Lambaian Mesra


Pesanan Orang Terdahulu Dari Kita

Pesanan Imam al-Ghazali :
"Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun membaca Al-Quran. Tetapi jika tidak kau temui, carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, carilah hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana haqiqatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati!"

(Dipetik dari buku Dimana Dia Dihatiku)

Terjemahan Bahasa Antarabangsa

Khamis, 15 Mac 2012

Aurat & Niqab : Pemakaian Islamik Dari Perspektif 4 Mazhab Feqah

APA ITU AURAT?


Istilah Bahasa : Diambil dari perkataan 'Arab ‘العار’ yang bererti 'aib
Istilah Feqah : Bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.
DALIL-DALIL BERKENAAN PERINTAH PENUTUPAN 'AURAT
Allah S.W.T berfirman :-
33:33 
“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembayang serta berikanlah zakat; dan taatilah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu-wahai “ahlul bait”, dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)” [Surah Al-Ahzab, ayat 33]
Allah S.W.T. juga telah berfirman :-
33:59 
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani” [Surah Al-Ahzab, ayat 59]
Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita. Aurat lelaki adalah menutup dari pusat hingga lutut. Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.
24:31
"Dan katakanlah kepada perempuan -perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan ;janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau anak-anak mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"  [Surah An-Nur, ayat 31]

Panduan pemakaian jilbab [baju kurung] dengan sempurna

BATASAN 'AURAT
Semua imam mazhab mensyaratkan menutup aurat supaya sembahyang menjadi sah sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Tetapi para fuqahak’ mempunyai pendapat berbeza dalam menetapkan batas aurat bagi orang lelaki, hamba perempuan dan juga orang perempuan biasa (bukan hamba). Pendapat mereka secara terperinci adalah seperti berikut:
AURAT MENURUT MAZHAB HANAFIYYAH
  • Aurat orang lelaki ialah dari pusat hingga paras lutut. Maka lutut adalah aurat menurut pendapat yang sah berdasarkan hadith berikut :"Aurat orang lelaki ialah apa yang terdapat antara pusat dengan lututnya" [Hadith Nabi]
Berdasarkan sebuah Hadith Dha’if menurut pendapat al-Daruqutni : "Lutut adalah sebahagian daripada aurat"
"...Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…" (Surah An-Nur, ayat 31)
  • Aurat hamba perempuan ialah dari pusat hingga paras lutut tetapi ditambah belakang badan, perut dan sisinya
Ini berdasarkan perkataan Umar r.a. yang bermaksud: "Buangkanlah kain tudung kepala wahai hamba perempuan. Apakah kamu menyerupai wanita-wanita yang merdeka?"
Disebabkan dia (hamba perempuan) keluar dari rumah untuk keperluan tuannya dengan memakai pakaian kerjanya seperti biasa, maka dianggap sebagai muhrim (orang yang diharam kahwin) bagi orang lain untuk mengelakkan kerumitan.
  • Orang perempuan (selain hamba) dan khunsa (orang yang tidak tentu sifat jantinanya samada lelaki atau perempuan) iaitu pendapat yang sah di kalangan ulama’ Hanafi, aurat mereka ialah seluruh anggota tubuh sehingga rambutnya yang berjuntai, kecuali muka, kedua-dua tapak tangan dan kedua-dua kakinya (pergelangan hingga hujung jari), baik di sebelah luar mahupun sebelah tapak menurut pendapat yang muktamad kerana darurat.

Pendapat yang rajih [kuat], suara bukanlah aurat.

Menurut pendapat yang azhar [jelas], sebelah luar tapak tangan adalah aurat tetapi menurut pendapat yang sah [shohih], tapak tangan dan sebelah luarnya bukan aurat.

Menurut pendapat yang mu'tamad, kedua-dua kaki bukan 'aurat semasa solat tetapi menurut pendapat yang shohih, kedua-duanya adalah 'aurat dari segi penglihatan dan penyentuhanTempat perhiasan yang zahir ialah muka dan dua tapak tangan


Dari Ibn Abbas dan Ibn Umar, dan sabda Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam : "Orang perempuan itu aurat, apabila ia keluar, maka syaitan memandang kepadanya" 

Dan Hadith riwayat `Aisyah yang telah disebut sebelum ini: "Wahai Asma’, orang perempuan apabila meningkat umur haid (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini dan ini. Baginda menunjukkan kepada mukanya dan kedua-dua tapak tangannya" 

Begitu juga Hadith yang diriwayatkan oleh `Aisyah yang telah disebutkan sebelum ini: "Allah S.W.T. tidak menerima sembahyang orang perempuan yang sudah datang haid (baligh) tanpa tudung kepala." 

Ditegah perempuan remaja daripada memperlihatkan mukanya di kalangan orang lelaki. Tegahan itu bukan kerana muka itu sebagai aurat, tetapi untuk mengelak timbulnya fitnah atau nafsu syahwat. Tujuan tegahan memperlihatkan mukanya adalah kerana dibimbangkan orang lelaki akan melihat mukanya yang boleh mengakibatkan timbul fitnah. Ini kerana dengan memperlihatkan muka membolehkan orang lelaki memandangnya dengan keinginan syahwat. 

Tidak harus melihat muka dengan nafsu Syahwat khususnya muka :-
  1. Orang perempuan
  2. Pemuda yang belum tumbuh misai dan janggut (yang masih terlalu muda)

kecuali kerana keperluan, seperti Qadhi, saksi atau pembuktian terhadapnya dan orang yang ingin meminang boleh melihatnya sekalipun timbul nafsu syahwat, tetapi dengan niat beramal dengan Sunnah Nabi, bukan untuk memuaskan nafsu. Begitu juga ketika mengubati tempat yang sakit sekadar yang diperlukan. 

Menurut pendapat yang muktamad di kalangan ulama’ Hanafi, mendedahkan satu per empat bahagian anggota aurat yang berat [mughallazah] iaitu kemaluan hadapan dan belakang dan sekelilingnya, ataupun aurat ringan [mukhaffafah] iaitu selain dua kemaluan dengan tidak sengaja selama kadar melakukan satu rukun sembahyang, maka terbatal solat itu. Ini disebabkan satu per empat bahagian sama hukumnya dengan seluruh bahagian, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Tetapi tidak terbatal solat jika terdedah kurang daripada satu per empat. 

