dalam nama Allah, dia menyimpannya. Bawah bahu kirinya terdapat tempat putih. Apabila Hari kiamat datang dan ia diumumkan kepada hamba : "Masuklah ke dalam Syurga" Ia akan berkata kepada Uwais : "Berhenti dan mohonlah syafaat" Allah Maha Kuasa dan Maha Suci Allah, maka Allah akan mengampunkan mereka sebanyak seperti orang-orang dari qabilah Rabi'ah dan Mudhar. (Ini adalah 2 puak yang Uwais berasal darinya). Jadi, wahai 'Umar dan 'Ali, jika kalian boleh mencari dia, minta dia syafaatkan untuk anda. Kemudian Allah akan mengampuni kamu."

KISAH PENCARIAN UWAIS AL-QARNY OLEH SAYYIDINA 'UMAR & SAYYIDINA 'ALI
Diceritakan ketika terjadi pertempuran Uhud, Rasulullah mendapat cedera dan giginya patah kerana dilempari batu oleh musuh-musuhnya. Khabar ini akhirnya terdengar oleh Uwais. Ia segera memukul giginya dengan batu hingga patah. Hal tersebut dilakukan sebagai bukti kecintaannya kepada Rasulullah, sekalipun ia belum pernah melihat Baginda. Hari silih berganti dan musim pun berlalu, kerinduan yang tak terbendung membuat hasrat untuk bertemu tidak dapat dipendamkan lagi. Uwais merenung diri dan bertanya dalam hati : Bilakah dapat menziarahi Nabinya dan memandang wajah beliau dari dekat?

Tapi, bukankah dia mempunyai ibu yang sangat memerlukan penjagaannya dan tak  betah ditingalkan sendiri. Hatinya selalu gelisah siang dan malam menahan kerinduan untuk berjumpa Rasulullah. Akhirnya, pada suatu hari Uwais mendekati ibunya dan mencurahkan isi hatinya serta memohon izin kepada ibunya agar diperkenankan menziarahi Rasulullah di Madinah. Si ibu, walaupun telah uzur, merasa terharu ketika mendengar permohonan anaknya.

Beliau memahami perasaan Uwais dan berkata : "Pergilah wahai anakku! Temuilah Nabi di rumahnya. Dan apabila telah berjumpa, segeralah engkau kembali pulang". Dengan perasaan gembira, ia berkemas untuk berangkat dan tidak lupa menyiapkan keperluan ibunya yang akan ditinggalkan serta berpesan kepada jiran tetangganya agar dapat menemani ibunya selama dia pergi.

Sesudah minta diri sambil menciumi ibunya, berangkatlah Uwais menuju Madinah yang terletak lebih kurang 400 kilometer dari Yaman. Medan yang begitu ganas dilaluinya, tidak peduli penyamun gurun pasir, bukit yang curam, padang pasir yang luas yang dapat menyesatkan dan begitu panas di siang hari, dan begitu sejuk di malam hari, semuanya dilalui demi bertemu dan dapat memandang sepuas-puasnya wajah baginda Rasulullah shollallahu 'alayhi wa sallam yang selama ini dirindukannya. 

Tibalah Uwais Al-Qarny di kota Madinah. Segera dia menuju ke rumah Rasulullah lantas diketuknya pintu rumah itu sambil mengucapkan salam. Keluarlah Sayyidah Fathimah binti Muhammad shollallahu 'alayhi wa sallam sambil menjawab salam Uwais.

Segera sahaja Uwais bertanyakan akan Rasulullah yang ingin dijumpainya. Ternyata Baginda  tidak berada di rumah tetapi berada di medan perang. Betapa kecewa hati si perindu, dari jauh ingin berjumpa tetapi yang dirindukannya tidak berada di rumah. Dalam hatinya bergolak perasaan ingin menunggu kedatangan Rasulullah dari medan perang.

Tapi, bilakah Baginda pulang? Sedangkan masih terngiang-ngiang di telinga pesanan ibunya yang sudah tua dan sakit-sakitan itu, agar ia segera pulang ke Yaman, "Engkau harus segera pulang".

Kerana ketaatan kepada ibunya, pesan ibunya tersebut telah mengalahkan suara hati dan kemahuannya untuk menunggu dan berjumpa dengan Rasulullah. Akhirnya dia dengan terpaksa mohon berundur diri kepada Sayyidah Fathimah untuk segera pulang ke negerinya. Dia hanya mengirimkan salamnya untuk Rasulullah dan melangkah pulang dengan perasaan sedih.