Jika seseorang mendedahkan satu per empat daripada perut, paha, rambut yang berjuntai daripada kepala, kemaluan belakang, zakar, kedua-dua buah zakar atau kemaluan hadapan perempuan, maka terbatal solatnya jika berlalu selama kadar melakukan satu rukun sembahyang, tetapi jikalau tidak berlalu selama kadar tersebut, maka tidak terbatal solatnya itu. 

AURAT MENURUT MAZHAB MALIKIYYAH

Pendapat yang sepakat dalam mazhab ini mewajibkan menutup aurat daripada pandangan orang ramai. Ketika bersolat, menurut pendapat yang sahih daripada mazhab ini, diwajibkan menutup perkara berikut :-
  • Aurat orang lelaki ketika bersolat ialah aurat berat [mughallazah] sahaja, iaitu kemaluan hadapan, zakar berserta buah zakar dan kemaluan belakang yang terletak antara kedua-dua papan punggung. Oleh itu, diwajibkan mengulangi sembahyang dengan segera sekalipun terdedah kedua-dua papan punggung sahaja, ataupun terdedah ari-ari. Paha tidak dikira sebagai aurat pada pandangan mereka, hanya zakar dan buah zakar sahaja berdasarkan Hadith riwayat Anas: 

"Bahawa di dalam Peperangan Khaibar, Rasulullah s.a.w. telah terkoyak kain pada pahanya, sehingga aku temampak keputihan pahanya"
  • Aurat hamba perempuan ialah kedua-dua kemaluan dan papan punggung. Oleh itu, jika terdedah sesuatu daripadanya atau terdedah paha seluruhnya atau sebahagian daripadanya, maka hendaklah diulangi sembahyang dengan segera sebagaimana juga orang lelaki.

Waktu mengulangi sembahyang bagi sembahyang Zuhur dan Asar ialah semasa matahari kekuningan. Bagi sembahyang Maghrib dan Isya’ pula ialah seluruh malam dan bagi sembahyang Subuh semasa naik matahari.
  • Aurat berat [mughallazah] orang perempuan [bukan hamba] ialah seluruh badan kecuali dada, tepi kepala, kedua-dua belah tangan dan kedua-dua belah kaki (dari pangkal paha hingga hujung jari) dan bahagian belakang yang bersetentang dengan dada sama hukumnya dengan dada.

Jika terdedah aurat ringan (mukhaffafah) daripada dada atau sebahagian daripadanya sekalipun belakang kakinya bukan perut kakinya, maka hendaklah diulangi sembahyang pada masa yang dikehendaki sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, iaitu bagi waktu Zuhur dan Asar sewaktu kekuningan dan bagi waktu Maghrib dan Isya’ sepanjang malam dan bagi waktu Subuh ialah naik matahari. Itu adalah daripada segi sembahyang. 

Dari segi pandangan dan solat, maka diwajibkan juga menutupnya. Tidak disyaratkan tutup aurat bagi orang lelaki dan hamba perempuan di luar sembahyang. Aurat orang perempuan (selain hamba) di hadapan orang perempuan Islam atau Kafir ialah antara pusat dengan lutut

Wajib menutup seluruh tubuh orang perempuan (selain hamba) ketika berada di hadapan lelaki asing (bukan muhrim) kecuali muka dan kedua-dua belah tapak tangan, kerana kedua duanya bukan aurat. Namun begitu diwajibkan juga menutup muka dan tapak tangan supaya tidak menimbulkan fitnah. 

Orang lelaki tidak dibenarkan melihat dada orang perempuan muhrim dan seumpamanya, sekalipun sebab menjadi muhrim itu kerana persemendaan dan persusuan, kecuali muka dan bahagian-bahagian termasuk tengkuk, kepala dan belakang tapak kaki dan sekalipun penglihatan itu tidak menimbulkan keseronokan. 

Hukum tersebut berbeza dengan hukum di sisi ulama’ Syafi’i dan para ulama’ lain yang membenarkan melihat seluruh tubuh kecuali antara pusat dan lutut. Kebenaran itu adalah sebagai kemudahan (fushah).
  • Aurat berat [mughallazah] bagi orang lelaki ialah kemaluan hadapan dan lubang dubur. Aurat ringan mereka ialah bahagian-bahagian selain kemaluan hadapan dan lubang dubur yang terdapat di antara pusat dan lutut.
  • Aurat berat [mughallazah] bagi hamba perempuan ialah kedua-dua papan punggung dan yang terdapat di antara seperti lubang dubur, kemaluan hadapan dan yang di atas daripada ari-ari. Aurat ringan [mukhaffafah] baginya ialah paha dan apa yang terdapat di atas ari-ari sehingga pusat
  • Aurat berat [mughallazah] bagi orang perempuan (selain hamba) ialah seluruh tubuhnya kecuali kaki, tangan, dada dan bahagian belakang yang bersetentang dengan dada. Aurat ringan [mukhaffafah] baginya ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua-dua belah tapak tangannya.

Jika seseorang melakukan solat dalam keadaan terdedah aurat berat, sedangkan ia tahu dan berdaya untuk menutupinya sekalipun dengan membeli atau meminjam, menurut pendapat yang rajih, maka terbatal solatnya dan hendaklah diulangi menurut pendapat yang masyhur di kalangan ulama’ Maliki. 

Sebaliknya, seseorang yang melakukan solat dalam keadaan terdedah aurat ringannya, maka tidak terbatal sembahyangnya sekalipun hukum membuka aurat ringan ialah makruh dan diharamkan melihatnya. Walaupun begitu, digalakkan orang yang melakukan solat dalam keadaan terdedah aurat ringannya supaya mengulangi sembahyangnya itu dalam waktu darurat (bagi Zuhur dan Asar ialah waktu kekuningan, Maghrib dan Isya’ pula ialah sepanjang malam dan Subuh waktu terbit matahari). 

Diharamkan melihat aurat ketika terdedah, sekalipun tidak menimbulkan keseronokan. Tetapi melihatnya ketika tertutup hukumnya harus kecuali jika diintai dari sebelah atas penutupnya, maka hukumnya adalah tidak harus. 
  • Aurat dinisbah dari segi pandangan bagi orang lelaki ialah apa yang terdapat antara pusat dengan lutut
  • Aurat orang perempuan ketika berada di hadapan orang lelaki asing [bukan muhrim] ialah seluruh badannya kecuali muka dan kedua-dua belah tapak tangannya dan ketika berada di hadapan lelaki muhrimnya ialah seluruh tubuhnya kecuali muka, kepala, tengkuk, kedua-dua belah tangan dan kedua-dua belah kaki
Tetapi jika dibimbangi menimbulkan keseronokan, maka haram mendedahkan perkara-perkara tadi. Pengharaman itu bukan kerana perkara tersebut menjadi aurat, tetapi kerana dibimbangi menimbulkan keseronokan. Orang perempuan dengan orang perempuan atau dengan muhrimnya sama seperti lelaki dengan lelaki, boleh dilihat selain yang terdapat antara pusat dengan lutut

Bahagian yang boleh dilihat oleh orang perempuan pada orang lelaki asing [bukan muhrim] adalah sama dengan hukum orang lelaki dengan muhrim-muhrimnya, iaitu boleh dilihat pada muka, kepala, kedua-dua belah tangan dan kedua-dua belah kaki

AURAT MENURUT MAZHAB SYAFI`IYYAH
  • Aurat orang lelaki ketika bersolat, tawaf dan ketika berada di hadapan orang lelaki asing [ajnabi] dan orang perempuan yang muhrim ialah antara pusat dengan lututnya.

Ini berdasarkan riwayat al Harith bin Abi Usamah daripada Abu Usamah daripada Abu Said al-Khudri r. a.: "Aurat orang Mu’min ialah antara pusat dengan lututnya" dan riwayat al-Baihaqi: "Dan apabila salah seorang daripada kamu mengahwinkan hamba perempuannya dengan hamba lelakinya atau orang upahannya, maka janganlah hamba perempuan itu melihat auratnya" serta sabda Rasulullah s.a.w. kepada Jarhad al-Aslami: "Tutuplah pahamu, sesungguhnya paha itu aurat" 

Menurut pendapat yang sahih di kalangan ulama` Syafi’i, pusat dan lutut tidak dikira sebagai aurat. Ini berdasarkan Hadith riwayat Anas yang menceritakan Nabi Muhammad s.a.w. mendedahkan pahanya, sebagaimana yang diterangkan dalam Mazhab Maliki sebelum ini tetapi diwajibkan menutup sebahagian lutut supaya tertutup juga paha dan begitu juga sebahagian pusat supaya tertutup, juga bahagian di bawah pusat, kerana apabila tidak sempurna kewajipan kecuali dengan sesuatu, maka sesuatu itu juga menjadi wajib sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ulama’ Syafi’i, Hanbali dan Maliki [Usul al-Fiqh halaman 236]
  • Aurat lelaki ketika berada di hadapan perempuan asing (bukan muhrim) daripada segi penglihatan ialah seluruh tubuhnya, dan ketika keseorangan hanya dua kemaluan sahaja. Hujah ulama’ Maliki yang bersandarkan kepada Hadith riwayat Anas dan ‘Aisyah yang membuktikan bahawa paha bukan sebahagian daripada aurat ditolak dengan empat (4) alasan:

  1. Hadith tersebut menceritakan perbuatan, sedangkan hujung paha dibenar didedahkan khususnya ketika peperangan dan permusuhan serta Usul Al-Fiqh menetapkan bahawa perkataan lebih kuat hujahannya daripada perbuatan.
  2. Hadith yang diriwayatkan oleh Anas dan `Aisyah tidak dapat menguatkan penentangan terhadap perkataan-perkataan ulama’ yang sahih lagi umum.
  3. Hadith yang diriwayatkan oleh `Aisyah dalam Sahih Muslim adalah diragui. Hadith itu bermaksud: "Bahawa Rasulullah s.a.w. berbaring di rumahku sedangkan kedua-dua paha atau betisnya terdedah"
  4. Betis tidak dikira sebagai aurat menurut ijma` ulama’, maka bahagian yang terdedah itu diragui apakah betis ataupun paha yang terdedah.
Pendedahan paha yang menjadi isu dalam peristiwa ini adalah khusus bagi Nabi Muhammad s.a.w. kerana tidak ada bukti yang menunjukkan Bahawa perbuatan itu menjadi ikutan. Oleh itu, wajib berpegang dengan perkataan-perkataan yang jelas menunjukkan Bahawa paha adalah sebahagian daripada aurat.

  • Aurat hamba perempuan ialah sama seperti aurat orang lelaki menurut pendapat yang sah, kerana kepala dan tangan hamba perempuan dan orang lelaki dikira bukan aurat dan kerana kepala dan tangan adalah anggota yang terpaksa dibuka untuk digunakan.
  • Aurat orang perempuan (selain hamba) dan juga khunsa (orang yang tidak tentu jantinanya atau yang mempunyai kedua-dua organ jantina) ialah pada seluruh tubuhnya kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan, sama ada belakang tapak tangan atau perut tapak tangan yang meliputi dari hujung jari hingga ke pergelangan tangan. 
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T.:

24:31 
"...Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya... " [Surah An-Nur, ayat 31]
Ibn Abbas dan `Aisyah r.a. berkata bahawa yang dimaksudkan dengan yang zahir itu ialah muka dan kedua-dua tapak tangan kerana Nabi Muhammad s.a.w. melarang orang perempuan yang berihram (sama ada untuk mengerjakan haji atau umrah) daripada memakai sarung tangan dan penutup muka.
Jika muka dikira sebagai aurat, nescaya tidak diharamkan menutupnya semasa berihram kerana terpaksa dibuka muka untuk keperluan berjual beli dan membuka tapak tangan untuk keperluan mengambil dan memberi sesuatu, maka ia tidak dikira sebagai aurat.
Jika terdedah sebahagian daripada aurat ketika bersembahyang sedangkan berupaya menutup kedua-duanya, maka terbatal sembahyang itu, kecuali jika terdedah disebabkan oleh tiupan angin atau kerana terlupa dan ditutup dengan segera, maka tidak terbatal solat itu sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Jika terdedah aurat bukan kerana tiupan angin atau dengan sebab binatang atau kanak-kanak yang belum mumaiyiz, maka terbatal solat itu.
Orang lelaki tidak wajib menutup auratnya daripada pandangannya sendiri, tetapi makruh melihat auratnya.
  • Aurat orang perempuan (selain hamba) semasa di luar sembahyang dan di hadapan orang lelaki asing (bukan muhrim) ialah seluruh badannya dan semasa di hadapan orang perempuan kafir juga seluruh badannya kecuali anggota yang terpaksa dibuka untuk keperluan pekerjaan dan menunaikan hajat. Adapun semasa di hadapan orang perempuan Islam dan orang lelaki muhrim, auratnya ialah antara pusat dengan lututnya.
Dalil seluruh utama’ tentang kewajipan menutup aurat dan tegahan terhadap orang lelaki daripada melihat aurat lelaki lain, dan tegahan terhadap orang perempuan daripada melihat aurat orang perempuan lain ialah :-
Hadith riwayat Abu Sa’id al-Khudri: "Orang lelaki tidak boleh memandang aurat orang lelaki lain dan orang perempuan tidak boleh memandang aurat orang perempuan lain, dan orang lelaki tidak boleh tidur bersama-sama orang lelaki lain dalam satu pakaian dan orang perempuan tidak boleh tidur bersama sama orang perempuan lain dalam satu pakaian"
Hadith riwayat Bahzu bin Hakim daripada ayahnya daripada datuknya yang bermaksud: "Aku berkata : "Wahai Rasulullah s. a.w., aurat apakah boleh kita dedahkannya dan apakah ditegah?" Sabdanya : "Pelihara olehmu aurat kamu melainkan daripada isterimu atau hamba milikmu" Kataku : "Sekiranya orang ramai?" Sabdanya : "Jika terdaya mengelak daripada dilihat oleh sesiapa pun, maka jangan dibiarkan dilihat" Kataku : "Jika salah seorang daripada kami berkeseorangan?" Sabdanya : "Maka Allah Taala lebih utama untuk malu kepada-Nya"
Hadith itu menunjukkan tidak harus bertelanjang di tempat kosong dan ia disokong oleh hadith riwayat Ibn Umar menurut At-Tirmizi bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda: "Janganlah kamu bertelanjang, sesungguhnya bersama-sama kamu ada (malaikat) yang tidak berpisah dari kamu kecuali ketika kamu membuang air dan ketika seseorang lelaki itu berseronok-seronok dengan ahlinya, maka malulah kepada mereka (malaikat) dan hormatilah mereka"
Al-Bukhari mengatakan harus bertelanjang ketika mandi berdasarkan kisah Nabi Musa dan Nabi Ayub.
AURAT MENURUT MAZHAB HANBALIYYAH
  • Aurat orang lelaki ialah apa yang ada antara pusat dengan lututnya. Ini berdasarkan hadith yang telah disebutkan sebelum ini dan yang dipakai oleh ulama’ Hanafi dan Syafi’i sebagai dalil mereka. Tetapi pusat dan lutut bukan aurat. Ini berdasarkan Hadith riwayat Umru bin Shu’aib yang telah disebutkan sebelum ini : "… Bahawa apa yang di bawah pusat sehingga lutut adalah aurat" dan Hadith Abu Ayyub al-Ansari : "Di bawah pusat dan di atas kedua-dua lutut ialah aurat"

Alasannya bahawa lutut ialah batas bukan aurat seperti pusat. Orang khunsa musykil [seseorang yang mempunyai dua organ jantina yang tidak jelas sama ada lelaki ataupun perempuan] tidak diwajibkan menutup aurat oleh kerana tidak jelas sifatnya.
Di samping itu, agar solat menjadi sah, menurut yang zahir daripada mazhab ini diwajibkan ke atas orang lelaki menutup salah satu bahunya sekalipun dengan kain yang nipis yang boleh menjelaskan warna kulit kerana kewajipan menutup bahu adalah berdasarkan Hadith : "Janganlah seseorang lelaki itu melakukan sembahyang di dalam satu kain yang tidak ada sesuatu apa pun di atas bahunya"
Larangan tersebut menunjukkan pengharaman dan lebih diutamakan daripada qiyas. Abu Daud meriwayatkan daripada Buraidah : "Rasululah s.a.w. melarang seseorang daripada melakukan sembahyang di dalam selimut dan menutup bahu (seperti selimpang) dengannya"
Sebaliknya, seseorang yang mempunyai sesuatu yang hanya dapat menutup sama ada aurat sahaja atau baju sahaja, maka hendaklah dia menutup auratnya dan wajib sembahyang secara berdiri. 
Ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. : "Jika kain itu luas, maka selisihkan dan ikatkan kedua-dua tepinya dan jika ia sempit, maka ikatkan kuat-kuat pada pinggangnya"
Orang lelaki hendaklah menutup auratnya daripada penglihatan orang lain, bahkan daripada penglihatannya sendiri ketika sedang mengerjakan sembahyang. Jika ternampak auratnya melalui saku bajunya yang terbuka luas apabila rukuk` atau sujud, maka hendaklah dikancingkannya atau seumpamanya supaya ia tertutup. Ini kerana perintah menutup aurat itu adalah umum.
Begitu juga diwajibkan menutup aurat sekalipun ketika keseorangan atau di dalam gelap. Ini berdasarkan Hadith riwayat Bahzu bin Hakim yang telah disebut sebelum ini yang bermaksud : "Pelihara olehmu aurat kamu melainkan daripada isterimu atau hamba milikmu … "
Tidak diwajibkan menutup aurat dengan tikar, tanah, dan lumpur yang berada di dalam parit, kerana benda-benda itu tidak tetap dan di dalam parit pula menyusahkan. Tidak terbatal sembahyang jika terdedah sebahagian kecil aurat. Ini berdasarkan riwayat Abu Daud daripada Umru bin Salmah yang terdedah kain tutupnya ketika sujud kerana singkat. Jika terdedah sebahagian besar daripada aurat, maka terbatal solat. Perbezaan sama ada aurat yang terdedah kecil atau besar adalah menurut kebiasaan.
Sebaliknya, jika terdedah sebahagian besar daripada aurat dengan tidak sengaja dan ditutup pada ketika itu juga tanpa berlalu masa panjang, maka tidak terbatal solat. Ini di sebabkan pendek masa sama pendek dengan ukuran. Tetapi jika berlalu masa yang panjang atau sengaja dibuka, maka terbatal solat itu secara mutlak.
  • Aurat hamba perempuan sama seperti aurat orang lelaki, iaitu apa yang ada antara pusat dengan lutut menurut pendapat yang rajih. Ini berdasarkan Hadith riwayat Umru bin Shuaib (Hadith marfuk yang telah disebutkan sebelum ini yang bermaksud : "Dan apabila salah seorang daripada kamu mengahwinkan hamba perempuannya dengan hamba lelakinya atau orang upahannya, maka janganlah hamba perempuan itu melihat auratnya"
  • Aurat orang perempuan yang sudah baligh (selain hamba) ialah seluruh tubuhnya kecuali muka. Menurut pendapat yang rajih daripada dua riwayat di kalangan ramai ulama’, kedua-dua tapak tangan juga terkecuali
Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:
24:31
"...Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya..." [Surah An-Nur, ayat 31]
Ibnu 'Abbas dan 'Aisyah r.a. berkata bahawa yang dimaksudkan dengan yang zahir ialah muka dan kedua-dua tapak tangan dan tidak boleh mendedah selain muka dan kedua-dua tapak tangannya semasa solat.
Ini berdasarkan Hadith-hadith yang telah disebutkan sebelum ini menurut pendapat ulama’ Syafi’i.
Dalil yang mewajibkan tutup kedua-dua kaki ialah Hadith riwayat Ummu Salamah yang bermaksud: "Aku bertanya : "Wahai Rasulullah, adakah orang perempuan bersembahyang dengan memakai baju dan tudung kepala tanpa sarung?" Baginda menjawab : "Ya, jika bajunya labuh, maka tutupilah belakang kakinya"
Hadith tersebut menunjukkan wajib menutup kedua-dua belah kaki kerana ia kawasan yang tidak boleh dibuka semasa berihram haji dan umrah, maka tidak boleh juga didedahkan ketika bersembahyang seperti kedua-dua betis.
Memadai bagi orang perempuan menggunakan pakaian yang cukup untuk menutup bahagian yang wajib sahaja. Ini berdasarkan Hadith riwayat Ummu Salamah yang tersebut tadi. Tetapi digalakkan melakukan sembahyang di dalam baju yang labuh yang dapat menutup kedua-dua kakinya dan tudung kepala yang boleh menutup kepala dan tengkuk dan selendang yang diselimuti dari atas baju.
Hukum terdedah aurat orang perempuan, selain muka dan kedua-dua tapak tangan, sama ada kecil atau besar adalah sama hukumnya dengan kes orang lelaki seperti yang telah dibincang kan sebelum ini. Aurat orang perempuan di hadapan orang lelaki muhrimnya ialah seluruh tubuh kecuali muka, tengkuk, kedua-dua belah tangan, kaki dan betis.
Sebagaimana pendapat ulama’ Syafi'i juga, ulama’ Hanbali mengatakan bahawa seluruh tubuh orang perempuan sehingga muka dan kedua-dua tapak tangan, di luar sembahyang, ialah aurat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah yang telah disebutkan sebelum ini yang bermaksud: "Orang perempuan adalah aurat.” Diharuskan mendedah aurat untuk berubat, bersendirian di bilik air, bersunat, untuk mengetahui pencapaian umur baligh, untuk mengetahui dara dan bukan dara dan kecacatan"
Aurat orang perempuan Islam (selain hamba) di hadapan orang perempuan Kafir menurut pendapat ulama’ Hanbali adalah sama seperti auratnya di hadapan orang lelaki muhrim, iaitu apa yang ada di antara pusat dengan lutut. Menurut pendapat jumhur, seluruh tubuh kecuali yang terdedah ketika melakukan pekerjaan rumah.


Punca perselisihan ialah pentafsiran bagi ayat al-Qur’an dalam Surah al-Nur, iaitu firman Allah S.W.T:
24:31
"...Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka, melainkan kepada suami mereka, … atau perempuan-perempuan Islam… " [Surah An-Nur, ayat 31]
Menurut pendapat ulama’ Hanbali dan para ulama’ lain, ganti nama "bihinna" (mereka) mencakupi orang perempuan secara umum tanpa perbezaan antara Islam dengan Kafir. 
Justeru itu, harus bagi orang perempuan Islam memperlihatkan perhiasan tubuhnya kepada orang perempuan Kafir, sama dengan apa yang harus baginya memperlihatkan kepada orang perempuan Islam.
Menurut pendapat jumhur ganti nama "bihinna" di sini ialah khusus bagi orang perempuan Islam sahaja, iaitu khusus bagi persahabatan dan persaudaraan Islam. Justeru itu, tidak harus bagi orang perempuan Islam memperlihatkan apa pun daripada perhiasan tubuhnya kepada orang perempuan Kafir.
Jelas kepada kita bahawa pendapat ulama’ Hanbali dan ulama’ Hanafi adalah lebih utama kerana ia bersepakat dengan hadith yang menyuruh kanak-kanak yang berumur tujuh tahun supaya bersolat dan dipukul apabila meningkat umur 10 tahun jika tidak sembahyang.
BAHAGIAN AURAT YANG TERPISAH DARI TUBUH BADAN

Badan yang terputus akibat kemalangan
Menurut pendapat ulama’ Hanafiyyah dan Syafi’iyyah, diharamkan melihat aurat lelaki sama ada bahagian yang menjadi aurat itu masih sedaging dengan tubuh badan atau sudah terpisah daripada tubuh badan seperti rambut, lengan ataupun peha.
Menurut pendapat ulama’ Hanbaliyyah bahagian aurat yang terpisah daripada tubuh badan tidak diharamkan melihatnya kerana hilang kehormatannya apabila terpisah.
Menurut pendapat ulama’ Malikiyyah harus melihat bahagian aurat yang sudah terpisah daripada tubuh ketika pemiliknya masih hidup. Tetapi diharamkan melihatnya sesudah dia mati sama seperti bahagian aurat yang masih sedaging dengan tubuh badan.
HUKUM SUARA PEREMPUAN

Menurut pendapat jumhur ulama' Feqahsuara orang perempuan tidak dikira sebagai aurat, kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad s.a.w. untuk mempelajari hukum-hukum agama tetapi diharamkan mendengar suaranya yang berbentuk lagu dan irama sekalipun bacaan al-Qur’an, kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah.

RINGKASAN PENDAPAT 4 MAZHAB BERKENAAN AURAT
AURAT KETIKA BERSENDIRIAN
  1. Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat : “Sebagaimana dilarang seorang mukallaf (Orang yang dituntut beramal dengan suruhan dan meninggalkan larangan) mendedahkan aurat ketika berhadapan dengan orang yang dilarang melihat auratnya, maka demikian juga dilarang mendedahkan auratnya ketika ia bersendirian kecuali ketika dharurat atau terpaksa dibuka seperti ketika qadha’ hajat atau ketika mandi. Ketika dharurat diharuskan membukanya”.
  2. Imam Maliki dan Imam Syafi’i berpendapat : “Ketika seseorang itu bersendirian, tidak diharamkan mendedahkan auratnya hanya makruh kecuali ketika dharurat kerana ketika dharurat diharuskan membukanya”.
BATASAN AURAT LELAKI

Pakaian Sempurna Lelaki

Hadis riwayat Muslim, Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : “ Seorang lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki lain, demikian juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita yang lain. Tidak boleh dua orang lelaki berada ( tidur ) dalam satu selimut demikian juga dengan wanita dilarang berbuat demikian”

Ulama' mempunyai pelbagai pendapat dalam hal batas aurat lelaki ini :-
  1. Imam Hanafi dan Imam Hambali berpendapat : "Lelaki diwajibkan menutup auratnya di antara pusat hingga lutut daripada dilihat oleh lelaki atau perempuan yang bukan mahramnya kecuali kepada isterinya. Selain dari isterinya diharamkan melihat aurat di antara pusat hingga lututnya”. Isteri boleh (harus) melihat aurat suami kecuali pada kemaluan kerana melihat kemaluan masing-maisng adalah MAKRUH".
  2. Imam Maliki dan Imam Syafi’i berpendapat : "Aurat lelaki ada dua (2) keadaan : 

  • Auratnya dengan sesama lelaki dan perempuan yang mahram dengannya. Auratnya ialah di antara pusat hingga lutut sahaja.
  • Auratnya dengan perempuan yang bukan mahramnya. Auratnya adalah seluruh tubuh badannya" (Kitab Al-Fiqh ’Ala al-Mazahib Al-Arba’ah, jilid 1 dalam bab Mabhas Sitr Al-Aurah).
BATAS AURAT WANITA DENGAN LELAKI
Ulama' Feqah 4 mazhab sepakat berpendapat bawah aurat orang perempuan kepada lelaki yang bukan mahram [ajnabi] ialah seluruh tubuh kecuali muka dan kedua tapak tangannya.

Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT adalam surah An-Nur ayat 31, Al-Ahzab ayat 53 dan ayat 59 serta riwayat beberapa buah hadith.

Firman Allah SWT adalam Surah An-Nur ayat : 31 : yang mafhumnya :

24:31

“Dan janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasannya kecuali apa yang biasa nampak daripadanya dan hendaklah mereka menutup kain tudung mereka hingga ke bawah dada”.

Imam Syafi'i berpendapat : perhiasan yang dimaksudkan yang dimaksudkan dalam ayat di atas terbahagi kepada dua (2) makna iaitu:
1. Perhiasan yang bersifat semula jadi seperti muka, pipi mulut, mata, bibir, hidung, kaki, betis, peha dan lain-lain anggota.
2. Perhiasan seperti pakaian, alat-alat solek, cincin, rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

33:59

“Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isteri dan anak-anak perempuan kamu serta kepada para isteri orang mukmin sekalian, hendaklah menghulurkan JILBAB mereka ke seluruh tubuh badan mereka kerana dengan itu mereka akan mudah dikenali (sebagai wanita mukminah) dan mereka selamat daripada gangguan. Dan sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Firman Allah lagi dalam Surah Al-Ahzab ayat 53 yang bermaksud :

33:51 

“ … Apabila kamu bertanya atau meminta sesuatu keperluankepada mereka (isteri-isteri Nabi SAW), maka hendaklah di sebalik tabir. Cara demikian adalah lebih mensucikan hati kamu dan hati mereka …”

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Tafsir Ibnu Katsir juz 3 halaman 284 disebut riwayat dari Ibn Syahab dari ’Urwah dan dari Aishah, kata Aisyah radhiyallahu 'anha : "Moga-moga Allah mencucuri rahmat kepada wanita-wanita Muhajirin yang mulia iaitu tatkala Allah menurunkan ayat 31 surah An-Nur, mereka teus mengoyak kain selendang lalu menutup diri mereka dengannya”.

Hadith riwayat Abu Daud daripada 'Aisyah radhiyallahu 'anha bahawa suatu hari kakaknya iaitu Asma’ binti Abu Bakar datang mengadap Rasulullah SAW sedangkan ia berpakaian nipis (jarang). Melihatkan keadaan itu, Rasulullah SAW terus berpaling muka dan bersabda maksudnya : "Wahai Asma’, apabila seorang wanita telah sampai masa haid (baligh), maka lelaki ajnabi tidak boleh melihatnya, kecuali kadar had ini ( Rasulullah SAW mengisyaratkan pada muka dan kedua tapak tangannya)".

BATASAN AURAT WANITA

Pakaian Sempurna Perempuan

Bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya: 
  • Aurat Ketika Sembahyang 
Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. 
  • Aurat Ketika Sendirian 
Aurat wanita ketika mereka bersendirian adalah bahagian anggota pusat dan lutut. Ini bererti bahagian tubuh yang tidak boleh dilihat adalah antara pusat dan lutut. 
  • Aurat Ketika Bersama Mahram 
Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah dari pusat hingga lutut. Walau pun begitu, wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri. Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tata susila wanita terutama dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang dan tidak diingini tidak akan berlaku. 

Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh

Syara' Islam telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu: 
  • Suami.
  • Ayah, termasuk datuk belah ibu dan bapa. 
  • Ayah mertua
  • Menantu lelaki
  • Anak-anak lelaki termasuk cucu samada dari anak lelaki atau perempuan. 
  • Anak-anak suami iaitu (anak tiri atau anak isteri lain bagi suaminya sama ada isteri itu masih hidup atau telah bercerai atau meninggal) tetapi bukan anak dari bekas isteri suaminya dengan suami yang lain yang dikahwininya setelah bercerai dengan suaminya tersebut. 
Dalam perkara ini, Islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya. 
  • Saudara lelaki kandung [abang atau adik] satu ibu bapa atau satu ibu atau satu bapa. 
  • Anak saudara dari saudara lelaki iaitu anak lelaki kepada saudara lelaki (anak saudara)
  • Anak saudara dari saudara perempuan iaitu anak lelaki kepada saudara perempuan (anak saudara)
  • Anak lelaki susuan iaitu anak lelaki yang disusukan. 
  • Bapa susuan iaitu bapa kepada saudara susuan. 
  • Saudara susuan.
  • Bapa saudara susuan
  • Datuk saudara susuan hingga ke atas
  • Anak saudara susuan hingga ke bawah
  • Sesama wanita samada ada kaitan keturunan atau yang seagama. 
  • Wanita Islam yang berakhlak mulia
  • Hamba sahaya lelaki
  • Pelayan [khadam] yang tidak ada nafsu syahwat. 
  • Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita.
Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka. 
  • Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram [Ajnabi]
Kewajipan menutup aurat di hadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak daripada berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya. Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.
Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami. Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.
  • Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir
Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan Islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.
Rasulullah SAW. bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: Abdullah bin 'Abbas ada menyatakan, Rasulullah SAW. pernah bersabda yang maksudnya: “Tidak halal kaum wanita Islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani”.
  • Aurat ketika Bersama Suami
Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka Islam telah memberi kelongaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya.
Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannnya bila berhadapan dengan suaminya.
Mu’awiyah bin Haidah mengatakan: “Aku pernah bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?” Baginda menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau terhadap hamba abdi milikmu”. Aku bertanya lagi: “Ya Rasulullah, bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat?” Baginda menjawab: “Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak boleh melihat aurat orang lain dan ia pun tidak boleh melihat auratmu”. Aku masih bertanya lagi: “Ya Rasullullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?” Baginda menjawab: “Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain”(Hadis riwayat Iman Ahmad dan Abu Dawud)

Diperbolehkan lelaki bukan mahram [ajnabi] melihat aurat perempuan dalam beberapa keadaan :-
  • Ketika hendak meminang. Kadar sempadan aurat yang boleh dilihat ialah muka dan kedua tapak tangan sahaja.
  • Ketika berjual beli [Mu'amalah].
  • Doktor atau tabib bertujuan mengubat.
  • Ketika hendak menjadi saksi pengadilan.
  • Ketika mengajar dan belajar.
Kesalahan yang biasa dilakukan atas nama fesyen terkini
Penjelasan-penjelasan ulama' tentang batas-batas aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram). Perbezaan pendapat itu ialah :-

MAZHAB HANAFIYYAH ada 2 qaul [pendapat] :-
  • Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
  • Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan hingga ke pergelangan tangan dan dua tapak kaki.
MAZHAB MALIKIYYAH : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki adalah seluruh tubuh kecuali muka dan dua tapak tangan. Walau bagaimanapun, jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya. 

MAZHAB SYAFI’IYYAH ada 2 qaul [pendapat] :- 
  • Qaul pertama : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Qaul ini adalah qaul yang paling shohih dalam Mazhab Syafi’iyyah.
  • Qaul kedua : Aurat wanita merdeka di hadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan
Walau bagaimanapun, jika mendedah muka dan dua tapak tangan boleh menimbulkan fitnah kepada wanita itu, maka ketika itu wajiblah menutup seluruh tubuh badan tanpa kecuali. Fitnah iaitu apa-apa yang zahir pada diri seseorang yang mana dengan melihatnya, boleh menaikkan nafsu syahwat.

MAZHAB HAMBALIYYAH ada 2 qaul [pendapat] :-
  • Qaul pertama : Semua anggota wanita adalah aurat tanpa kecuali kepada lelaki ajnabi.
  • Qaul kedua : Semua anggota tubuh wanita bagi lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah aurat kecuali muka dan dua tapak tangan. Tapi jika mendedahkan boleh mendatangkan fitnah, maka wajiblah juga menutupnya.
(KITAB FEQAH 4 MADZAB)


HUKUM BERNIQAB [MENUTUP MUKA DENGAN SITRAH KAIN]

Perempuan memakai niqab/purdah

NIQAB MENURUT MAZHAB HANAFIYYAH  

Pendapat Mazhab Hanafi, wajah wanita bukan aurat namun memakai purdah hukumnya sunnah (dianjurkan) dan wajib jika dikhuatiri wanita berkenaan akan menimbulkan fitnah.

As-Syaranbalali berkata: “Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam serta telapak tangan luar, ini pendapat yang lebih shahih dan merupakan pilihan madzhab kami“ (Matan Nuurul Iidhah)

Al-Imam Muhammad ‘Alaa-uddin berkata: “Seluruh badan wanita adalah aurat kecuali wajah dan telapak tangan dalam. Dalam suatu riwayat, juga telapak tangan luar. Demikian juga suaranya. Namun bukan aurat jika dihadapan sesama wanita. Jika cenderung menimbulkan fitnah, dilarang menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki” (Ad-Durr Al-Muntaqa, 81)

Al-'Allamah Al-Hashkafiy berkata: “Aurat wanita dalam solat itu seperti aurat lelaki. Namun wajah wanita itu dibuka sedangkan kepalanya tidak. Andai seorang wanita memakai sesuatu di wajahnya atau menutupnya, boleh, bahkan dianjurkan” (Ad-Durr Al-Mukhtar, 2/189)

Al-'Allamah Ibnu Abidin berkata: “Terlarang bagi wanita menampakan wajahnya kerana khuatir akan dilihat oleh para lelaki, kemudian timbullah fitnah. Kerana jika wajah dinampakkan, lelaki melihatnya dengan syahwat” (Hasyiah ‘Alad Durr Al-Mukhtaar, 3/188-189)

Al-'Allamah Ibnu Najiim berkata: “Para ulama mazhab kami berkata bahawa dilarang bagi wanita muda untuk menampakkan wajahnya di hadapan para lelaki di zaman kita ini, kerana dikhuatiri akan menimbulkan fitnah” (Al-Bahr Ar-Raaiq, 284)



NIQAB MENURUT MAZHAB MALIKIYYAH 

Mazab Maliki berpendapat bahwa wajah wanita bukan aurat namun memakai purdah hukumnya sunnah (dianjurkan) dan menjadi wajib jika dikhuatiri menimbulkan fitnah. Bahkan sebahagian ulama yang bermazhab Maliki berpendapat seluruh tubuh wanita itu adalah aurat.

Az-Zarqaani berkata: “Aurat wanita di depan lelaki muslim ajnabi adalah seluruh tubuh selain wajah dan telapak tangan. Bahkan suara wanita juga aurat. Sedangkan wajah, telapak tangan luar dan dalam, boleh dinampakkan dan dilihat oleh kaum lelaki walaupun wanita tersebut masih muda baik sekadar melihat ataupun untuk tujuan perubatan. Kecuali jika dikhuatiri akan menimbulkan fitnah atau tujuan lelaki melihat wanita untuk bersuka-suka, maka hukumnya haram, sebagaimana haramnya melihat amraad. Hal ini juga diungkapkan oleh Al Faakihaani dan Al Qalsyaani” (Syarh Mukhtashar Khalil, 176)


Ibnu Al-'Arabi berkata: “Wanita itu seluruhnya adalah aurat. Baik badannya mahupun suaranya. Tidak boleh menampakkan wajahnya kecuali dalam keadaan darurat atau ada keperluan mendesak seperti persaksian atau perubatan pada badannya, atau kita dipertanyakan apakah ia adalah orang yang dimaksud (dalam sebuah persoalan)” (Ahkaamul Qur’an, 3/1579)

Imam Al-Qurthubi berkata: “Ibnu Juwaiz Mandad – ia adalah ulama besar Maliki – berkata: Jika seorang wanita itu cantik dan khuatir wajahnya dan telapak tangannya menimbulkan fitnah, hendaknya dia menutup wajahnya. Jika dia wanita tua atau wajahnya buruk/hodoh, boleh baginya menampakkan wajahnya” (Tafsir Al-Qurthubi, 12/229)

Al-Hathab berkata: “Ketahuilah, jika dikhuatirkan terjadi fitnah, maka wanita wajib menutup wajah dan telapak tangannya. Ini dikatakan oleh Al Qadhi Abdul Wahhab, juga dinukil oleh Syaikh Ahmad Zarruq dalam Syarhur Risaalah. Dan inilah pendapat yang lebih tepat” (Mawahib Jaliil, 499)

Al-'Allamah Al-Banaani, menjelaskan pendapat Az-Zarqani di atas: “Pendapat tersebut juga dikatakan oleh Ibnu Marzuuq dalam kitab Ightimamul Furshah, katanya : ‘Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Maliki’. Al Hathab juga menukil dari perkataan Al Qadhi Abdul Wahhab bahawa hukumnya wajib. Sebahagian ulama bermazhab Maliki menyebutkan pendapat bahawa hukumnya tidak wajib, namun lelaki wajib menundukkan pandangannya. Pendapat ini dinukil Mawwaq dari Iyadh. Syeikh Zarruq dalam kitab Syarhul Waghlisiyyah memperincikan, jika cantik maka wajib, jika tidak cantik maka ianya sunnah” (Hasyiyah ‘Ala Syarh Az Zarqaani, 176)


NIQAB MENURUT MAZHAB SYAFI'IYYAH 

Pendapat mazhab Syafi’ie, aurat perempuan di depan lelaki ajnabi (bukan mahram) adalah seluruh tubuh badan sehingga mereka mewajibkan wanita memakai purdah di hadapan lelaki bukan muhrim [ajnabi]. Inilah pendapat mu'tamad mazhab Syafi’ie.

As-Syarwani berkata: “Wanita memiliki tiga jenis aurat, (1) aurat dalam solat -sebagaimana telah dijelaskan- iaitu seluruh badan kecuali wajah dan telapak tangan, (2) aurat terhadap pandangan lelaki ajnabi, iaitu seluruh tubuh termasuk wajah dan telapak tangan, menurut pendapat yang mu’tamad, (3) aurat ketika berdua bersama yang mahram, sama seperti lelaki, iaitu antara pusar dan paha” (Hasyiah Asy Syarwani ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 2/112)

Syaikh Sulaiman Al-Jamal berkata: “Maksud perkataan An Nawawi ‘aurat wanita adalah selain wajah dan telapak tangan’, ini adalah aurat di dalam solat. Adapun aurat wanita muslimah secara mutlak di hadapan lelaki yang masih mahram adalah antara pusar hingga paha. Sedangkan di hadapan lelaki yang bukan mahram adalah seluruh badan” (Hasyiatul Jamal Ala’ Syarh Al Minhaj, 411)
Syaikh Muhammad bin Qaasim Al-Ghazzi, penulis Fathul Qaarib, berkata: “Seluruh badan wanita selain wajah dan telapak tangan adalah aurat. Ini aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, aurat wanita adalah seluruh badan” (Fathul Qaarib, 19)


Ibnu Qaasim Al-Abadi berkata: “Wajib bagi wanita menutup seluruh tubuh selain wajah telapak tangan, walaupun penutupnya tipis. Dan wajib pula menutup wajah dan telapak tangan, bukan kerana keduanya adalah aurat, namun kerana secara umum keduanya cenderung menimbulkan fitnah” (Hasyiah Ibnu Qaasim ‘Ala Tuhfatul Muhtaaj, 3/115)

Taqiyuddin Al-Husni, penulis Kifaayatul Akhyaar, berkata: “Makruh hukumnya solat dengan memakai pakaian yang bergambar atau lukisan. Makruh pula wanita memakai niqab (purdah) ketika solat. Kecuali jika di masjid keadaanya susah dijaga dari pandnagan lelaki ajnabi. Jika wanita khuatir dipandang oleh lelaki ajnabi sehingga menimbulkan kerosakan, haram hukumnya melepaskan (tidak memakai) niqab (purdah)” (Kifaayatul Akhyaar, 181)


NIQAB MENURUT MAZHAB HANBALIYYAH

Imam Ahmad bin Hambal berkata: “SETIAP bahagian tubuh wanita adalah aurat, termasuk pula kukunya” (Dinukil dalam Zaadul Masiir, 6/31)

Syeikh Abdullah bin Abdil Aziz Al-‘Anqaari, penulis Raudhul Murbi’, berkata: “Setiap bahagian tubuh wanita yang baligh adalah aurat, termasuk pula sudut kepalanya. Pendapat ini telah dijelaskan dalam kitab Ar Ri’ayah… kecuali wajah, kerana wajah bukanlah aurat di dalam solat. Adapun di luar solat, semua bahagian tubuh adalah aurat, termasuk wajahnya jika di hadapan lelaki. Jika di hadapan sesama wanita, auratnya antara pusar hingga paha” (Raudhul Murbi’, 140)

Ibnu Muflih berkata: “Imam Ahmad berkata: ‘Maksud ayat tersebut adalah, janganlah mereka (wanita) menampakkan perhiasan mereka kecuali kepada orang yang disebutkan di dalam ayat‘. Abu Thalib menukil penjelasan dari beliau (Imam Ahmad): ‘Kuku wanita termasuk aurat. Jika mereka keluar, tidak boleh menampakkan apapun bahkan khuf (semacam kaus kaki / sarung kaki), kerana khuf itu masih menampakkan lekuk kaki. Dan aku lebih suka jika mereka membuat semacam kancing tekan di bahagian tangan’” (Al-Furu’, 601-602)
Syeikh Manshur bin Yunus bin Idris Al-Bahuti, ketika menjelaskan matan Al-Iqna’, ia berkata: “Keduanya, iaitu dua telapak tangan dan wajah adalah aurat di luar solat kerana adanya pandangan, sama seperti anggota badan lainnya” (Kasyful Qanaa’, 309) 
Syeikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin berkata: “Pendapat yang kuat dalam masalah ini adalah wajib hukumnya bagi wanita untuk menutup wajah dari pada lelaki ajnabi” [Fatwa Nurun ‘Alad Darb

Tiada ulasan:

Bahan Bacaan Berguna

Powered By Blogger