Sekembalinya dari medan perang, Rasulullah bertanyakan tentang kedatangan orang yang mencarinya. Rasulullah menjelaskan bahawa Uwais Al-Qarny adalah anak yang taat kepada ibunya. Beliau adalah penghuni langit (sangat terkenal di langit). Mendengar perkataan baginda Rasulullah, Sayyidatina Fathimah dan para sahabatnya terpegun. Menurut maklumat Sayyidah Fatimah, memang benar ada yang mencari Rasulullah dan segera pulang kembali ke Yaman, kerana ibunya sudah tua dan lumpuh sehingga ia tidak dapat meninggalkan ibunya terlalu lama.

Rasulullah bersabda : "Kalau kamu ingin berjumpa dengan dia (Uwais Al-Qarny), perhatikanlah, dia mempunyai tanda putih di tengah-tengah tapak tangannya." Sesudah itu beliau SAW, memandang kepada Sayyidina 'Ali bin Abi Talib as dan Sayyidina Umar bin Al-Khattab dan bersabda : "Suatu ketika kelak, apabila kalian bertemu dengan dia, mintalah do'a dan istighfarnya, dia adalah penghuni langit dan bukan penghuni bumi".

Tahun terus berlalu dan tak lama kemudian Rasulullah wafat sehingga kekhalifahan Abu Bakar telah berganti kepada kekhalifahan Sayyidina 'Umar bin Al-Khattab. Suatu ketika, Sayyidina 'Umar teringat akan sabdaan Rasulullah berkenaan Uwais al-Qarny. Beliau mengingatkan kepada  Sayyidina 'Ali untuk turut mencarinya bersama. Sejak itu, setiap ada qafilah yang datang dari Yaman, beliau berdua selalu menanyakan tentang Uwais al-Qarny, apakah dia turut datang bersama mereka.

Di antara qafilah-qafilah itu ada yang merasa kehairanan, apakah sebenarnya yang berlaku sampai Uwais dicari oleh mereka berdua. Rombongan qafilah dari Yaman menuju Syam silih berganti, membawa barang dagangan mereka.

Suatu ketika, Uwais Al-Qarny turut bersama rombongan qafilah menuju kota Madinah. Melihat ada rombongan qafilah yang datang dari Yaman, segera Sayyidina 'Umar bin Al-Khattab dan Sayyidina 'Ali mendatangi mereka dan bertanya apakah Uwais turut datang bersama mereka. Rombongan itu mengatakan bahawa dia ada bersama mereka dan sedang menjaga unta-unta mereka di sempadan kota Madinah. Mendengar jawapan itu, mereka berdua bergegas pergi menemui Uwais Al-Qarny.

Sesampainya di khemah tempat Uwais berada, Sayyidina 'Umar bin Al-Khattab dan Sayyidina 'Ali memberi salam. Namun rupa-rupanya Uwais sedang melaksanakan solat. Setelah menamatkan solatnya, Uwais menjawab salam kedua tetamu agung tersebut sambil bersalaman. Sewaktu berjabat tangan, Sayyidina 'Umar segera membalikkan tangan Uwais, untuk membuktikan kebenaran tanda putih yang berada di telapak tangan Uwais, sebagaimana pernah disabdakan oleh Rasulullah. Memang benar! Dia penghuni langit. Dan ditanya Uwais oleh kedua tamu tersebut, siapakah nama saudara? "Abdullah", jawab Uwais.

Mendengar jawapan itu, kedua sahabatpun tertawa dan mengatakan, "Kami juga Abdullah, yakni hamba Allah. Tapi siapakah namamu yang sebenarnya?" Uwais kemudian berkata, "Nama saya Uwais Al-Qarny".

Dalam perbualan mereka, diketahuilah bahawa ibu Uwais telah meninggal dunia. Itulah sebabnya, dia baru dapat turut bersama rombongan qafilah pedagang saat itu. Akhirnya, Sayyidina 'Umar dan Sayyidina Ali memohon agar Uwais berkenan mendo'akan untuk mereka.

Uwais enggan dan dia berkata kepada Sayyidina 'Umar : "Sayalah yang perlu meminta do'a kepada kalian". Mendengar perkataan Uwais, Sayyidina 'Umar berkata : "Kami datang ke sini untuk mohon do'a dan istighfar dari anda".

Kerana desakan kedua-dua sahabat ini, Uwais Al-Qarny akhirnya mengangkat kedua tangannya, berdo'a dan membacakan istighfar. Setelah itu, Sayyidina 'Umar berjanji untuk menyumbangkan wang negara dari Baitul Mal kepada Uwais, untuk jaminan hidupnya. 

Segera sahaja Uwais menolak dengan halus dengan berkata, "Hamba mohon supaya di hari ini sahaja hamba diketahui oleh orang. Untuk hari-hari selanjutnya, biarlah hamba yang faqir ini tidak diketahui orang lagi".

Tiada ulasan:

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger